Selasa, 4 Mei 2010

PPUM tawar rawatan jantung tanpa pembedahan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini melakar sejarah apabila menjadi pusat rawatan kardiologi pertama di negara ini yang menawarkan perkhidmatan alat Extracorporeal Shockwave Myocardial Revascularization (ESMR) kepada pesakit jantung.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Ghauth Jasmon berkata, pembelian mesin yang bernilai RM2.8 juta itu membuktikan unit kardiologi PPUM setanding dengan pusat rawatan kardiologi di negara maju.

Tambahnya, alat ESMR boleh digunakan oleh pesakit jantung koronari yang tidak boleh menjalani pembedahan pintasan jantung kerana sebab tertentu.

"Kebiasaannya kaedah rawatan kepada pesakit jantung pada hari ini bergantung kepada ubat-ubatan sahaja dan pesakit masih lagi mengalami masalah sakit di bahagian dada atau kesukaran untuk bernafas.

"Oleh itu, dengan adanya teknologi ini, diharap ia mampu memberi peluang dan harapan baru kepada pesakit jantung untuk terus menjalani hidup yang lebih berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas acara penyerahan ESMR kepada Pusat Kardiologi PPUM, di sini hari ini.

Tambah Ghauth, apa yang lebih membanggakan lagi apabila Malaysia menjadi negara terawal di Asia yang memiliki alat ESMR selepas Filipina, China dan Jepun.

"Penyediaan perkhidmatan ESMR ini memperlihatkan unit kardiologi PPUM adalah sebuah unit yang dinamik, berdaya saing dan terulung di Malaysia dalam mengikuti arus kemajuan teknologi perubatan.

"Justeru dengan adanya alat seperti ini, ia telah membawa satu pembaharuan besar dalam bidang rawatan penyakit jantung di negara ini," katanya.

Terdahulu dalam majlis yang sama, Ghauth turut menerima dana untuk penyelidikan bernilai RM30,000 yang disumbangkan oleh Syarikat I - Medik Imaging Sdn. Bhd. kepada PPUM untuk penyelidikan dalam bidang kardiologi di pusat itu.

Tiada ulasan: