Isnin, 3 Februari 2014

Khalid bersama Anwar lancar kempen PRK Kajang malam ini

OLEH SHERIDAN MAHAVERA

Ramai masih memandang negatif PRK Kajang yang memerlukan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasannya. Gambar fail.Ramai masih memandang negatif PRK Kajang yang memerlukan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasannya. Gambar fail. 



























Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka hadir di Kajang mala mini bagi membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim menerangkan kepada pengundi keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu.

Selain menerangkan rasional di sebalik kritikan terhadap PRK itu, PKR berharap dapat menunjukkan kepimpinan yang kukuh kepada orang ramai dengan menggandingkan ketua pembangkang dan populariti Abdul Khalid.

Usaha itu penting bagi menolak dakwaan menyatakan PRK Kajang yang disebabkan peletakan jawatan penyandangnya Lim Chin Cheh daripada PKR merupakan satu gerakan menyingkirkan Abdul Khalid oleh partinya sendiri.

Abdul Khalid dijangka memberi penerangan itu bersama Anwar dalam pelancaran jentera PRK di dewan komuniti Taman Mesra Kajang pada jam 9 malam ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata kehadiran Abdul Khalid merupakan pengesahan pelan keseluruhan yang mahu mengangkat Anwar sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor melalui PRK.

“Sudah tentu semasa perancangan awal pelan ini, tidak banyak penyertaan daripada pihak yang berkaitan tetapi selepas perbincangan mendalam, semua pihak termasuk Abdul Khalid melihat keperluannya,” katanya.

Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan berkata, Anwar dan Abdul Khalid akan menghadiri program bersama sepanjang kempen pilihan raya.

Ura-ura plot menggantikan Abdul Khalid dengan Anwar bermula apabila menteri besar Selangor itu dikatakan tidak sehaluan dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Anwar sendiri dalam polisi pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Dalam satu temubual hujung bulan lalu, Rafizi menafikan perkara ini sebaliknya menyatakan kehadiran Anwar adalah untuk mengukuhkan kedudukan Abdul Khalid di Selangor daripada segi politik dan orang nombor satu kerajaan negeri itu sememangnya cekap dalam pengurusan.

Rancangan itu membolehkan mereka bekerjasama di bawah satu bumbung kerajaan negeri dengan Abdul Khalid sebagai menteri besar manakala Anwar sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) atau sebaliknya.

Rafizi berkata, Anwar memerlukan kuasa politik sah bagi membantu Selangor berdepan dengan  serangan politik agresif daripada Umno Selangor yang menggunakan isu perkauman di negeri itu.

Meskipun PKR mengambil langkah perlu, Rafizi mengakui pelan itu turut membantu meredakan pertelingkahan di antara Azmin dan Abdul Khalid.

Azmin juga dijadualkan berucap dalam acara malam ini atas kapasitinya selaku pengarah PRK tersebut.

Meskipun PAS dan DAP menyatakan persetujuan bagi menyokong PKR dalam PRK itu, aktivis politik tanah air masih gagal melihat pelan itu bagi menerangkan kepada pengundi.

"Kami masih terkejut dengan pengumuman yang dibuat minggu lalu," kata seorang aktivis akar umbi Pakatan Rakyat (PR) di Selangor yang tidak mahu namanya didedahkan dan menuntut Anwar memberi penerangan lanjut kepada ahli parti hari ini.

Rafizi mengakui masih banyak suara negatif terhadap pelan itu.

"Tidak akan banyak kritikan terhadap Barisan Nasional hari ni. Mereka yang berucap akan lebih memfokuskan kepada penerangan pelan ini.

"Saya fikir pengundi perlu mendengar sendiri daripadanya (Anwar). Selama ini kami bercakap benar tetapi malangnya dalam politik, rakyat sering dibayangi tipu muslihat.

"Maka lebih baik dengarkannya sendiri," katanya.

Tiada ulasan: