Isnin, 22 Oktober 2012

Kelantan bincang beri imbuhan kepada ' The Red Warriors'

SINAR HARIAN

Kelantan
Pasukan Kelantan meraikan kejayaan bersama trofi Piala Malaysia setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
 
KOTA BAHRU - Kerajaan negeri Kelantan bercadang memberi imbuhan kepada barisan pemain 'The Red Warriors' kerana menjuarai Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood berkata pasukan itu yang telah mengharumkan nama negeri, wajar diberikan ganjaran.

"Kerajaan negeri akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk menentukan bentuk imbuhan yang akan diberikan kepada pemain berkenaan atas kejayaan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Fatah berkata kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan atas kejayaan itu dan cadangan pemberian imbuhan itu ialah sebagai menghargai kesungguhan mereka dalam mencatat kejuaraan 'treble' musim ini.

Kelantan yang sebelum ini meraih gelaran juara Liga Super dan Piala FA, melengkapkan kejuaraan treble apabila menjulang Piala Malaysia 2012 dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2, dalam perlawanan sengit, Sabtu lepas.

"Saya turut memuji sikap pemain dan penyokong pasukan Kelantan yang menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam menjuarai kejohanan itu, khususnya pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang ATM," tambah beliau.- Bernama

Tiada ulasan: