MARANG: Pertemuan
pemimpin parti bukan kerajaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad, satu amalan demokrasi yang sihat, kata Presiden PAS, Dato’ Seri
Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Perdana Menteri boleh jumpa dengan
parti pembangkang, bukan kerajaan. Itu demokrasi yang sihat, terbuka
untuk bertemu dengan NGO dan itu satu proses demokrasi yang disuburkan.
“Itu memang di negara-negara yang
mengamalkan demokrasi yang sungguhnya begitulah. Itu bukan perkara luar
biasa jumpa dengan pembangkang, dengan siapa sahaja, itu perkara biasa.
Cuma kepada mereka yang ada agenda-agenda lain yang menganggap itu di
luar dari kemahuan dia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian di kediamannya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.
Ketika ditanya siapa yang layak jadi
Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir, kata beliau, pertama,
terserah kepada Perdana Menteri sekarang atau kembali kepada rakyat yang
menentukannya.
“Adapun hendak meneruskan pemimpin
kerajaan itu bukan hak kita. Bahkan, banyak diplomat asing berjumpa
dengan saya, tanya saya siapa Perdana Menteri? Itu bukan hal saya, lagi
pun Perdana Menteri tahu siapa yang (layak) ganti selepas dia.
“Kedua, kalau hendak serah kepada
rakyat, rakyat yang akan menentukan siapa. Sampai diplomat asing pun
macam itu. Itu saya rasa satu benda yang tak sepatutnya ada campur
tangan yang macam itu.
“Kita mahu Perdana Menteri dapat
melaksanakan tugasnya dengan lebih terbuka, sikap yang baik, yang kita
alu-alukan. Kita ambil peluang ini, apatah lagi kita kena sedar bahawa
kerajaan pusatnya begitu, kerajaan negerinya begini.
“Sehingga hari ini, kerajaan negeri dari
pelbagai parti politik. Umno dua buah negeri, PAS dua buah negeri. Ada
negeri yang PKR pimpin, PAN jadi Menteri Besar, DAP jadi Ketua Menteri.
Apa salahnya kita jumpa dengan Perdana Menteri kerana kita berkonsepkan
federalisma,” ujarnya.
Menurut beliau, parti bukan kerajaan
juga berhak untuk bertemu dengan Perdana Menteri serta memberi pandangan
kepada kerajaan dan bukan hanya di parlimen. – HARAKAHDAILY
Penyerahan kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada
Presiden PKR, Anwar Ibrahim, harus berlaku dalam penggal ini, kata
penganalisis politik jika PH mahu benar-benar bersedia menghadapi
pembangkang dapam PRU akan datang.
Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani
dari Universiti Utara Malaysia berkata, ia juga perlu dilakukan
sekurang-kurangnya dua tahun sebelum tarikh PRU ke-15 diadakan.
Menurutnya,
tempoh itu dirasakan perlu kerana Anwar - sebagai perdana menteri -
memerlukan masa mempersiapkan PH bagi mendapatkan keyakinan dan mandat
rakyat negara ini terus menjadi kerajaan.
"Peralihan kepemimpinan
harus berlaku dalam penggal ini dan untuk lebih adil kepada Anwar, ia
perlu berlaku sekurang-kurangnya dua tahun sebelum PRU ke-15.
"Tempoh
itu perlu agar Anwar memperkuatkan PH dan pada masa sama meneruskan
agenda Mahathir memantapkan ekonomi dan politik negara," katanya kepada Malaysiakini.
Azizudin
berkata demikian sebagai mengulas isu kewajaran Mahathir perlu
dikekalkan sebagai perdana menteri sehingga habis penggal kali ini.
Mengikut perlembagaan mandat kerajaan PH akan berlanjutan sehingga 2023.
Bagaimanapun, menjadi kebiasaan bagi kerajaan sebelum ini mengadakan PRU sebelum mandat tersebut berakhir secara automatik.
Tidak
seperti kebanyakan negara lain, kerajaan setakat ini tidak mengumumkan
tarikh PRU lebih awal, sebaliknya diumumkan pada saat-saat akhir,
menjadikan kerajaan semasa memiliki kelebihan mengadakan persiapan
berbanding pembangkang.
Mungkin ada perjanjian
Menteri
Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, sebelum ini berkata Mahathir perlu diberi
peluang memimpin negara hingga ke penggal semasa berakhir bagi menjamin
kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.
Timbalan
Presiden PKR itu berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan
Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan
sekutunya Umno kepada Mahathir.
Untuk rekod, kenyataan itu dibuat ketika pertembungan dalaman PKR di antara kumpulan Anwar dan Azmin semakin menghangat.
Gambar fail
Pada
masa sama Mahathir berulang kali menegaskan beliau akan menepati janji
untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar seperti yang dipersetujui sebelum
PRU ke-14 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Azizudin berkata
pertukaran kepemimpinan kerajaan seperti yang dibayangkan PAS dan Azmin
adalah tidak selari dengan perjanjian asal PH.
"Menunggu sehingga
habis tempoh penggal kerajaan sebenarnya menjelaskan tidak berlakunya
peralihan kuasa kerana peralihan berlaku melalui pilihan raya yakni PRU
ke-15.
"Ini saya rasa mungkin tidak selari dengan wisdom penjanjian peralihan kuasa.
"Saya
rasa perdana menteri dan Anwar mungkin ada perjanjian antara mereka.
Paling awal pun saya rasa adalah tahun depan," katanya.
Lebih faham berbanding orang lain
Ditanya
kesesuaian keadaan politik semasa negara bagi menjayakan peralihan
kuasa itu, ini jawab Azizudin: "Secara umum, negara kita wujud keadaan
yang stabil sekiranya dibandingkan dengan negara lain. Faktor kesesuaian
juga amat subjektif. Paling penting ialah kesepakatan dalam PH yang
akan menentukanmasa paling sesuai untuk melakukan peralihan kuasa
tersebut."
Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik Universiti
Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata Mahathir boleh terus
kekal sebagai perdana menteri selagi beliau berasakan ia perlu berbuat
demikian.
Menurut Sivamurugan, hal itu kerana pemimpin berusia 94 tahun itu lebih arif dengan masa yang diperlukannya.
Sivamurugan
"Mahathir
menyatakan mahu memulihkan beberapa keadaan (negara) supaya pengganti
beliau (dapat) ambil alih kerajaan yang sudah diurus dengan baik.
"Keputusan
tempoh (peralihan kuasa) boleh diputuskan oleh beliau sama ada habis
penggal kerana beliau arif masa yang diperlukan," katanya kepada
Malaysiakini.
Malah, kata Sivamurugan sebagai orang yang dekat
dengan perdana menteri, Anwar pastinya memahami Mahathir lebih daripada
orang lain.
"Barangkali
perbincangan agenda negara diteruskan dan beliau bersama Mahathir
membina negara secara berterusan. Transisi perlu berlaku licin dan
lancar iaitu apabila kedua-duanya sudah bersedia untuk pertukaran baton
kepimpinan," katanya.
Isu peralihan kuasa antara Mahathir kepada
Anwar terus dipersoalkan dengan beberapa pihak tampil menyatakan
sokongan agar Mahathir kekal sehingga habis penggal, sementara pihak
lain mempersoalkan tempoh peralihan kuasa.
Terbaru, tiga Adun Selangor menyatakan sokongan dengan cadangan Azmin agar Mahathir kekal sehingga habis penggal.
Timbalan
Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pula menggesa semua parti politik
supaya mendukung Mahathir sebagai perdana menteri hingga pembubaran
parlimen atau akhir penggal.
Katanya, ini kerana supaya semua pihak terutama sektor swasta kembali yakin dengan kestabilan politik negara.