Jumaat, 19 Oktober 2012

SWP tanding semua kerusi PRS

 
Presiden SWP Larry Sng memberitahu beliau sendiri akan bertanding di salah satu kerusi yang difikirkan dapat memberi kemenangan kepada partinya.



MIRI: Parti Pekerja Sarawak (SWP) akan bertanding di semua enam kerusi kawasan parlimen yang diperuntukan kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Presidennya, Larry Sng ketika mengesahkan perkara tersebut malahan turut memberitahu beliau sendiri akan bertanding di salah satu kerusi yang difikirkan dapat memberi kemenangan kepada SWP.

Pada masa ini, PRS diperuntukan kawasan parlimen Selangau, Julau, Konawit, Sri Aman, Lubok Antu dan Hulu Rajang.

“Ya, kita akan bertanding di semua kerusi yang meletakkan calon PRS, kali ini kita akan lawan PRS habis-habisan di semua kerusi yang mereka bertanding.

“Malahan saya sendiri akan bertanding di satu daripada kawasan berkenaan yang dirasakan sesuai serta dapat memberi kemenangan kepada SWP.

“Sebagai presiden rasanya saya patut menjadi calon di salah sebuah kawasan yang dipertandingkan itu,” katanya ketika dihubungi FMT di Kuching, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing mendedahkan ada bekas pemimpin masyarakat Iban di dapati bersekongkol dengan pembangkang.

Larry menjelaskan, perkara tersebut memang diakui kalau ia ditujukan kepadanya dan anggota parti SWP termasuk bapanya, Datuk Sng Chee Hua.

Bagaimanapun katanya, SWP tetap sebuah parti ‘sahabat baik’ kepada parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) yang lain kecuali PRS tetapi tidak bermakna SWP bersekongkol dengan parti pembangkang.

“Kita akan tetap menjadi sahabat baik kepada parti SPDP, PBB termasuk SUPP dan BN pada keseluruhannya,” katanya.

Mengulas kemungkinan parti itu diterima dalam BN pada masa akan datang, Larry memberitahu, ia adalah sesuatu yang masih terlalu jauh untuk difikirkan dan adalah lebih baik ia tidak menjadi isu pada masa ini.
Katanya, apa yang penting pada masa ini, parti SWP mengambil peluang yang ada untuk memenangi hati rakyat sebagai persiapan menghadapi PRU13 yang akan datang.

Tiada ulasan: