Jumaat, 5 Oktober 2012

Umno-BN Amal Pengurusan Ekonomi Silap Mata





SHAH ALAM  : Bajet 2013 membuktikan Umno-BN mengamalkan pengurusan ekonomi silap mata yang penuh dengan kosmetik, transformasi hiasan dan bukan reformasi struktur.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, sejak tahun 1999 kerajaan Umno-BN sudah menggunakan bajet defisit setiap tahun yang meletakkan ekonomi negara ditahap paling lemah berbanding negara-negara Asia lain.

Malah, hutang Kerajaan Pusat akan mencecah lebih 53.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM502.4 bilion, menjadikan hutang itu menghampiri jumlah siling yang dibenarkan di bawah undang-undang.

Jelasnya, hutang itu akan melebihi 65 peratus KDNK sekiranya dijumlahkan dengan ‘hutang tersembunyi’ di dalam bentuk ‘Contingent Liability’.

Tambahnya, statistik serta unjuran pertumbuhan ekonomi kerajaan Umno- BN seringkali tidak mencapai sasaran sebaliknya hanya mencapai purata sebanyak 4.2 peratus KDNK daripada jumlah sasaran 6 peratus.

“Setiap tahun pula akan ditambahkan bajet dengan peruntukan pembekalan tambahan (supplementary budget). Kecenderungan ‘bermain nombor dan angka’ hanya mencacatkan kewibaan pengurusan ekonomi di mata dunia,” katanya dalam ucapannya di Parlimen hari ini.

Izzah turut mempersoalkan hutang terkumpul oleh syarikat-syarikat Syed Mokhtar sebanyak RM34.3 bilion yang tidak diberi jaminan untuk cuba ‘diselamatkan’ oleh kerajaan.

“Ia melibatkan 10 peratus dari hutang korporat nasional dan jika dibanding dengan kes Renong yang merupakan RM20 bilion iaitu lapan peratus dari hutang korporat nasional ketika itu,” katanya.

Tiada ulasan: