Rabu, 10 Oktober 2012

Penulis cerpen salahkan Utusan, mohon maaf pada Teresa Kok

Roketkini.com



KUALA LUMPUR:  Penulis cerpen ‘Politik Baru YBJ’, Datuk Chamil Wariya dan Utusan Malaysia memohon maaf kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok kerana kontroversi berbaur fitnah yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia 12 Oktober 2008 yang lalu.

Menurut Chamil yang juga Ketua Eksekutif Institut Akhbar Malaysia, beliau kesal apabila cerpen yang disiarkan telah dieksploitasi akhbar milik UMNO tersebut.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada YB Teresa Kok dan semua yang terlibat.”

“Saya juga merasa kesal bahawa Mingguan Malaysia telah menyunting cerpen asal saya dengan cara yang tidak professional dan tidak beretika di luar pengetahuan saya dan tanpa persetujuan saya. Saya tidak bertanggungjawab terhadap penyiaran cerpen itu.” demikian ujar Chamil.

Menurut Peguam Zalil Mohd Mess yang mewakili Chamil, bahan artikel itu telah diubah oleh Mingguan Malaysia edisi hujung minggu Utusan Malaysia tersebut tanpa persetujuan penulis.

Chamil yang tidak lagi mengakui bahawa  karya cerpen berjudul Politik baru YB J yang disiarkan tersebut bukan lagi karya aslinya berkata, sebilangan watak dalam karya tersebut telah diubah dan tidak sama dengan watak-watak tertentu dalam karya asal beliau.

Jelasnya, “Dalam cerita rekaan yang saya hantar kepada Pengarang Mingguan Malaysia itu saya dengan terang dan jelas telah membuat perbezaan yang nyata antara watak YB J (rekaan) dan watak Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok. Dalam karya asal saya itu, YB J hanya mirip kepada watak YB Teresa Kok tetapi YB J bukan YB Teresa Kok.”

Dalam perkara berkaitan, Chamil mendedahkan bahawa penyuntingan karyanya dilakukan oleh editor Mingguan Malaysia tanpa mendapat keizinan beliau sendiri.

“Nama YB Teresa bertukar menjadi YB Su Lan  dan Ahli Parlimen Seputeh menjadi Ahli Parlimen Sepohon Beringin.”

Olahan yang dibuat terhadap “Politikbaru YB J” menurut Chamil merupakan perubahan yang mengubah keseluruhan penceritaannya.

“Perubahan ini bukan kecil tetapi  adalah fundamental  yang merubah keseluruhan penceritaan, yang jauh berbeza dengan apa yang terkandung dalam karya saya.”

“Saya percaya bahawa penggantian nama YB Teresa Kok dan jawatan beliau adalah disengajakan oleh editor Mingguan Malaysia dengan tujuan untuk menjana kontroversi dan skandal, maka cerpen itu menjadi tempang dan watak rekaan YB J seolah-olah menjadi YB Teresa.” katanya

Perubahan pada cerpen tidak dirujuk dan dimaklumkan

“Kerja-kerja penyuntingan yang dilakukan oleh editor Mingguan Malaysia itu adalah tidak professional, tidak beretika, tidak bertanggungjawab, tidak beradap, malah biadap.”

Justeru kata Chamil, ia mencerminkan ketidakmatangan dan kedangkalan pengarang itu sendiri.

“Akibat dari sikap beliau ini, saya dan YB Teresa Kok menjadi mangsa dalam satu kancah skandal.”

Biarpun Chamil mengakui bahawa pihak pengarang atau penerbit berhak untuk menukar atau mengubah sebarang skrip yang dihantar kepada mereka untuk dipertimbangkan bagi penerbitan akhbar berkenaan tetapi  pihak penerbit juga ada hak untuk tidak menerbitkan karya yang dihantar kepada mereka.

“Perubahan-perubahan itu, setelah dibuat, hendaklah dirujuk semula kepada penulis karya asli untuk mendapatkan persetujuan,

“Kalau pengarang karya, dalam kes ini saya bersetuju dengan perubahan-perubahan yang dibuat, barulah karya itu diterbitkan menggunakan nama dan judul yang diberi oleh penulis asal.” jelasnya.

Menurut Chamil, segala pindaan yang dilakukan terhadap cerpen beliau tersebut bukan sahaja tidak mendapat persetujuannya malah beliau tetapi saya tidak dihubungi atau dimaklumkan langsung.

“Sebab itu sejak awal lagi saya menganggap cerpen yang tersiar bukan lagi karya saya walaupun terdapat nama saya pada cerpen itu,

“Saya sudahpun memaklumkan pendirian saya ini kepada peguam YB Teresa dalam balasan saya terhadap dakwaan yang dibuat bahawa saya telah memfitnah YB Teresa Kok.” jelas beliau.

Peguam Sankara Nair yang mewakili Teresa memberitahu mahkamah bahawa ahli parlimen DAP itu tidak menuntut sebarang bayaran kos daripada Chamil.

Menurut Sankara, akhbar Utusan Malaysia perlu membayar RM50,000 kos sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu dan penerbit bersetuju untuk menyiarkan permohonan maaf dalam Mingguan Malaysia.

Ini bukanlah kali pertama Utusan diheret kemahkamah malah sudah beberapa kali kalah di saman akibat fitnah dan putarbelit yang dilaporkan-Roketkini.com

Tiada ulasan: