Ahad, 9 Februari 2014

BN Sarawak terima keputusan Taib untuk bersara

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Kesemua empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini mencapai kesepakatan untuk menerima keputusan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) untuk meletak jawatan, dan menyokong sesiapa sahaja yang beliau pilih menggantikannya.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui Taib sebagai presiden,

sepakat itu disuarakan menerusi presiden parti komponen BN lain, iaitu Tan
Sri Dr James Jemut Masing (Parti Rakyat Sarawak), Tan Sri William Mawan Ikom (Parti Progresif Demokratik Sarawak) dan Tan Sri Peter Chin (Parti Rakyat Bersatu Sarawak).

"Kesemua pemimpin bersetuju untuk bekerja keras sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka diadakan pada 2016, dan Yang Amat Berhormat Pehin Sri (Taib) memberi jaminan beliau sentiasa sedia untuk memberi nasihat kepada kami," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat tertutup antara Taib dan pemimpin berkenaan serta anggota Dewan Tertinggi BN di ibu pejabat PBB.

Taib, menurut Dr Rundi, menegaskan bahawa tiga pemimpin PBB – Timbalan Presiden, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Naib Presiden Kanan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Anggota Majlis Tertinggi Tan Sri Adenan Satem – merupakan bakal penggantinya.

Ditanya sama ada pengumuman Taib semalam membayangkan tarikh khusus persaraan dan bakal penggantinya, Dr Rundi menjawab: "Hanya Tuhan dan beliau (Taib) saja yang tahu." – Bernama

Tiada ulasan: