DETIK DAILY |
Dakwaan Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah kononnya pelaksanaan Manifesto Pakatan Rakyat akan melonjakkan defisit negara ke paras 11.5 peratus sebagai tidak berasas dan tidak masuk akal.
Husni dalam kenyataan 29 Mac lalu turut mendakwa kononnya Manifesto Pakatan akan meningkatkan hutang kerajaan sehingga 62.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 54.6 peratus di bawah pentadbiran Kerajaan Umno-BN.
Dakwaan itu dibuat tanpa membentangkan sebarang data atau perkiraan. Berbeza dengan disiplin Pakatan yang sentiasa mempertahankan rancangan ekonominya menggunakan fakta dan data yang jelas.
Rakyat kini menuntut mana-mana parti politik yang membentangkan dasarnya agar turut menyertakan analisa lengkap sebagai bukti agar ia boleh dikaji dan dikritik.
Ini dibuat secara terperinci oleh Pakatan, sejurus selepas Manifesto Rakyat dibentang, analisa lengkap kos setiap program turut dibentangkan.
Husni pula sehingga kini masih belum mampu menampilkan analisa yang menunjukkan kirakira kewangan. Masalah defisit negara yang berpanjangan sejak 1998 sebenarnya bermula dan diwariskan oleh pengurusan Kerajaan Umno-BN.
Walaupun hasil negara bertambah mendadak terutamanya dengan kenaikan harga minyak mentah sejak 2008, BN tidak menggunakan peluang itu untuk memotong defisit, sebaliknya ia dijadikan alasan untuk berboros sehingga defisit kekal tinggi.
Menyanggah dakwaan Husni berhubung hutang negara Pakatan menyifatkan perbelanjaan tidak terkawal Umno-BN menyebabkan hutang negara mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada paras 54.6 peratus daripada KDNK, iaitu hanya 0.4 peratus dari had hutang yang dibenarkan.
Perbelanjaan tidak terkawal ini dapat dibuktikan dengan rekod buruk BN yang berbelanja melebihi belanjawan yang diluluskan setiap tahun.
Pakatan hanya perlu menghentikan amalan berbelanja tanpa kelulusan, hentikan ketirisan dan memacu ekonomi supaya hasil negara meningkat.
Kenyataan Husni kononnya Kerajaan Umno-BN tidak berhutang untuk membayar gaji penjawat awam serta kos operasi kerajaan turut dibidas.
Kenyataan itu tidak tepat, ia hanya dapat dilakukan kerana Umno-BN menggunakan dana Petronas secara tidak terkawal.
Tanpa dana tersebut, BN terpaksa berhutang bermula dari 2005 lagi.
Tidak cukup dengan itu, ada segelintir yang terkeliru dengan kos untuk menurunkan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat seperti yang diuar-uarkan oleh Pakatan Rakyat.
Kebanyakan mereka terpengaruh dengan beberapa angka yang ditimbulkan oleh propaganda Umno, terutamanya setelah Pakatan membentangkan bagaimana dasar ini akan dibiayai dan kesannya kepada rakyat.
Untuk memastikan pembaca benar-benar faham hubungkait di antara cukai eksais, cukai import, cukai jualan dan AP dengan harga kereta, wajarlah rakyat membaca panduan yang telah disediakan untuk menjawab kenyataan Dato’ Mukhriz Mahathir suatu ketika dahulu.
Apabila rakyat menghadam panduan itu, barulah boleh memahami bahawa AP tidak mempengaruhi kereta terbanyak yang 90 peratus tidak dikenakan AP kerana dipasang di Malaysia. AP ini adalah cukai untuk kereta mewah yang dibawa masuk ke Malaysia.
Sistem AP diteruskan oleh Kerajaan Umno-BN untuk memberi keuntungan kepada kroni tertentu walaupun bertentangan dengan peraturan perdagangan bebas yang ditandatangani dengan WTO dan AFTA.
Sebab itu, AP hanya boleh dilaksanakan sehingga 2015 seperti yang dipersetujui oleh Kerajaan Umno-BN sendiri.
Bertitik tolak dari sinilah, maka kesempatan ini digunakan untuk memaksimakan pendapatan negara dalam tempoh tiga tahun, agar peruntukan tahunan untuk mengimbangi kekurangan hasil apabila cukai eksais dipotong adalah rendah.
Oleh yang demikian, rancangan Pakatan adalah:
1. Memotong cukai secara berperingkat 20% setiap tahun.
2. Menambah pendapatan antara tahun 2013-2015 dengan lelongan AP.
3. Memperuntukkan RM2 bilion antara tahun 2013-2014 dan RM1 bilion antara 2015-2017 agar aliran tunainya berimbang menjelang 2017, kerana menjelang 2017 ekonomi yang dijana akan berjaya mengatasi jumlah RM7 bilion cukai eksais yang dihapuskan.
Perkara ini ditunjukkan dengan jelas dalam pembentangan kos program Pakatan di dalam forumforum dan pihak media.
Persoalannya: Apakah kita tidak mampu menabung RM2 bilion setiap tahun bagi tahun 2013-2014 supaya aliran tunai berimbang apabila potongan cukai mencecah 60 peratus dalam tahun 2015, sedangkan Kerajaan Umno-BN membelanjakan ratusan bilion untuk projek mega?
Itu pun kalau Pakatan mahu memastikan pendapatan dari cukai eksais diganti agar aliran tunai kerajaan berimbang sepanjang masa.
Kerajaan Umno-BN selalunya mengambil jalan yang lebih nakal – terus berhutang dan membiarkan aliran tunai negara defisit sepanjang masa, sejak zaman Tun Mahathir lagi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan