Jumaat, 19 Oktober 2012

Dakwaan Tawas akan bankrap tidak benar

 
Tawas diuruskan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor yang mendapat geran sepenuhnya dari kerajaan negeri untuk beroperasi, kata MB Selangor. 



SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan Dr Mohd Khir Toyo bahawa Skim Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) akan bankrap berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Beliau berkata dakwaan tersebut tidak berasas memandangkan Tawas diuruskan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) yang mendapat geran sepenuhnya dari kerajaan negeri untuk beroperasi.
“Yawas yang menguruskan skim Tawas ditubuhkan bukan berasaskan keuntungan.

“Justeru, dakwaan Khir bahawa skim ini akan lingkup adalah tidak berasas kerana Yawas mendapat geran sepenuhnya dari kerajaan negeri untuk perbelanjaan operasi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini semalam.

Bagaimanapun kata Abdul Khalid, Yawas mengambil inisiatif sendiri untuk meringankan kos dengan menjana pendapatan dari dana yang belum dibelanjakan untuk dilaburkan ke dalam pasaran wang.

Jelas beliau, sejak 2008 hingga 2011, sebanyak RM622,782 telah dijana daripada pelaburan tersebut yang secara tidak langsung telah mengurangkan kos operasi.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya menegur kos operasi skim Tawas lebih tinggi daripada kos yang dibelanjakan untuk peserta skim tersebut.

Kos operasi skim tersebut mencatatkan hampir RM5 juta manakala perbelanjaan RM3 juta diperuntukan untuk peserta program yang layak.

Laporan audit turut mendedahkan bahawa skim Tawas yang diperkenalkan sejak tahun 2008 gagal mendaftarkan lebih 80 peratus daripada kelahiran baru di negeri itu yang dijanjikan skim simpanan berjumlah RM1,500.

Laporan terbaru itu mendedahkan Tawas hanya berjaya mendaftar 60,972 daripada 313,706 kelahiran anak Selangor di antara tahun 2008 hingga 2011.

Khalid sebaliknya menafikan laporan itu dan menjelaskan bahawa kegagalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membekalkan statistik kelahiran yang layak dikategorikan sebagai rakyat Selangor kepada Yawas.

Sementara itu, beliau turut berharap agar perbincangan dapat diadakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat membabitkan pertukaran pegawai kerajaan negeri pada masa akan datang.

Beliau mengulas mengenai tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa melaksanakan pertukaran Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Ariff Abdul Rahman ke Putrajaya berkuatkuasa 15 Oktober lalu.

Ujarnya sebarang pertukaran pegawai akan menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

Tiada ulasan: