Rabu, 10 Oktober 2012

Malaysia menuju bankrap acuan ekonomi Najib – Nurul Izzah

Oleh Norutul Ilham

PETALING JAYA : Malaysia menuju ke arah bankrap jika negara ini terus ditadbir di bawah Umno Barisan Nasional (BN) dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, sistem ekonomi acuan Najibnomics menyerlahkan kepincangan negara menuju bankrap apabila Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) ditangguh walaupun Bajet BN 2013 dibentang hampir dua minggu lalu.

“Bayangkan sejak Najib ambil alih, kalau dulu diberikan laporan audit kepada Ahli-ahli Parlimen sebelum bajet, kemudian

ditunda sedikit, seminggu, sekarang dah dua minggu tak nampak pun bayang-bayang Laporan Audit 2012,” katanya di depan 100 hadirin pada forum ‘Diskusi Buku dan Belanjawan: Bajet 2013 Mengakhiri Era Politik Lama Negara’ di Yayasan Selangor, di sini malam tadi.



Ia diadakan sempena pelancaran buku ‘Pendedahan di Parlimen: Dasar dan Cabaran Malaysia’ oleh Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) dan ia disempurnakan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kata pengantar buku itu ditulis Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disunting Pengarah Eksekutif KPRU, Ooi Heng.

Izzah berkata, pelaksanaan Najibnomics bukan sahaja tinggal ‘sejarah’, malah kajiannya juga tidak munasabah.

“Di Harvard Bussiness School di Boston pada 2009, Najib telah memperkenalkan satu kes studi ‘Inisiatif berani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangani krisis kewangan’ dan kes studi itu menjadi kokurikulum pengajian mikro modul ekonomi.

“Ia dipanggil kursus Najibnomics, dan yang mengejutkan bukan sekadar mengambil pelaksanaan semasa beliau menjadi Perdana Menteri, tapi sebelum jadi Perdana Menteri pun sudah dimasukkan dalam modul tersebut iaitu kejayaan Malaysia untuk memperbaiki sistem insuran dan perbankan selepas krisis kewangan 1998.

“Seingat saya, 1998 Najib belum jadi Perdana Menteri, tapi dimasukkan juga dalam kokurikulum ini. Termasuklah isu liabiliti ekonomi,” ujar Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN.


Katanya, walaupun pelbagai usaha Najib bagi membuktikan kecemerlangan ekonomi di bawah pentadbirannya hingga ke peringkat dunia, beliau tetap gagal.

“Perbezaan BN dengan kita (Pakatan Rakyat) tidak mahu yang superficial (pemikiran cetek) itu diberi cop seperti apa yang berlaku apabila Najibnomics diperkenalkan sekitar 2009.

“Kita jangka bila merujuk Najibnomics ini akan memudahkan, rupa-rupanya ia melangkaui lebih daripada apa yang Najib buat sampai bebanan (hutang) ditanggung Bank Negara Malaysia,” katanya.

“Tanpa melihat pencapaian dan rekod semua bantuan, bagaimana kita dapat nilai Najibnomic ini merupakan sesuatu yang perlu diterima semua pihak termasuk dunia,” tambah Izzah.

Dua lagi panelis adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Forum ini anjuran bersama KPRU, Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)dengan kerjasama Akademi Pak Sako dan Alumni Sekolah Politik.

Tiada ulasan: