Rabu, 12 Februari 2014

DUN Kajang: Kekalkan status quo, letak calon MCA

Apa yang penting kini ialah MCA perlu berusaha tarik balik sokongan kaum Cina.




KAJANG: Kerusi DUN Kajang adalah milik MCA. Oleh itu Umno tidak berhak untuk mengambilnya semula dari MCA.

Menurut veteran MCA, Datuk Jimmy Lau, BN perlu kembalikan kerusi DUN Kajang kepada MCA pada PRK 23 Mac ini demi menebus kekalahan parti itu pada PRU yang lalu.

Katanya, semua pihak perlu lupakan kesilapan dan perkara yang sudah lepas.

Menurutnya, apa yang penting kini ialah MCA perlu berusaha tarik balik sokongan kaum Cina.

“Oleh itu, penting untuk BN meletakkan calon MCA di kawasan itu kerana undi masyarakat Cina amat penting untuk mendapatkan semula kepercayaan kaum itu kepada BN.

“Pada asalnya, kerusi kawasan itu memang milik MCA. Justeru, perlu dikembalikan kepada parti itu untuk elak salah faham,” katanya kepada sebuah akhbar harian semalam.

Beliau diminta mengulas calon yang perlu diletakkan BN di Dun Kajang. Penamaan calon ialah pada 11 Mac depan.

Beliau berkata, jika MCA terpilih, mereka mungkin dapat buktikan usaha barisan kepimpinan baharu dapat mengubah undi BN.

“MCA perlu serius dan pada masa yang sama masyarakat kawasan itu juga diminta beri sokongan kepada calon BN.

“Calon MCA mestilah diyakini dapat berbakti kepada rakyat kawasan itu di samping setanding untuk menentang calon pembangkang,” katanya.

Bekas timbalan presiden, Tan Sri Lim Ah Lek, juga bersetuju supaya BN meletakkan calon MCA di kawasan itu.

“Itu kawasan MCA dahulu, tetapi siapa calon terserah kepada pucuk pimpinan parti,” katanya.

Tiada ulasan: