Oleh Rafizi Ramli
Minggu lepas, saya telah duduk berbincang dengan seorang pemberi
maklumat mengenai kerosakan hutan simpan di Pahang yang beliau minta
saya dan Ahli Parlimen Kuantan, Hajjah Fuziah Salleh sama-sama
bongkarkan kepada orang ramai demi mengelakkan pelbagai malapetaka yang
boleh berlaku akibat kerosakan tersebut.
Beliau
telah menunjukkan secara terperinci peta-peta yang diperolehi dari
gambar-gambar satelit yang kemudiannya dipadankan dengan peta perhutanan
dari Jabatan Perhutanan dan maklumat persempadanan dan pewartaan tanah
dari pejabat-pejabat tanah. Hasilnya ialah sebuah peta yang menunjukkan:
1. Sempadan hutan simpan yang diwartakan mengikut setiap daerah di Pahang
2. Keadaan sebenar muka bumi hutan simpan tersebut mengikut jalur warna:
merah bermakna pokok telah ditebang dan diterokai sementara hijau
bermakna hutan simpan masih dikekalkan
Saya telah menyemak peta-peta ini dengan peta yang diperolehi dari
industri pembalakan melalui beberapa orang individu yang saya kenali dan
ada asas yang kukuh bahawa peta-peta dari gambar-gambar satelit yang
dibekalkan oleh pemberi maklumat ini adalah benar.
Saya telah berbincang dengan YB Fuziah Salleh dan bersetuju bahawa
isu pembalakan atau pencerobohan hutan yang berlaku di Pahang perlu
dibawa ke pengetahuan umum. Bukan sahaja ia satu aktiviti jenayah yang
mencuri harta rakyat, ia mendatangkan kesan kepada alam sekitar yang
menyumbang kepada fenomena banjir pada skala besar yang belum pernah
dilihat sebelum ini.
Saya sertakan peta kawasan-kawasan hutan simpan di daerah Pekan yang
diwakili oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Di dalam daerah Pekan, mengikut maklumat dari Jabatan Perhutanan Pahang
dan maklumat-maklumat lain, terdapat 8 hutan simpan yang diwartakan
seperti berikut:
1. Kedondong
2. Pekan
3. Pekan (Tambahan)
4. Sg. Miang (Paya Laut)
5. Bebar (Paya Laut)
6. Nenasi
7. Resak
8. Resak (Tambahan)
Rujuk kepada peta di atas dari imej satelit, saya telah tandakan
kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebagai hutan-hutan simpan Pekan
(Tambahan) dan Kedondong tetapi imej satelit menunjukkan kawasan hutan
ini telah diterokai (ditandakan dengan warna merah berbanding hijau yang
belum diterokai.
Malah, keadaan yang sama berlaku di kawasan hutan simpan yang lain di
Pekan. Maklumat dari kajian pemetaan yang telah diserahkan kepada saya
menunjukkan pencerobohan dan penerokaan berlaku di kesemua 8 hutan
simpan di daerah Pekan yang melibatkan anggaran keluasaan 4,829 hektar
hutan simpan.
Saya menunggu maklum balas peribadi dari Dato’ Seri Najib Tun Razak
kerana ini adalah di dalam Parlimen beliau sendiri dan berlaku di bawah
pengawasan beliau.
Saya juga ada maklumat lanjut mengenai perkara yang sama di seluruh
negeri Pahang dan akan mendedahkan satu persatu bagi setiap daerah di
Pahang sehinggalah ada maklum balas yang kukuh dan tindakan diambil
untuk menghentikan pencerobohan ini.
Saya juga akan terus menyiasat untuk menentukan siapakah sebenarnya
dalang di belakang kegiatan pencerobohan ini dan meneliti segala
kelemahan pengurusan hutan sehingga menyebabkan berleluasanya aktiviti
pencerobohan sebegini.
Paling penting, inilah sebenarnya tugas seorang ahli parlimen seperti
saya dan Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu menjaga khazanah rakyat.
Hakikat bahawa perkara ini berlaku di dalam kawasan parlimen beliau
sendiri menimbulkan tanda tanya sama ada beliau mengambil berat
perkara-perkara seperti ini.
* Rafizi merupakan Ahli Parlimen Pandan merangkap Naib Presiden KEADILAN