Selasa, 11 Februari 2014

McDonald’s tarik balik ‘iklan kangkung’

Oleh: Lizawati Madfa


SHAH ALAM  : McDonald’s Malaysia mengambil tindakan menarik semula satu iklannya yang dilihat memperlekehkan kenyataan kontroversi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penurunan harga kangkung.

Dipetik Malaysiakini, McDonald’s memaklumkan portal berkenaan bahawa bahan iklan itu terlepas daripada saringan rasmi dan sebenarnya tidak diluluskan untuk pameran umum.

Mcdonald

“Akibat berlakunya kesilapan komunikasi, visual yang dihasilkan untuk iklan itu terlepas ke rangkaian restoran kami.

“Namun, semua bahan berkaitan iklan berkenaan kini ditanggalkan,” kata rangkaian restoran popular itu dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, beberapa hari selepas Najib mengeluarkan kenyataan berhubung penurunan harga kangkung, McDonald’s dilihat meletakkan iklan yang didakwa merujuk kepada kenyataan itu di meja-meja restorannya di sekitar Lembah Klang.

Antara lain, iklan berkenaan berbunyi; ‘Harga sayur tidak turun tapi harga burger tetap turun’.
Bagaimanapun, iklan itu ditanggalkan beberapa hari kemudian.

Pada bulan lepas, Najib dalam satu ucapannya sewaktu di Terengganu seolah-olah kesal dengan tindakan orang ramai yang sering mengaitkan kenaikan harga barang dengan kerajaan.

Sedangkan, katanya sesetengah harga barang berlaku kerana faktor luaran dan bukannya dasar kerajaan pusat.

“Kangkung dulu naik sekarang sudah turun, kenapa tidak puji kerajaan,” kata Najib.EZY

Tiada ulasan: