Sabtu, 1 Februari 2014

Merungkai isu penstrukturan industri air di Selangor

SELANGOR KINI


ISU air kembali hangat di Selangor apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim baru-baru ini dikatakan melakukan u-turn dengan bersetuju untuk memberi kebenaran kepada kerajaan persekutuan untuk meneruskan pembinaan loji air Langat 2.

Bekas EXCO dan juga ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor yang dikatakan mengelirukan rakyat Selangor apabila secara tiba-tiba tunduk kepada desakan kerajaan persekutuan untuk akur kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Water Services Industry Act 2006).

Akta itu membenarkan kerajaan persekutuan mengambil alih aset industri air di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia danWilayah Persekutuan Labuan bagi mengstruktur semula industri air di Malaysia.

Pertama,  untuk membincangkan isu industri air di Selangor, elok kita ketepikan politik dalaman parti tertentu, pertembungan peribadi antara ahli politik dan hal tidak berkaitan.

images Isu air melibatkan kepentingan rakyat Selangor bukannya kepentingan individu tertentu yang sibuk menggunakan isu itu sebagai modal politik untuk menjatuhkan musuh politik mereka.

STRUKTUR AIR DI SELANGOR

Industri air di Selangor  agak kompleks kerana ia melibatkan pemegang aset air, konsesi-konsesi air melibatkan syarikat swasta dan juga kerajaan persekutuan.

Mari kita lihat lebih mendalam pemegang konsesi air dan pemilik atau pemegang saham syarikat konsesi air:

a) Konsesi yang merawat air mentah dan menguruskan loji rawatan air:
Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB): Pemegang 2 konsesi yang bertanggungjawab mengurus 29 loji rawatan air di Selangor dan Kuala Lumpur dengan kapasiti pengeluaran 1,909 juta liter air setiap hari.
Ia dimiliki oleh Puncak Niaga Holdings Berhad (syarikat tersenarai di Bursa Saham) yang pemiliknya ialah Tan Sri Rozali Ismail [melalui syarikat persendirian Central Plus Sdn Bhd dan Corporate Line Sdn Bhd] (41.25%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (6.19%) dan Lembaga Tabung Haji (5.74%).

ii) Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH)
Syarikat itu diberi konsesi 30 tahun oleh kerajaan Selangor pada Januari 2009 untuk membina, mengurus dan menyelenggara Skim Bekalan Air Sungai Selangor Fasa 1 dan Fasa 3.
Ia dimiliki oleh Gamuda Bhd (40%), The Sweet Water Alliance Sdn Bhd [syarikat milik Tan Sri Wan Azmi Hamzah] (30%) dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd [61% milik kerajaan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad] (30%)

iii) Konsortium ABASS Sdn Bhd
Konsortium itu dianugerah konsesi 30 tahun oleh kerajaan Selangor pada 2001 untuk mengurus dan menyelenggara Skim Bekalan Air Sungai Semenyih

Ia 100 peratus dimiliki oleh Titisan Modal Sdn Bhd [55% milik Kumpulan Perangsang Selangor Bhd yang juga milik kerajaan negeri Selangor melalui KDEB].
b) Pengedar air terawat:

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)

- Pengedar/pengagih air terawat tunggal bagi seluruh kawasan Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya.
- Mengurus dan menyelenggara pam air, takungan air dan stesen pam.

SYABAS dianugerah 30 tahun konsesi mengedar air oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor pada 2005.

- Dimiliki oleh Tan Sri Rozali yang juga pengerusi eksekutif sebanyak 70% melalui Puncak Niaga Sdn Bhd, dan kerajaan negeri Selangor memiliki 30% SYABAS melalui KDEB (15%) dan Kumpulan Perangsang (15%). Kerajaan persekutuan memiliki satu golden share.

CADANGAN AMBIL ALIH KONSESI AIR OLEH KERAJAAN SELANGOR

Sejak 2009 kerajaan Selangor membuat bidaan rasmi untuk mengambil alih seluruh aset dan ekuiti pemegang konsesi. Tujuan pengambilalihan ialah:

- Menggabungkan industri air di bawah kerajaan Selangor melalui KDEB bagi melindungi kepentingan rakyat negeri ini dari beban kenaikan tarif yang tinggi.
 - Menyusun semula industri air bagi mewujudkan perkhidmatan air yang holistik.
- Memastikan kecekapan pengurusan rawatan dan pembekalan air seperti menurunkan kadar non-revenue water (NRW) atau air yang hilang melalui ketidakcekapan pengedar air (SYABAS) akibat kebocoran paip.

Kerajaan Selangor, demi melindungi kepentingan rakyat menghalang kenaikan tarif air yang sepatutnya dinaikkan oleh SYABAS sebanyak 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012.

Kerajaan negeri berpendapat SYABAS gagal mengoptimum bekalan air kepada pengguna air berikutan 34 loji rawatan air mempunyai kapasiti merawat 4,807 juta liter air sehari tetapi SYABAS hanya berupaya mengedar 4,411 juta liter air sehari.

Pada masa sama, SYABAS memberi alasan pembekuan Capital Expenditure (CAPEX) atau perbelanjaan modal untuk menyelenggara pam lama dan sebagainya sebagai halangan untuk mengedar air secara optimum.

Sejak 2009 sehingga hujung 2013, kerajaan Selangor membuat lima kali tawaran untuk mengambil alih aset dan ekuiti konsesi air Selangor.

Berikut ialah cadangan pengambilalihan aset dan ekuiti konsesi air di Selangor dan maklum balas terhadap tawaran oleh pemegang konsesi air:

Semua tawaran kerajaan Selangor kepada empat pemegang konsesi air dibuat berdasarkan beberapa perkara iaitu:

- Jumlah pelaburan yang dibuat pemegang konsesi air.
- Tempoh pelaburan pemegang konsesi sejak penswastaan air di Selangor.
- Jumlah hutang yang ditanggung (bon dan pinjaman bank) pemegang konsesi air.
- Tawaran yang dibuat entiti kerajaan persekutuan iaitu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
- Pulangan ke atas pelaburan (Return on Investment) sebanyak 12 peratus.

Walaupun tawaran ke atas pemegang konsesi dianggap berpatutan tetapi ia tetap ditolak atas alasan harga yang tidak berpatutan. Pemegang konsesi mahukan ROI sebanyak 15 peratus, bukan 12 peratus, penilaian ke atas aset yang dikatakan kurang daripada nilai sebenar (undervalued) dan sebagainya.

Kita maklum syarikat swasta berperanan menjana keuntungan maksimum dan kepentingan rakyat selaku pengguna air bukan objektif utama oleh semua pemegang konsesi.

AKTA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR  (2006)

Pada 2005, Parlimen meluluskan pindaan perlembagaan bagi Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memindahkan perkara berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air daripada Senarai Negeri kepada Senarai Bersama (kecuali Sabah dan Sarawak).

Pindaan diwarta pada 10 Februari 2005 dan dikuat kuasa mulai 21 Mac 2005. Ini bermakna air yang sebelum 2005 dalam bidang kuasa negeri, dipinda kepada senarai bidang bersama yang bermaksud selepas pindaan perlembagaan itu, hal berkaitan air berada dalam tanggungjawab kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Dengan pindaan itu, kerajaan persekutuan akan mengawal selia industri perkhidmatan air dari segi pelesenan dan kawal selia operator perkhidmatan. Kerajaan Negeri pula mengekalkan kuasa terhadap sumber air, kawasan tadahan air dan embangan sungai.

Pada pertengahan 2006, Parlimen meluluskan dua undang-undang yang mengubah cara Malaysia menguruskan perkhidmatan air iaitu Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara iaitu Akta 654 atau Akta SPAN dan Akta Industri Perkhidmatan Air iaitu Akta 655. Akta 654 (WSIA) menggariskan peranan, fungsi dan bidang tugas SPAN manakala Akta 655 memperuntukkan kawal selia meliputi ekonomi, teknikal dan sosial serta perlindungan hak pengguna.

Seksyen 114 akta itu memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk mengambil alih aset konsesi-konsesi air Selangor.

Setelah lima tawaran kepada syarikat konsesi ditolak, kerajaan Selangor tidak dapat mengambil alih konsesi sebelum 31 Disember 2013, tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

Maka, kerajaan persekutuan hampir pasti akan mengambil alih aset konsesi air di Selangor iaitu:

norman2

LOJI RAWATAN PROJEK LANGAT 2

Ia merupakan projek membina Loji Rawatan Air Langat 2 yang juga sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor untuk merawat 1.89 bilion liter air mentah sebelum disalur ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Projek itu yang dicadang kerajaan persekutuan seawal tahun 2007 bertujuan menampung permintaan bekalan air terawat dari Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya yang meningkat saban tahun.
Langat 2 yang sepatutnya mula dibina pada 2012 tertangguh kerana kerajaan Selangor tidak membenarkan Langat 2 dibina selagi pengstrukturan industri air tidak diselesaikan.

Kerisauan kerajaan  Selangor jelas untuk melidungi kepentingan rakyat Selangor dari beban kenaikan tarif air jika Langat 2 diteruskan.

Pada awal bulan ini, rakyat dikejutkan dengan berita Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bersetuju supaya Langat 2 diteruskan walaupun beliau sebelum ini, menafikan projek itu satu keperluan dengan alasan air mentah di Selangor mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.

Secara jelas, MB menerangkan bahawa Langat 2 boleh diteruskan hanya selepas pengstrukturan industri air di Selangor selesai. Status terkini Langat 2 juga masih berada dalam proses rundingan dan belum dimuktamad dan bersyarat.

Syarat yang dikenakan oleh kerajaan Selangor kepada kerajaan persekutuan untuk persetujuan meneruskan projek Langat 2 ialah:

- Aset loji Langat 2 mesti diserap ke dalam program pengstrukturan air Selangor.
- Kerajaan negeri akan terlibat dalam semua urusan tender Langat 2.
- Kerajaan negeri berhak mendapatkan harga terbaik bagi sebarang struktur binaan Langat 2.
- Harga/tarif air akan ditetapkan oleh kerajaan Selangor.
- Operasi seluruh industri air akan disatu dan diuruskan oleh sebuah Special Purpose Vehicle (SPV) yang akan ditubuh oleh kerajaan negeri.
- Pelantikan dua pentadbir yang dicadangkan oleh kerajaan negeri untuk mentadbir industri air Selangor.

norman3

Kerajaan Selangor juga memberi jaminan, program air percuma melalui skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan kekal walaupun Langat 2 dibina.

Untuk menunjukkan betapa seriusnya kerajaan Selangor menyelesai program pengstrukturan industri air, kerajaan negeri membatal lesen air mentah yang sebelum ini diberi kepada Puncak Niaga Holdings Berhad dan lesen air mentah diserahkan kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor.

Malah, Kerajaan Selangor juga akan memulakan projek ‘Hybrid Off River Augmentation System’ (HORAS) yang akan membekalkan air terawat antara 600 juta hingga 700 juta liter sehari kepada pengguna air sementara menunggu kerajaan persekutuan menguatkuasakan Seksyen 114 WSIA.

Projek HORAS akan mengurangkan kebergantungan Selangor kepada Langat 2 untuk mendapatkan bekalan air terawat.

RUMUSAN

Tidak adil menuduh MB Selangor u-turn ataupun tunduk kepada tekanan kerajaan persekutuan kerana kerajaan Selangor sudah  menawarkan RM9.65 bilion kepada empat konsesi air dan tawaran itu ditolak dengan alasan penilaian aset air yang tidak memuaskan sedangkan kerajaan Selangor mengambil kira pelbagai faktor seperti pulangan ke atas pelaburan (ROI), liabiliti konsesi dan sebagainya.

Kita sedia maklum syarikat swasta dan persendirian akan mengutamakan keuntungan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat terbanyak.

MB Selangor juga tegas untuk tidak tunduk kepada kerajaan persekutuan dalam urusan mengstruktur semula industri air di Selangor. Kebajikan rakyat tetap dijaga melalui penetapan tarif air yang akan ditentukan oleh kerajaan negeri dan program air percuma tetap diteruskan walaupun kerajaan persekutuan mengambil alih aset menggunakan Seksyen 114 WSIA.

Isu air tidak patut dipolitikkan dan dijadikan modal untuk menyerang individu tertentu. Kerjasama dengan kerajaan persekutuan perlu kerana perlembagaan persekutuan sudah dipinda dan meletakkan kuasa ke atas air dalam senarai bersama.

Seperti yang dilaungkan sesetengah pemimpin parti, kita perlu mencari titik temu bersama kerajaan persekutuan demi menjaga kepentingan rakyat.

Jangan hanya kerana permusuhan politik dalaman, isu air tidak selesai dan berlarutan sehingga menjejaskan kelancaran penstrukturan industri air Selangor.

* Disunting dari blog oskortos.blogspot.com.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam saudara!
Tolong linkkan blog saya . Terima Kasih.

http://salatusalatin.blogspot.com/