Cadangan bagi menjadikan pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menentang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melihatkan MCA tidak serius menghadapi pilihan raya itu, kata Kelab Veteran Umno.
Setiausaha agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata mengheret Lee sebagai calon BN membuktikan MCA tidak berkeyakinan memenangi PRK itu selain Kajang bukanlah medan ujian bagi MCA selepas mempunyai pemimpin baru.
“Veteran daripada dahulu berpendapat, jangan jadikan PRK Kajang sebagai tempat menguji kekuatan MCA. Sekiranya mereka tidak yakin, serahkan sahaja kepada Umno.
“Apa yang penting BN menang. Walaupun bukan senang untuk mengalahkan Anwar tetapi ia tidak mustahil BN boleh membuat kejutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pada Jumaat partinya akan meneliti semua cadangan termasuk meletakkan Lee sebagai calon BN dalam PRK DUN Kajang.
Katanya, populariti Lee mungkin boleh membantu memberikan kemenangan kepada BN di kerusi tersebut.
Mustapha berkata meskipun Kajang adalah kawasan tradisi MCA tetapi parti itu tidak seharusnya menjadikan PRK DUN Kajang sebagai taruhan.
Katanya, Liow adalah calon yang lebih layak mewakili MCA jika parti komponen BN itu berhasrat untuk bertanding di PRK itu nanti.
“Kalau benar MCA mahu menjadikan PRK Kajang sebagai medan ujian selepas mendapat kepimpinan baru maka adalah wajar sekiranya Liow yang bertanding,” katanya.
Lee dalam kenyataan balasnya semalam menyifatkan dirinya bukan ahli politik dan lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada kerjayanya sebagai pemain badminton antarabangsa.
"Saya tidak tahu apa-apa, tiba-tiba dapat banyak panggilan bertanyakan tentang perkara ini. Memang terkejut sangat," katanya kepada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta agar Lee tidak dilibatkan dalam PRK DUN Kajang kerana jaguh badminton negara itu merupakan khazanah negara.
"Tolong jangan sentuh Chong Wei. Beliau adalah khazanah negara. Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya tidak benarkan," katanya dalam akaun Twitter semalam.
Ketua Umno Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin mencadangkan pada Khamis agar MCA meletakkan Lee sebagai calon BN di DUN Kajang kerana popularitinya mampu menandingi populariti Anwar.
Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, pemilihan Chong Wei sebagai calon dapat mengalihkan pelbagai isu yang melanda negara sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan