Ahad, 16 Februari 2014

RM100,000 SMUE diagih kepada pewaris DUN Teratai

Oleh: HAFIZAN TAIB


AMPANG : Seramai lebih 60 pewaris dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai menerima sumbangan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa 2 bernilai hampir RM100,000, di Dewan Orang Ramai Taman Putra di sini semalam.

Di majlis itu setiap pewaris menerima RM1,5000, menyusuli bayaran RM1,000 di Fasa 1.

mesra-usia-emasAdun Teratai, Tiew Way Keng berkata beliau menyampaikan tanggungjawabnya kepada pewaris, sebagai menzahirkan penghargaan Kerajaan Negeri kepada mereka yang telah berjasa kepada kemajuan negeri Selangor.

“Ia satu usaha menjaga kebajikan rakyat, serta memberi peluang seluruh warga negeri ini menikmati hasilnya,” katanya.

Way Keng berkata setakat ini seramai lebih 200 pewaris di DUN Teratai sudah menerima sumbangan SMUE.

Pewaris, Abdullah Ismail, 74, dari Taman Muda menerima sumbangan berikutan kematian isterinya, Yun Osman, 63, pada 1 Februari tahun lalu akibat kencing manis.

“Skim ini membantu pewaris bila ahli keluarga meninggal dunia dan saya juga mengalu-alukan langkah untuk pemberian sagu hati ketika sambutan hari lahir warga emas,” katanya.

Choo Fong Mei, 48, berkata, SMUE amat bermakna terutama kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana di dalam urusan kematian ahli keluarga.

“Saya menerima sumbangan ini sebagai pewaris bagi bapa saya, Choo Beng Soon, 71, yang
meninggal dunia pada 11 Februari tahun lalu dan ibu saya, Liew Ngat Lan, 69, seminggu selepas itu.

Kedua-dua mereka mengidap barah,” kata guru dari Taman Muda.

Sumbangan turut diterima R Subramaniam, 59, dari Pandan Perdana kerana kematian ibunya, K Valiamah, 104, akibat sakit tua pada Julai tahun lalu.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pemberian ini. Saya juga akan mendaftar dalam skim ini bila berusia 60 tahun pada September depan,” katanya yang mengalami kesulitan fizikal di kaki kanan.

Pihak Way Keng turut memberikan baucer Jom Shopping SMUE bernilai RM400 seorang kepada warga emas pada sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Tiada ulasan: