Jumaat, 7 Februari 2014

PAS bersiap siaga menggerakkan jentera pilihan raya ke Kajang



Oleh Penulis Khas


PAS menyokong penuh Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Dun Kajang yang akan berlangsung tidak lama lagi. PAS berpegang dengan apa yang telah putuskan dalam Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya pada jam 9.00 malam, Isnin 3 Februari 2014 bertempat di Pejabat Agung PAS Pusat.

Setelah berlaku kekosongan berikutan perletakan jawatan Adun Kajang daripada KeADILan yang memenanginya dalam PRU13 yang lalu, PAS akan menggerakkan jentera pilihan rayanya ke Kajang.

Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya KeADILan berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini.

PAS juga memutuskan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK ini.

Begitu juga dengan Pemuda PAS Malaysia turut menyokong Anwar menjadi calon PRK Kajang dan atas semangat kerjasama itulah, Pemuda PAS telah melantik Pe ngarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Selangor, Hairul Nizam Tohar sebagai Ketua Penyelaras PRK Dun tersebut.

Keputusan dibuat setelah Pemuda PAS mengadakan Me syuarat Lajnah Politik sejurus selepas peringkat PAS Pusat mengadakan mesyuarat berhubung isu sama 3 Februari lalu.

Bagaimanapun, Pemuda kesal dengan tindakan KeADILan yang mengosongkan kerusi Dun Kajang yang dianggapnya sebagai tergesagesa, membazir masa dan duit rakyat sekali gus mendedahkan Pakatan kepada risiko kemerosotan sokongan pengundi.

Namun begitu, Pemuda PAS menghormati muafakat Pakatan yang memberi hak mengurus Dun kepada parti yang menang dalam pilihan raya lepas di samping mendesak agar mana-mana komponen Pakatan tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang.

Berhubung dengan pelbagai pandangan beberapa pemimpin PAS tentang PRK Kajang, Pemuda PAS menyifatkan parti itu meraikan kebebasan bersuara semua pihak tetapi ianya bukanlah satu keputusan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, jentera pilihan raya Muslimat PAS Pusat juga sudah bersiap sedia menghadapi PRK Dun Kajang jika mendapat arahan susulan daripada PAS Pusat, jenteranya akan digerakkan.

Pengarah Jabatan Pilihan Rayanya, Aiman Athirah Al-Jundi memberitahu jentera Muslimat PAS kini menunggu arahan daripada pimpinan PAS dan akan bergerak kerja berdasarkan panduan serta arahan kerja Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan Jabatan Pilihan Raya PAS negeri.

Sebagai jentera parti tentulah arahan dan keputusan jemaah itu lebih penting daripada apa sahaja hatta pandangan peribadi sendiri dalam konteks pro dan kontra keperluan PRK Kajang.

Ia tidak boleh terpakai sekiranya sudah ada keputusan dan arahan jemaah. Dalam konteks ini arahan PAS Pusat di bawah kepimpinan Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bagi Muslimat PAS, soal BN meletakkan calon atau sebaliknya tidak penting tetapi Muslimat PAS akan membantu kempen PRK Kajang atas nama Pakatan Rakyat.

Jabatan Pilihan Raya Muslimat PAS yakin dan percaya BN akan bertanding di PRK N25 Kajang dan kemungkinan besar menggunakan strategi lain dengan meletakkan calon Umno bukannya calon MCA dalam usaha menarik seberapa ramai sokongan kaum Melayu Muslimat mengingatkan, penyokong Pakatan Rakyat tidak harus terpedaya mainan Umno-BN sebaliknya berusaha mempertahankan kemenangan di Dun Kajang.

Tiada ulasan: