Isnin, 3 Februari 2014

Liow kena contohi kejantanan Lee San Choon

Lee San Choon sanggup turun bertanding di parlimen Seremban pada tahun 1982 menentang Pengerusi DAP, Chan Man Hin. 



PETALING JAYA: Bekas calon majlis tertinggi Umno 2013, Zaharin Mohd Yasin berkata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai patut mencontohi keberanian bekas Presidennya, Datuk Lee San Choon.

Katanya, Lee San Choon sanggup turun bertanding di parlimen Seremban pada tahun 1982 menentang Pengerusi DAP, Chan Man Hin.

“Kenapa Liow tidak sejantan Lee San Choon?” soal beliau dalam Facebooknya.

Beliau yang juga blogger Sang Kelembai berkata MCA tak perlu meletakkan jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei dalam PRK Kajang.

“Bacalah sejarah pemain bola sepak, Soh Chin Aun bertanding di Kota Melaka, orang-orang Cina bukan ambil peduli. Mereka tetap pilih DAP,” katanya.

Zaharin mendakwa semua calon-calon MCA menang di kawasan Melayu

“MCA kerana kesombongannya dan tamak walau pun tidak mampu menang tetap hendak meletakkan calon di Kajang,” katanya lagi.

PRK Kajang akan diadakan tidak lama lagi berikutan peletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh.

PKR akan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon manakala MCA yang mewakili BN belum menetapkan siapa lagi calon kerana SPR belum mengumumkan tarikh penamaan calon.

SPR akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi.

Tiada ulasan: