Amiruddin Amiruddin


ALOR SETAR -  Program Malam Mahabbatur Rasul-Kedah Berselawat yang diadakan di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu, menjadi bualan hangat pelbagai pihak.

Ada yang kagum dengan penganjuran program yang julung kali diadakan dihadiri lebih 40,000 peserta, namun tidak kurang reaksi pihak-pihak tertentu yang cuba mencetuskan kontroversi daripada program anjuran kerajaan negeri dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK).

Maklum balas daripada laman sosial menunjukkan reaksi positif yang menyanjung penganjuran program seumpama itu, namun timbul juga reaksi-reaksi negatif, antaranya mengaitkan program itu ditaja oleh syarikat perjudian.

Sebelum majlis berlangsung, dikatakan pula sekolah-sekolah pondok pro Pas dilarang hadir ke majlis berkenaan.

Pada masa yang sama, satu poster palsu yang diedit dengan memasukkan gambar isteri menteri besar, disebar sebagai bahan fitnah menerusi laman-laman sosial.

Blog-blog pro Umno turut mengaitkan dakwaan itu sebagai kerja Pas.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, parti itu tidak pernah mengeluarkan arahan supaya ahli dan penyokong Pas memboikot program itu termasuk menghalang mana-mana sekolah pondok untuk turut serta.

“Pas tidak halang jika ada ahli sertai program itu, kerana ia program keagamaan. Tidak ada arahan bertulis dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, parti itu juga tidak terlibat dengan tindakan pihak tertentu yang cuba memburuk-burukkan program itu dengan mengedarkan poster palsu.

“Itu juga tiada kaitan dengan Pas. Ingin saya tegaskan, jika ada maklum balas dari laman sosial berhubung perkara itu, ia bukan kenyataan rasmi Pas, tetapi atas individu berkenaan.

Aplikasi teknologi menerusi media baru seperti itu sukar dikawal,” katanya.

Mengulas dakwaan program itu ditaja syarikat judi, Amiruddin yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya tiada maklumat berkaitan perkara itu walaupun ia kini menjadi bualan ramai.

“Kita akan siasat sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya. Pas tidak akan serang jika kenyataan itu belum sahih,” katanya.