Rabu, 12 Februari 2014

Kes Perbicaraan Rakyat M'sia Di Sweden: Hanya Mahkamah Agung Boleh Bebaskan Mereka Sementara Tunggu Perbicaraan

MSTAR ONLINE
 
 
PETALING JAYA: Peguam kepada rakyat Malaysia yang sedang ditahan reman di Sweden kerana didakwa memukul anak-anak mereka telah memfailkan permohonan di Mahkamah Agung untuk membenarkan anak guamnya dibebaskan semasa proses perbicaraan berlangsung.

Kristofer Stahre, yang mewakili Shalwati Nurshal, iaitu isteri kepada wakil Tourism Malaysia di Sweden berkata, hanya Mahkamah Agung Sweden sahaja yang berhak menentukan kebebasan Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awalludin.

Undang-undang Sweden tidak memperuntukkan ikat jamin kepada mereka yang ditahan sementara menunggu perbicaraan.

“Saya telah pun mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Agung Sweden dan saya menjangkakan jawapan hujung minggu ini,“ kata Stahre dalam kiriman emel kepada pertanyaan mengenai status kedua-dua Shalwati dan Azizul.

Menurut Stahre, Shalwati dan suaminya Azizul buat masa ini akan terus ditahan reman melainkan Mahkamah Agung memutuskan sebaliknya.

Peguam Azizul, Jonas Tamm tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Pasangan itu telah dicaj pada Isnin di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm atas tuduhan memukul anak-anak mereka yang dilihat sebagai mencabul integriti kanak-kanak berkenaan.

Sweden mempunyai undang-undang perlindungan kanak-kanak yang antara paling ketat di dunia.

Shalwati dan suaminya tidak mengaku salah di atas pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka dan kes mereka akan dibicarakan serentak pada 18 Februari depan dan perbicaraan dijangka mengambil masa 10 hari.

Kedua-dua mereka kini sudah 50 hari berada dalam tahanan reman sejak ditahan pada 18 Disember lalu.

Sementara itu di Kota Baru, saudara mara kepada keempat-empat anak pasangan Malaysia itu tidak membenarkan para wartawan menemuramah mereka.

Abang ipar, Shalwati, Nik Farid Nik Abdullah memberitahu para pemberita yang mengunjungi rumah mereka di Kampung Wakaf Tok Wali, Melur, yang mereka tidak akan membenarkan pihak media menemuramah keempat-empat anak saudaranya itu. Bagaimanapun adalah difahamkan Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, tujuh, telah tidak ke sekolah pada Selasa selepas kedua-dua ibu-bapa mereka dicaj di mahkamah untuk mengelak daripada menjadi tumpuan ramai.

Selepas mereka dibawa kembali ke Malaysia, Aishah dan Ammar telah mendaftar di SMK Padang Kala manakala Adam dan Ariff pula mendaftar di SK Padang Kala.

Tiada ulasan: