Sabtu, 15 Februari 2014

Siswa gerak jentera kempen di PRK Kajang

MALAYSIAKINI

 





Sekumpulan mahasiswa akan mengerakkan jentera kempen mereka selepas penamaan calon bagi pilihan raya raya kecil DUN Kajang dengan membangkitkan beberapa isu utama melibatkan kepentingan rakyat untuk perhatian BN dan Pakatan Rakyat.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang disokong 10 lagi kumpulan siswa akan menggerak jentera seramai lebih 200 orang antara lain bakal membangkitkan isu konsensus nasional, kenaikan kos hidup dan isu pendidikan percuma dalam kempen pilihan raya itu.

Dalam isu konsensus nasional, mereka menuntut supaya perbincangan mengenainya turut melibatkan mahasiswa, kesatuan sekerja serta pelbagai NGO yang lain dan bukan hanya melibatkan BN dan Pakatan sahaja.

Mereka juga menuntut kerajaan dan pembangkang mencari solusi untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan mencari penyelesaikan isu pendidikan seperti autonomi universiti dan pendidikan percuma.

Isu lain yang juga akan dibangkitkan antaranya tidak menjadikan agama dan perkauman sebagai senjata politik, isu kebebasan media dan akauntabiliti dalam urus tadbir negara.

"DUN Kajang menjadi medium untuk mahasiswa menjadi agen penerangan sekaligus membuka ruang untuk mencerdikan serta mencerahkan minda rakyat dengan isu-isu yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-13.

"Janji-janji manis Umno-BN dalam PRU-13 dikotakan dengan kenaikan harga minyak, tarif elektrik yang jelas bercanggah dengan Aku Janji PRU-13.

"Tahun 2014 boleh disifatkan sebagai tahun kesengsaraan rakyat dengan polisi-polisi yang dilihat memberikan beban yang cukup berat kepada rakyat," kata Pengerusi SMM Mohamed Bukhairy Sufian.

Bercakap dalam sidang medianya hari ini, pemimpin pelajar itu juga mendesak kerajaan Selangor  itu menjadi contoh dalam menyediakan plan dan model pendidikan percuma.

Malah, mereka juga menggesa parti politik menyelesaikan masalah dalaman termasuk isu menteri besar Selangor yang baru secara profesional dan sepakat supaya rakyat tidak terheret ke dalam polemik itu

"Dengan ini mahasiswa melancarkan kempen Undi selain Barisan 'USB" dan Undi Untuk Selangor "UTS". Kempen ini adalah isyarat kita bahawa rakyat harus mengundi selain BN untuk Selangor lebih sejahtera," katanya.

Menurutnya lagi, antara mekanisme kempen mereka dengan menyediakan pentas ceramah umum tanpa penglibatan ahli politik dan turun padang berkempen sepanjang pilihan raya kecil itu.

Kumpulan mahasiswa yang menyokong kempen itu antaranya Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaysa, Pro Mahsiswa Nasional, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) dan Malaysia Youth and Student Democratic Movement (Dema).

Tiada ulasan: