Mushar Mushar


SABAK BERNAM – Hasrat seorang warga emas untuk menikmati hidangan sate sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini tidak kesampaian apabila lelaki itu terbunuh dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Parit 5 Sekinchan di sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 tengah hari itu, mangsa, Tan Kem Pou, 65, yang menunggang motosikal jenis Suzuki maut serta-merta di tempat kejadian apabila dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta Suzuki Swift yang menghala dari Sekinchan menuju ke Klang.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, lebih menyayat hati, mangsa turut diseret sejauh 30 meter oleh kenderaan terbabit sebelum merempuh sebuah tiang hentian bas di sebelah kanan jalan.

“Mangsa dipercayai bersama seorang cucunya berusia lima tahun baharu sahaja beli sate di sebuah kedai makan berhampiran untuk pulang ke rumah.

"Bagaimanapun sebuah kereta dari arah sama melanggar motosikal mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Mushar berkata, akibat dilanggar dan diseret kenderaan terbabit, mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki kiri dan cedera teruk di bahagian kepala selain terdapat kesan luka teruk di bahagian kedua-dua kaki dan tangan.

“Mayat mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Sementara itu polis difahamkan, cucu mangsa yang membonceng motosikal itu hanya mengalami kecederaan ringan selepas terjatuh di tepi jalan.

"Cucu mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanjong Karang bagi menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

"Polis kini menyiasat kes itu di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.