Isnin, 22 Oktober 2012

SPR: Faktor cuaca bukan penghalang urus PRU13

Wartawan Sinar Harian

 Menjelang PRU 13

 PUTRAJAYA – Sekiranya Parlimen dibubarkan dalam bulan ini atau awal November, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mencari tarikh “paling cantik dalam keadaan yang buruk” untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Hal ini kerana dikhabarkan, bermula pertengahan bulan depan, beberapa negeri dikatakan bakal terjejas teruk apabila angin monsun timur laut melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Namun SPR selaku agensi yang bertanggungjawab untuk menjalankan proses pilihan raya, kata beliau, terpaksa akur untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh yang telah ditetapkan walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Memang salah satu faktor yang dibimbangkan oleh SPR apabila menentukan tarikh-tarikh penting seperti  tarikh penamaan calon dan yang paling penting, tarikh pilihan raya ialah faktor cuaca.

“(Tetapi) kalau hari ini tiba-tiba Perdana Menteri bubar Dewan (Parlimen), saya hanya ada 60 hari termasuklah bulan November,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam temu bual eksklusif di pejabatnya di sini, Abdul Aziz berkata, SPR memerlukan perancangan yang teliti terutama dalam aspek keselamatan bagi memastikan pilihan raya umum berjalan lancar meskipun berhadapan masalah bencana alam.

“Kita akan mendapatkan kerjasama daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita berjaga-jagalah.  MKN akan membantu kita dari segi menggunakan perkhidmatan tentera, polis, perkhidmatan bomba, perkhidmatan Jabatan Pertahanan Awam Negara (JPAM) atau jabatan-jabatan lain untuk turut membantu untuk mengangkut atau menyelamat pengundi-pengundi.

“Jika sekiranya Dewan dibubarkan dalam tempoh terdekat, SPR tidak ada pilihan,” katanya.

Lima negeri dikatakan bakal terjejas teruk apabila angin monsun timur laut melanda iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.

Jabatan Pengairan dan Saliran turut memberi amaran kepada orang ramai, negara bakal berhadapan risiko banjir besar antara November hingga Mac tahun hadapan.

Pengarah Bahagian Hidrologi dan Sumber Air, Datuk Hanapi Mohamad Noor berkata, purata hujan tahunan adalah 3,000 milimeter (mm) dan menambah: "dengan 1,800mm yang dicatatkan dari Januari kepada September, ia dijangka akan lebih 1,200mm dari Oktober hingga Disember dan ini merupakan jumlah yang banyak."

Hanapi berkata, banjir yang akan berlaku jika hujan yang turun dalam bulan tersebut berterusan selama satu hingga tiga hari di kawasan yang sama.

Sementara Kuala Lumpur pula dikatakan akan berhadapan dengan banjir kilat dalam tempoh yang sama.

Difahamkan jabatan-jabatan tertentu yang bertanggungjawab juga sudah bersedia untuk menghadapi situasi getir itu.

Tiada ulasan: