SHAH ALAM : Pelaksanaan Bajet 2013 oleh Umno-BN akan mengakibatkan masa depan generasi muda terpinggir dan dibebani hutang negara apabila ditambah dengan Liabiliti Luar Jangka sebanyak lebih RM700 bilion.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, ia meliputi kegagalan generasi muda dalam pemilikan aset rumah kerana nisbah di antara gaji purata tahunan dan harga rumah sepatutnya mengikut piawaian antarabangsa.
Katanya, ia sepatutnya berada pada kadar lima kali gaji tahunan, bagaimanapun kini ia sudah 15 kali gaji tahunan.
“Apabila sebut isu perumahan mampu milik, saya berasa hampa kerajaan tidak mengambil kira konsep Sewa Hingga Milik tanpa faedah untuk pembiayaan skim Perumahan Awam.
“Contohnya, Projek Perumahan Rakyat (PA-PPR) yang akan meneruskan prinsip menambahkan dan bukan mengurangkan pendapatan bolehguna (disposable income) memandangkan ramai penduduk di Lembah Pantai adalah dikategorikan sebagai ‘self-employed’,” katanya dalam ucapannya di Parlimen.
Izzah menambah ia berbeza dengan tawaran Pakatan Rakyat (PR) yang lebih bersifat mampan dan struktural dengan penubuhan satu Lembaga Perumahan Negara bersertakan beberapa kaedah seperti skim separa-milik rakyat miskin, bina dan jual serta rumah sewa awam.
Selain itu, golongan muda juga akan dibebani dengan hutang pinjaman pengajian tinggi seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) sedangkan kualiti pendidikan dan kelayakan untuk diambil kerja masih rendah dan tidak terjamin.
Setakat ini, 40,000 siswazah Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara masih mencari pekerjaan berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2011 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Mereka ini akan diganggu kerana ‘diperintahkan’ untuk membayar hutang. Memang benar, Islam mewajibkan untuk membayar hutang.
“Namun, sebuah kerajaan yang baik akan cuba sedaya upaya untuk melunaskan hutang rakyat di bawah seliaannya dan ini yang akan PR nanti apabila kita memegang tampuk pemerintahan Negara,” katanya.
Jelasnya, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2009, menjelaskan tahap kewangan PTPTN akan menghadapi aliran tunai defisit RM45.89 bilion menjelang tahun 2016.
“Pengurusannya begitu teruk sehinggakan baki pengeluaran pembiayaan kasar berjumlah 24.42 bilion tidak dapat disahkan kerana wujudnya perbezaan antara lejar am dan senarai nama peminjam,” katanya.
Tambahnya, generasi Muda juga akan terpaksa berhutang membeli kereta yang harga tinggi akibat cukai berganda kerana sistem pengangkutan awam masih pincang.
“Inilah yang dimaksudkan bila saya sebut bajet ini bukan sahaja menghadapi defisit fiskal tapi juga defisit moral,” katanya.
Mengulas lanjut isu rebet telefon, Izzah berkata dengan pemberian Rebet Telefon sebanyak RM200 dilihat hanya mengkayakan kroni pimpinan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan