Jumaat, 14 Februari 2014
Menteri besar atau tidak, Anwar mampu bantu padam isu di Selangor
Walaupun pelbagai alasan didengar daripada ketua mereka, masih ada percanggahan pendapat di kalangan ahli parti Pakatan Rakyat terhadap kewajaran mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Bagaimanapun, pemimpin gagasan itu di Selangor percaya calonnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membantu dalam usaha meredakan ketegangan kaum dan agama yang semakin membara di negeri paling kaya itu.
Sekiranya Anwar dimasukkan ke dalam pentadbiran Selangor jika menang dalam pilihan raya kecil itu, Pakatan akan dapat menggunakan kemahirannya dalam berunding dan berkomunikasi bagi mencari jalan penyelesaian pelbagai isu politik.
Isunya termasuk kemelut penggunaan kalimah Allah, hubungan komuniti berlainan agama dan bagi menjawab asakan berbentuk perkauman.
Pemimpin Pakatan Selangor berpendapat walaupun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah seorang yang mampu mengurus ekonomi dan pentadbiran dengan cekap dan amat baik, tetapi kerajaan negeri kurang mahir menangani isu politik yang berasaskan perkauman dan agama.
Ini dapat dilihat apabila pentadbiran Abdul Khalid dikritik oleh masyarakat awam menerusi isu rampasan Kitab Injil berbahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 2 Januari lalu.
Bagi memberi impak yang berkesan kepada masyarakat, Anwar tidak boleh hanya bergerak sebagai ahli Parlimen atau ketua pembangkang persekutuan yang memberi ceramah di sana sini.
Sekiranya Anwar berjaya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), beliau akan dapat berjumpa dengan pegawai kerajaan negeri dan membantu membentuk dasar yang benar-benar menjiwai prinsip kesamarataan dan inklusif sosial yang dibawa Pakatan.
Pemipin PAS dan DAP percaya ketegangan perkauman dan agama semakin meruncing pada penggal kedua pentadbiran Pakatan Selangor.
Ini kerana Umno, yang mengetuai Barisan Nasional sudah menunjukkan bahawa ia tidak peduli terhadap perasaan dan sokongan komuniti lain selain daripada masyarakat Melayu.
Ketua DAP Selangor, Tony Pua, berkata ini dapat dilihat apabila setiap isu diputarbelitkan supaya menjadi isu perkauman.
Yang terkini adalah protes terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok oleh kumpulan pendesak ketuanan Melayu yang menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang menampar pemimpin DAP itu.
Pada protes 7 Februari itu, ahli kumpulan tersebut menyembelih dua ekor ayam dan melumuri darah binatang tersebut ke atas sebuah kain rentang yang memaparkan muka Kok, dua lagi pemimpin DAP Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang, dan Ahli Dewan Undangan Negeri PKR, Lee Khai Loon.
“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, Umno menjuarai konsep 1Malaysia. Mereka cuba imbangkan keperluan untuk mendapat sokongan Melayu dengan dasar yang toleran terhadap bukan Melayu.
“Tetapi selepas pilihan raya, mereka sudah buang konsep itu,” kata Pua.
Pua berkata, beliau menjangkakan akan berlaku lebih banyak insiden seperti protes itu di Selangor dan Pulau Pinang sebagai usaha Umno untuk meraih sokongan Melayu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad, berkata ketegangan antara agama akan menjadi lebih serius khasnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selepas serbuan Jais.
Dalam serbuan tersebut, Jais merampas lebih 300 kitab Injil berbahasa Melayu dan Iban yang mengandungi perkataan Allah.
“Mais (Majlis Agama Islam Selangor) kemudian boleh mengeluarkan kenyataan bahawa mereka boleh bertindak tanpa persetujuan daripada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan,” kata Khalid, yang juga ahli Parlimen Shah Alam.
“Mereka sudah menjadi agensi yang bertindak tanpa merujuk kepada sesiapa,” kata ahli parlimen dua penggal itu yang lantang dalam kempennya untuk mencari penyelesaian dalam isu kalimah Allah.
Jais berkata operasi mereka berdasarkan Enakmen Selangor 1988 yang melarang penyebaran agama lain kepada orang Islam. Enakmen tersebut melarang orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah dan 30 istillah Arab yang lain dalam upacara agama dan kitab suci mereka.
Cara kerajaan Selangor menangani kemarahan masyarakat sivil terhadap serbuan itu juga dikritik. Kerajaan Selangor mengambil masa yang agak panjang untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan insiden itu, tetapi penjelasannya masih tidak diterima.
Masyarakat sivil, khasnya komuniti bukan Islam, menuduh Pakatan Selangor sebagai mengabaikan janjinya untuk mempertahankan kebebasan beragama bagi orang bukan Islam.
Seorang pemimpin Pakatan yang rapat dengan kerajaan negeri berkata, pentadbiran itu terkejut dengan operasi Jais dan tidak tahu bagaimana untuk memberi respon kepada masyarakat.
Kerajaan negeri tersepit di antara tuntutan daripada masyarakat awam untuk menepati janji pilihan raya Pakatan dan keperluan untuk akur dengan enakmen 1988.
Dalam pada itu, Umno Selangor mendapat nafas baru daripada isu serbuan Jais itu. Parti itu sedang mengadakan roadshow di seluruh negeri bagi mempertahankan serbuan itu dan larangan penggunan kalimah Allah terhadap orang bukan Islam.
“Kerajaan negeri sepatutnya boleh mengeluarkan pendirian yang lebih tegas tetapi mereka tidak berani,” kata pemimpin Pakatan itu yang ingin namanya dirahsiakan.
Selain pemimpin PAS seperti Khalid, pemimpin PAS Selangor lain dilihat tidak berminat untuk berhadapan dan mencari penyelesaian terhadap isu kalimah Allah, kata sumber itu.
Sikap acuh tak acuh pemimpin Islam Pakatan terhadap isu Kalimah akan mengurangkan sokongan komuniti bukan Islam terhadap mereka, kata penganalisa politik, Dr Wong Chin Huat.
“BN tidak perlu meraih sokongan orang bukan Islam. Apa yang BN perlu buat adalah meraih sokongan orang Melayu luar bandar dan memastikan orang bukan Melayu duduk di rumah dan tidak sokong Pakatan,” kata Wong, yang berkhidmat dengan organisasi Penang Institute.
Pemimpin Pakatan berharap Anwar dapat membantu dalam konteks ini dengan menggunakan kelebihannya dan pengalaman politiknya.
Khalid berkata, jika menyertai pentadbiran Selangor, Anwar akan berpeluang berjumpa dengan pegawai kerajaan negeri, pegawai agama dan pemutus dasar di dalam Istana Selangor bagi mencari jalan dalam kemelut penggunaan kalimah Allah.
Latar belakang Anwar sebagai aktivis Islam (beliau adalah antara pemimpin tersohor Angkatan Belia Islam Malaysia) dan sebagai pemimpin akar umbi Melayu memberikannya kelebihan dalam debat yang berkisar tentang isu tersebut.
Seperti yang dikatakan sebelum ini oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, Abdul Khalid adalah seorang pakar ekonomi dan pengurusan. Tetapi bekas tokoh korporat itu tidak semahir menangani isu kaum dan agama berbanding Anwar.
“Ini bukan satu kritikan terhadap Khalid. Hanya isu politik bukan sesuatu yang dia suka. Kita tidak boleh menafikan perkara itu. Khalid seorang pakar pengurusan bukan pakar politik,” kata Rafizi, dalam satu temubual berasingan bersama The Malaysian Insider.
Pada masa sama, berbanding seorang ahli parlimen biasa, Anwar akan dapat menggunakan sumber kerajaan negeri sekiranya beliau menyertai pentadbiran Selangor, kata Pua.
“Ia adalah hak PKR siapa calon mereka di Kajang dan siapa mereka pilih untuk menjadi exco mereka.
“Tetapi sebarang pertukaran kepada jawatan menteri besar masih belum dipersetujui oleh ketiga-tiga parti,” kata Khalid daripada PAS, sebagai mencerminkan percanggahan pendapat terhadap “serampang Kajang”.
“Bagaimanapun sebagai Adun dan exco PKR, Anwar boleh membantu menyelesaikan isu Allah,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan