Rabu, 12 Februari 2014

Beri penerangan di Kajang, Anwar langgar akta mana?

MUHAMMAD FAIZAL 


KUALA LUMPUR: PKR menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan di bawah akta manakah kesalahan yang dilakukan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan kempen beliau di Kajang.

Jelas Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran tidak ada sebarang perkara yang bertentangan undang-undang dilakukan oleh Anwar sepanjang beliau mengadakan penerangan.

Katanya, bukan suatu masalah kepada seseorang itu untuk memberi penerangan kepada rakyat sama ada berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) atau pun tidak.

"Apa yang dilakukan oleh Anwar itu tidak bertentang dengan perundangan, beliau hadir untuk memberi penerangan dan bukan berkempen.

"Bagi saya bukan satu kesalahan kalau kita hendak membuat penerangan sama ada berlakunya PRK atau pun tidak.

"Saya meminta agar SPR dan kerajaan memberi penjelasan apakah kesalahan yang telah dilakukan dan di bawah undang-undang serta akta yang manakah telah beliau langgari," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang merupakan seorang peguam turut kesal apabila tindakan hanya dikenakan kepada Ketua Pembangkang dengan dakwaan Anwar telah berkempen sebelum hari penamaan calon.

"Pihak berkuasa mengambil tindakan mengatakan Anwar telah berkempen sebelum hari penamaan calon.

"Tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) juga telah mula berkempen melalui media arus perdana kenapa tidak dikenakan tindakan. Kenapa perlu pilih kasih dalam soal ini," tegas beliau.

Ketika ditanya mengenai siasatan yang dibuat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, Naib Presiden PKR itu meminta pihak polis memberi penjelasan khusus berhubung dengan dakwaan tersebut.

Sebelum itu, pihak polis telah membuka tiga kertas siasatan terhadap Ketua Umum PKR berhubung tindakan beliau berkempen sebelum penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dun Kajang 11 Mac depan.

Perkara itu disiasat bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak mengemukakan sebarang kenyataan bertulis 10 hari sebelum melakukan kempen.

Bagaimanapun, Anwar membidasnya dengan tidak akan melayan dakwaan tidak berasas itu bahawa beliau melanggar undang-undang dengan memancing undi terlalu awal.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Bila SPR kata Anwar langgar akta? Yang kata Majlis Peguam, depalah bodoh, geng hanglah !

Nazaruddin si Hamba Allah berkata...

Lagi banyak kezaliman dan ketidak adilan dilakukan lagi kuat sokongan dan dokongan rakyat menaikkan DSAI untuk memimpin ke arah Malaysia Baru... Insyaallah