Khamis, 6 Februari 2014

PRK Kajang: Lucu jika saya sabotaj diri sendiri - Khalid

HARAKAHDAILY 



KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan kononnya akan berlaku sabotaj dari pihaknya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang nanti sebagai tuduhan yang melucukan.

Menepis tomahan itu, Khalid berkata ianya sesuatu yang tidak masuk akal kerana beliau selaku pengarah pilihan raya yang dilantik PKR bagi pilihan raya kecil itu, tentunya mahu Anwar selaku calon, menang.

"Macam mana kata saya sabotaj. Saya pengarah PRK Kajang, kalau macam itu saya sabotaj diri saya sendiri. Itu pasti suatu yang lucu," katanya menjawab soalan wartawan pada sidang media di Bangunan SUK hari ini.

Unsur sabotaj itu dikatakan berkaitan dengan tindakan pemecatan kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Holding yang dianggap tidak kena pada masanya ketika PRK DUN Kajang bakal diadakan.

Abdul Khalid bagaimanapun mempertahankan keputusan pemecatan tersebut sebagai mengikut polisi Integrity Pact yang telah dilaksanakan dalam PKNS bagi mematuhi urus tadbir korporat yang baik.

"Tidak kena pada masa atau tidak bukan isu, menguruskan korporat mesti dilakukan dengan lebih berkesan dan efektif.

"Cuma malangnya, masanya adalah sekarang dan keputusan perlu dibuat sekarang," katanya.

Tiada ulasan: