Logo PRK dun Kajang


SHAH ALAM- Formula meletakkan golongan agamawan sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang tidak boleh diguna pakai BN berikutan komposisi pengundinya yang hampir sama antara Melayu dan Cina.

Pensyarah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, calon agamawan juga belum mampu mempengaruhi pengundi untuk memberikan kemenangan kepada BN.

“Formula di Permatang Pauh dengan meletakkan calon agamawan semasa pilihan raya lalu mungkin sesuai kerana ia kawasan kampung dengan majoritinya Melayu dan berhasil kerana berjaya kurangkan undi kepada PKR.

“Tapi di Kajang, pengundi Cina khususnya tidak akan mengambil kisah dengan calon agamawan atau tidak langsung memberi undi kepada BN kerana komposisinya 49 peratus Melayu dan 40 peratus Cina,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sehubungan itu katanya, beliau yakin BN tidak akan memperjudikan calonnya hanya untuk bertanding di PRK Kajang yang tidak akan memberi implikasi yang besar kepada parti itu.

“Kalau ikutkan sejarahnya pun, Pas menang pada tahun 1999, 2004 MCA, manakala bagi 2008 dan 2013, PKR kekal dengan majoriti yang lebih besar.

“Sekalipun kalah, tiada apa kesan kepada Dun Selangor begitu juga kalau menang. Tapi kesannya jadi besar jika PKR berjaya dikalahkan BN dalam PRK ini,” kata beliau.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Mohd Noor berkata beliau yakin BN akan kalah jika meletakkan calon MCA.

“Cina di Kajang sudah pun menolak MCA, lebih baik jika kerusi itu diberikan kepada BN melalui rundingan bagi PRK ini.

“Sekalipun mahu calonkan juga dari MCA, individu itu mesti berintegriti, terkenal dengan budaya korporat yang berjaya selain akademiknya diperakui,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya jika BN ada calon boleh menang yang mampu menggugat kedudukan Anwar, beliau yakin BN akan beroleh kejayaan.

“BN jika mahu menang PRK ini ia bukan berkisar kepada calon sahaja, tetapi perlu bijak mengambil kesempatan di tengah-tengah kemelut khususnya PKR.

“Ini kerana PKR sudah ketandusan calon yang berwibawa kerana terpaksa diambil alih oleh Anwar sendiri untuk bertanding di PRK Kajang,” katanya.