TELOK KEMANG - Masalah kekurangan minyak masak kembali membelenggu pengguna di sekitar daerah ini apabila mereka mula sukar untuk mendapatkan bekalan tersebut.
Peniaga dan orang ramai merungut sukar memperoleh bekalan minyak masak sejak dua bulan lalu sehingga terpaksa ke Melaka dan Selangor untuk mendapatkan bekalan tersebut.
Malah, tinjauan Sinar Harian di sekitar daerah ini terutamanya kawasan Telok Kemang turut mendapati bekalan bahan masakan itu terutamanya minyak masak peket sekilogram kehabisan stok.
Kebanyakan pasar raya dan kedai runcit di sekitar daerah ini terpaksa meletakkan nota memaklumkan kehabisan stok minyak masak.
Salah seorang peniaga ditemui, Hamita Ahmad Basher berkata, dia terpaksa menghadkan hanya dua paket minyak masak kepada kepada pelanggannya dan menyebabkan ramai antara mereka merungut dengan masalah berkenaan.
“Kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana bekalan yang kami peroleh dari pembekal juga sangat terhad. Sebab itulah, kami terpaksa mengehadkan jualan minyak masak kepada setiap pelanggan agar pelanggan lain juga mendapatkan bekalan.
"Saya bukan sahaja tidak dapat memenuhi permintaan minyak masak peket, malah turut kehabisan bekalan minyak masak botol," katanya.
Berikutan masalah yang semakin meruncing itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat memantau serta menyelesaikannya dengan segera.
Sementara itu seorang peniaga pisang goreng, Zainudin Ujang, 48, berkata, sejak gangguan bekalan minyak masak berlaku, dia terpaksa mengunjungi beberapa kedai di untuk mendapatkan bekalan.
“Saya terpaksa pergi ke beberapa buah kedai untuk membeli minyak masak memandangkan pembeli hanya dihadkan membeli dua peket minyak masak untuk satu keluarga sedangkan penggunaan saya adalah lima kilogram untuk sehari berniaga,” katanya.
Zainudin memberitahu, kekurangan minyak masak sudah lama berlarutan dan berharap pihak bertanggungjawab dapat segera mencari punca masalah dan sekaligus menyelesaikannya.
28 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza memaklumkan bekalan telah kembali pulih dan kenyataan berkenaan turut dilaporkan akhbar ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan