Jumaat, 19 Oktober 2012

Pemaju jual rumah kos sederhana lebih tinggi

 
Kementerian Perumahan gagal menyemak harga-harga jualan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor apabila meluluskan lesen pemaju perumahan.



PETALING JAYA: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan didakwa meluluskan harga jualan melebihi dari harga maksima untuk Rumah Kos Sederhana.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata kementerian berkenaan juga didapati gagal menyemak harga-harga jualan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor apabila meluluskan lesen pemaju perumahan.

Kerajaan Negeri Selangor mensyaratkan bagi setiap pembangunan melebihi 10 ekar sebahagian darinya perlu dibina Rumah Kos Rendah, Rumah Kos Sederhana Rendah dan Rumah Kos Sederhana.

Katanya, Rumah Kos Rendah hanya boleh dijual dengan harga maksima RM42,000, Rumah Kos Sederhana Rendah RM72,000 dan Rumah Kos Sederhana RM100,000.

Bagaimanapun terdapat kes-kes di mana kementerian berkenaan telah meluluskan harga jualan melebihi dari harga maksima untuk Rumah Kos Sederhana.

“Sebagai contoh, terdapat Rumah Kos Sederhana di Bukit Subang, Shah Alam yang telah diberi kelulusan untuk dijual dengan harga sehingga RM220,000 sebuah. Ini bermakna RM120,000 lebih tinggi dari harga yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

“Oleh yang demikian, Kementerian Perumahan perlu menyemak harga jualan maksima yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri sebelum meluluskan lesen pemaju.

“Sekiranya pemaju gagal membina menurut kelulusan Kerajaan Negeri, pembeli-pembeli akan menghadapi masalah untuk mendapatkan surat hakmilik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa mereka akan memberi penekanan kepada pembinaan Rumah Mampu Milik tetapi Kementerian Perumahan pula telah mengeluarkan lesen yang membenarkan pemaju menjual dengan harga yang lebih tinggi dari yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Maka beliau mahu Kementerian Perumahan perlu lebih bertanggungjawab dalam hal ini.

Tiada ulasan: