Memaparkan catatan dengan label PRK - BESUT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK - BESUT. Papar semua catatan

Jumaat, 26 Julai 2013

[VIDEO] Baju ‘R’ Tak Boleh Masuk Kawasan Mengundi, Baju 1Malaysia Boleh?


KELAB GREENBOC

Sejak bila logo "R" jadi lambang parti? Ini memang pelik .. baca lah +Video

BESUT: Pengerusi ‘R’, NGO menuntut royalti minyak dikembalikan ke negeri terengganu, Mohd Fauzi Abu Samah kesal dengan tindakan pihak keselematan yang menghalang beliau masuk ke pusat mengundi dengan mamakai baju T berlogokan ‘R’.

Beliau selaku ‘pemantau’ Pilihanraya Kecil Dun Kuala Besut ditemui skuad BO ketika berhujah dengan tiga peagawai polis di hadapan Sekolah Kebangsaan Kampung Baru ada kira-kira jam 3.30 petang abu 24 Julai, hari membuang undi.

Ketika mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya polis mengahalang baju ‘T’ berlogokan ‘R’ memasuki kawasan mengundi, beliau menggesa orang ramai yang memakai logo ’1Malaysia’ juga harus ditegah.

“dia (polis) beri alasan tak kira mana-mana logo dan sebagainya……..cuma saya minta satu pengesahan dari beliau (polis) mengapa logo 1Malaysia boleh pakai, aya tak ada masalah saya boleh tanggalkan (baju T saya,

“cuba bawakan kepada saya akta apa…..pasal berapa……’clause’ berapa yang mengatakan mana-mana logo NGO tak boleh pakai!……dia tak boleh jawab sebab benda itu memang tak ada,”tegasnya.

Menurutnya, para petugas beliau yang menjadi pemerhati perjalanan pilihanraya tersebut turut dihalang dan tidak dibenarkan masuk kerana hanya smata-mata memakai baju T berlogokan ‘R’. -demolanie


LIHAT VIDEO DI SINI


Shabery: Jelas ada ahli PAS sokong BN di K Besut

MALAYSIA KINI


 
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memuji pengundi Kuala Besut yang membuat pilihan bijak dan tepat dengan memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut kelmarin.

Katanya beliau amat berbangga dengan kebijaksanaan yang ditunjukkan penduduk kawasan Kuala Besut termasuk sebahagian ahli-ahli PAS yang telah mengiktiraf segala jasa dan khidmat yang telah diberikan setiap pemimpin BN dengan memilih Tengku Zaihan.

"Di situ jelas telah berlaku perubahan angin dalam PRK itu di mana ada antara ahli-ahli PAS yang telah memberikan undi kepada calon BN," katanya selepas majlis penyampaian zakat dan Netbook kepada pelajar Institut Pengajian Islam (INSPI) Kampung Binjai, di Kemaman semalam.

Katanya rakyat dan pengundi Kuala Besut dapat menilai khidmat terbaik yang diberikan kerajaan BN selama ini khususnya dalam menentukan kemajuan rakyat.

Pada PRK DUN Kuala Besut semalam Tengku Zaihan menang dengan majoriti 2,592 undi mengalahkan calon PAS Endot@Azlan Yusof.

Ahmad Shabery berkata keputusan tersebut sekali gus memberikan keyakinan rakyat seluruh negara bahawa Umno dan BN adalah pilihan terbaik untuk mereka manakala segala usaha pembangkang untuk mencemuh pilihanraya di negara ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditolak rakyat.

Beliau berharap semua pihak mengerti yang sekarang adalah masa untuk kerajaan yang dipilih untuk meneruskan pembangunan negara dan bukan mencari alasan untuk mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Ahmad Shabery, yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, juga menyifatkan kemenangan di Kuala Besut itu sebagai bukti orang Melayu masih sayangkan parti itu.- Bernama

Nik Aziz: Kuala Besut, ‘Kuala Ujian’


Nik Abdul Aziz Nik Mat
Nik Abdul Aziz Nik Mat
 
SAYA membaca keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut melalui akhbar tempatan hari ini (semalam) yang menyaksikan Pas gagal menawan Dun Kuala Besut daripada penguasaan Umno/BN.

Dalam erti kata lain, tawaran Pas kepada rakyat Kuala Besut untuk posisi 16 : 16 ditolak oleh rakyat Dun Kuala Besut yang mengambil keputusan untuk terus memangkah Umno kelmarin.

Saya secara peribadi tidak terkejut dengan keputusan ini.

Pengalaman saya turun beberapa kali membantu calon Pas berkempen dalam PRK ini termasuk meninjau suasana hari pengundian memberikan gambaran kepada saya suasana kehidupan masyarakat di Dun ini.

Kehidupan rata-rata rakyat Kuala Besut yang mencari pendapatan sebagai nelayan memberikan peluang yang cerah kepada Umno/BN menabur sebanyak mungkin projek dan habuan wang ringgit.

Inilah rahsia sebenar kekuatan Umno.

Kesusahan dan kesempitan hidup rakyat diambil kesempatan sehabis mungkin bagi memberikan kemenangan kepada mereka.

Perhatikan sahaja di seluruh Malaysia ini, kesemua ibu negeri ditawan oleh PR kecuali dua sahaja jatuh ke tangan BN.

Secara logiknya, ibu negeri tentulah tempat berhimpunnya tenaga cerdik pandai dan berpendidikan tinggi dan di sinilah Umno/BN gagal kerana kekuatan wang dan kebendaan ada sempadannya.

Di sinilah letaknya tugas Pas selaku parti yang membawa mesej perjuangan Islam.

Di Kuala Besut yang rata-rata penduduknya bergantung kepada pencarian mata pendapatan cara kampung berada dalam tekanan hidup yang tinggi dan sukar untuk membuat pilihan yang terbaik untuk taraf kehidupan mereka sendiri dalam jangka masa panjang.

Apatah lagi untuk berfikir demi kepentingan agama.

Pada saya, apa yang disebut sebagai penyakit ghaplah (lalai) merajai benak fikir rata-rata penduduk sehingga mengenepikan tanggungjawab terhadap agama mereka sendiri.

Inilah tugas gerakan Islam.

Menyambung tugas Rasulullah SAW yang memikul tugas menghapuskan penyakit ghaplah ini. Firman ALLAH SWT yang bermaksud : “Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.” – Surah Yasin, ayat 6.

Perbezaan utama Kuala Besut dengan Pasir Puteh di Kelantan ialah budaya ilmu.

Daripada budaya ilmu inilah akan lahirnya masyarakat yang sentiasa beringat-ingat tentang dosa dan pahala.

Sebab itu di antara perkara terawal yang dilakukan di Kelantan setelah Pas mengambil alih teraju pemerintahan pada tahun 1990 ialah menubuhkan Unit Halaqat.

Ini bukan satu kerja sambil lewa kerana hanya mahu mengharapkan peruntukan kerajaan.

Ia sebenarnya misi kerajaan negeri untuk mendidik rakyat melalui pembudayaan ilmu di masjid-masjid yang dikendalikan oleh Unit Halaqat.

Manusia apabila berilmu akan menolak Umno/BN yang jelas dan terang melawan aspirasi perjuangan Islam.

Bukan mereka menolak Umno/BN dengan emosi dan taksub, tetapi mereka menolak dengan pertimbangan ilmu yang dipelajari.

Dengan ilmu, mereka membezakan intan dan kaca.

Tanpa ilmu, jiwa akan kosong umpama tin kosong yang hanya dipenuhi oleh sampah sarap.

Lihat sahaja dakwah Rasulullah SAW di Mekah, ditolak habis-habisan oleh masyarakat Mekah yang rata-ratanya hidup dalam permusuhan panjang dan konflik sosial yang tinggi.

Namun di Madinah yang agak maju sedikit dengan perkembangan ilmu dengan kehadiran ahli Kitab, Islam mudah diterima oleh penduduk di sana.

Nyata sekali Kuala Besut adalah ‘kuala ujian’.

Ujian untuk penduduknya yang ditawarkan pembangunan ratusan juta yang akhirnya ramai yang lemas di ‘kuala ujian’ ini.

Ia juga medan ujian kepada petugas-petugas parti Pas yang datang dari seluruh negara namun akhirnya terpaksa menerima keputusan tewas pada malam tadi.

Hakikatnya, ini bukan kali pertama Pas tewas di dalam pilihanraya.

Saya mendoakan kesemua petugas parti Pas yang berpenat lelah di bulan Ramadan ini demi kemenangan calon mereka diberikan ganjaran oleh ALLAH SWT.

Inilah bekal kita yang paling berharga iaitu kita mengharapkan pahala daripada ALLAH SWT.

Perhatikanlah ayat al-Quran yang bermaksud : Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada ALLAH apa yang mereka tidak harapkan.. (Surah al-Nisa’ ayat 104).

Kita bertanding di dalam pilihan raya untuk menang.

Kita mungkin sedih jika tewas, tetapi jangan sesekali kita kecewa.

Segera bangkit dan meneruskan perjuangan kerana perjuangan Islam sekiranya berpijak di lantai ikhlas pasti dihadiahkan dengan pahala!

Salam hormat.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am Pas


*Pendapat ini dipetik dari laman sosial Facebook beliau.

Ketua kampung: Beri wang insentif, bukan rasuah

 


 
Pengerusi JKK Kampung Beris Lampu Yaakob Kadir menafikan pemberian wang kepada pengundi luar sewaktu berlangsungnya pilihan raya kecil DUN Kuala Besut adalah satu bentuk rasuah, tetapi menegaskan ia "insentif kepada pengundi luar".

"Ia bukan rasuah, tapi insentif kepada pengundi luar sebab pulang untuk mengundi (dalam pilihan raya Kuala Besut). Kalau rasuah, dia buat secara sembunyi-sembunyi.

"Kita beri kepada semua, tak kira mereka itu pangkah BN atau PAS. Orang luar kalau balik, pasti dia akan sokong PAS," kata ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya pagi ini.

Yaakob berkata beliau diarahkan oleh parti untuk beri 'insentif' itu di perkarangan rumahnya "untuk mengelak suasana sesak jika buat di tempat terbuka"

Beliau mengulas insiden pengundi yang dilihat beratur untuk mendapatkan wang tunai di luar rumah sekurang-kurangnya dua ketua kampung di DUN Kuala Besut kelmarin, kononnya untuk elaun perjalanan mereka.

Pengundi berkenaan dilihat di kediaman ketua Kampung Lay Out dan ketua Kampung Beris Lampu dalam daerah mengundi Tok Saboh.

Beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini berhampiran pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Nangka dan di luar rumah ketua kampung Lay Out - kebanyakan mereka enggan dinamakan - wang itu untuk pengundi yang pulang dari luar untuk mengundi.

'Tak sampai 100 orang'


Jumlahnya ialah antara RM50 bagi mereka yang pulang dari Kota Bharu, sehingga RM200 bagi mereka yang pulang dari Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Yaakob yang juga ketua cawangan Umno kampung itu sejak 20 tahun lalu berkata jumlah pengundi luar yang berdaftar bagi mendapatkan insentif itu kelmarin "tak sampai seratus orang".

Menurutnya lagi, insentif itu diberikan mengikut jarak lokasinya iaitu jika pengundi itu bekerja di Kuantan sebanyak RM150 akan diberikan; Kuala Terengganu (RM100); Johor dan Kuala Lumpur (RM200).

"Ada yang merungut kata tak cukup... Kalau nak ikut (insentif itu) tak padan," katanya yang mesra di panggil 'Pak Anjang'

Sambil menjelaskan ramai pengundi tidak pulang mengundi memandangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir, Yaakob berkata pemberian insentif seperti itu juga pernah diberikan pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Pengerusi JKK Kampung Lay Out Rashid Yusof pula tiada di rumah sewaktu Malaysiakini datang ke kediamannya bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Menurut salah seorang ahli keluarganya, Rashid tiada di rumah kerana menemani ADUN Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menziarahi orang sakit.

Idris, Mat Said belum jawab
"Saya tidak pasti bila beliau nak balik," kata salah seorang ahli keluarga Rashid yang juga ahli jawatankuasa Umno bahagian.

Malaysiakini telah menghubungi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Umno Besut Datuk Seri Idris Jusoh tetapi masih belum mendapatkan maklum balas.

Sementara itu pengurus kempen bagi calon PAS DUN Kuala Besut Hanafiah Mat mendakwa pemberian wang tersebut merupakan "rasuah secara terbuka" dan dilakukan "tanpa malu dan tanpa segan silu".

"PAS tidak buat sebegitu rupa. Apa perkara yang diberikan untuk mendapat undi, itu dinamakan rasuah," katanya.

Beliau yang juga ADUN Chukai juga mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengambil tindakan segera berhubung insiden tersebut.

Katanya, PAS akan berbincang berhubung perkara tersebut dalam mesyuaratnya sebelum mengambil tindakan seterusnya.

BN patut terima kasih kepada SPR kerana undi hari Rabu

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Umno mesti berterimakasih kepada Suruhanjaya Pilihanraya kerana menetapkan pengundian pada hari Rabu atas peningkatan majoriti undinya dalam pilihanraya kecil Kuala Besut yang menyaksikan peratusan keluar mengundi merosot sebanyak 1,193 orang atau pada kadar keseluruhan 79.78% berbanding 87% pada pilihanraya umum 5 Mei lalu.

Kerana itulah, calon Umno/BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman telah mendapat 8,288 undi, manakala calon PAS Endot@Azlan Yusuf mendapat 5,696 undi–beza undi sebanyak 2,592 undi, iaitu 158 undi lebih tinggi daripada majoriti 2,434 yang dicapai oleh Umno/BN dalam pilihanraya umum.

Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang (gambar) dalam kenyataannya hari ini.

Lim mendakwa, Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendakwa bahawa BN gagal mencapai sasaran 4,000 majoriti undi di Kuala Besut kerana para penyokong BN merasa terlalu yakin akan menang dan lalu tidak keluar mengundi.

Beliau juga mensabitkan kemerosotan peratusan keluar mengundi sebanyak 7 peratus disebabkan oleh rentak hidup yang lebih perlahan di bulan Ramadan.

"Bagaimanapun, kemungkinan besar faktor sebenar yang menyebabkan peratusan keluar mengundi merosot ialah kerana hari mengundi ditetapkan pada hari bekerja, menyebabkan banyak pengundi yang tinggal di luar Kuala Besut tidak dapat pulang untuk mengundi," kata Lim.

Bagi beliau, jika peratusan keluar mengundi tinggi seperti pilihanraya umum lalu dan sebahagian besar pengundi yang tidak pulang ke Kuala Besut untuk mengundi dalam pilihanraya kecil mengundi calon PAS, majoriti Umno/BN kali ini kemungkinan besar lebih rendah daripada majoriti 2,434 yang dicapainya dalam pilihanraya umum lalu.

Kemerosotan majoriti undi Umno/BN, walaupun ia masih mengekalkan kerusi tersebut, akan dilihat sebagai satu kegagalan khususnya setelah pelbagai pemberian yang bernilai sekitar RM500 juta telah dicurahkan ke kawasan itu dan untuk pengundi di sana oleh kerajaan pusat dan negeri dalam tempoh pilihanraya kecil ini–menjadikan pilihanraya kecil Kuala Besut salah satu pilihanraya kecil termahal dalam sejarah.

Bagi Lim, PAS mencatatkan pencapaian yang baik di Kuala Besut kerana tiada siapa yang benar-benar menjangka bahawa calon Umno/BN akan kalah di kubu kuat mereka.

Pihak yang kalah paling besar adalah Umno/BN kerana ia gagal mencapai sasaran undi majoriti 4,000 dalam pilihanraya kecil kali ini, katanya.

Khamis, 25 Julai 2013

Tunjuk kertas undi: 'Saya hanya spontan'

SINAR HARIAN
Tunjuk kertas undi: 'Saya hanya spontan'
Reaksi spontan Tengku Zaihan ketika diminta menunjukkan kertas undi
 
KUALA BESUT - Insiden menunjukkan kertas undi oleh calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman adalah satu tindak balas spontannya selepas diminta bertalu-talu oleh jurugambar.

Tengku Zaihan, 37, berkata, beliau tiada niat untuk menunjukkan kertas undi itu disebabkan keadaannya yang agak letih berkempen selama 12 hari sejak 12 Julai lepas.
 
Bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Putrajaya itu antara pengundi yang awal mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut pada hari pengundian semalam.

"Maklumlah saya ni tidak cukup tidur berbelas hari, badan pun letih. Keadaan itulah menyebabkan tindakan saya jadi spontan.
 
"Semasa nak lipat kertas undi itu masuk ke dalam kotak undi, jurugambar tidak henti-henti panggil saya dan saya pun tidak sengaja menunjukkan kertas undi sebab mahu memberi respons," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang dibangkitkan pihak pembangkang kononnya beliau telah melanggar peraturan pilihan raya apabila menunjukkan kertas undinya kepada jurugambar pada hari mengundi semalam.

Pada PRK Dun Kuala Besut semalam, Tengku Zaihan mengalahkan calon Pas, Endot@Azlan Yusof, 48, dengan majoriti 2,592 undi setelah Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi manakala Azlan mendapat 5,696 undi.

Tengku Zaihan berterima kasih kepada penduduk Kuala Besut yang mengundinya dan masih mengekalkan jiwa 'Gelombang Biru' hingga berjaya mengelakkan Dun Terengganu daripada tergantung 16:16 seperti yang dicanangkan oleh Pas mengenai 16:16 Terengganu Baru.

"Saya bukanlah penyelamat tetapi pengundi Kuala Besut yang sebenarnya memainkan peranan utama dalam menentukan kemenangan BN dan meneruskan kesinambungan BN memastikan penduduk sini mendapat pembangunan berterusan.

"Selain daripada sokongan setempat, saya lihat pengundi muda mula beri sokongan kepada BN... mungkin juga ia ada kaitan dengan faktor calon muda diketengahkan BN," katanya.

Terdahulu, Tengku Zaihan memulakan tugas hari pertamanya sebagai wakil rakyat dengan bertemu penduduk di sekitar kawasan itu seawal pukul 10 pagi.

Beliau bermula dengan mengunjungi bapanya, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah, 74, di Kampung Gertak Seratus untuk memohon restu sebelum memulakan tugas pertamanya.

Tengku Zaihan yang ditemani isteri, Siti Salbiah Osman, 34, turut bertemu golongan peniaga di Pasar Tani Kuala Besut kira-kira 30 minit sebelum melawat rumah penyokong BN yang meninggal dunia pagi tadi akibat penyakit lelah sejak lapan tahun lalu di Kampung Kayu Kelat di sini.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan turut menambah, sebagai permulaan beliau akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan melihat kembali perancangan yang telah dibuat oleh wakil rakyat terdahulu.
 
Sementara itu, Tengku Zaihan turut mengakui skop tanggungjawabnya kini lebih luas berbanding pekerjaannya sebelum ini yang juga harus turun bertemu rakyat. - Bernama

BN kekal kerusi, majoriti 4,000 tersasar

 
MALAYSIA KINI


 
Keputusan tidak rasmi untuk pilihan raya kecil DUN Kuala Besut mula diperolehi malam ini melalui sumber BN dan PAS.

azlanKeputusan awal menunjukkan BN mengekalkan kawasan DUN berkenaan.

Kem BN berkumpul di satu hotel empat bintang, Demong Resot dengan diketuai timbalan pengerusi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kumpulan penyokong PAS pula berhimpun di Kampung Baharu.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof

LANGSUNG

10.15pm: Pengurus pilihan raya kecil DUN Kuala Besut A Rahim Jusoh mengumumkan Tengku Zaihan sebagai ADUN Kuala Besut.

BN - 8,288 undi
PAS - 5,696 undi
Majoriti - 2,592 undi

Ia menunjukkan bahawa BN hanya berjaya menambah 158 undi berbanding majoriti dalam pilihan raya umum 5 Mei.

10pm: Kumpulan penyokong BN bersorak sebaik calon parti itu, Tengku Zaihan tiba ke pusat penjumlahan undi.

Tengku Zaihan diiringi barisan pemimpin parti tersebut - Tan Sri MuhyiddinYassin, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Ahmad Maslan.

9.02pm:
AJK pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti itu sedar bahawa BN mendahului dalam pilihan raya umum lagi dengan majoriti 2,434 undi.

Namun, BN hanya berjaya meraih tambahan kira-kira 200 undi walau mengumumkan peruntukan RM477 juta semasa kempen tersebut, katanya.

"Kami berpuas hati dan reda, meskipun disogokkan dengan begitu hebat dan juga mereka mengharapkan menang 4,000 undi, tetapi kami berjaya mengagalkan mereka," kata Dzulkefly.

"Kami tahu sukar (untuk capai) menang tapi tidak mustahil dan kami menerima kekalahan. Kami melancar serangan bersungguh-sungguh namun pelbagai sebab (kekalahan) ini," katanya.

Tambahnya, PAS juga tidak melihat bahawa strategi mereka untuk membentuk jumlah kerusi yang sama banyak di DUN Terengganu itu merupakan satu kesilapan.

"Kami tidak menganggap agenda 16:16 satu yang silap, kerana kami telah menjelaskan sejelas-jelasnya, cuma ada rakyat yang faham dan percaya, tetapi tidak boleh memberi undi. Jika dihitung dengan sogokan, menakut-nakutkan dan sebagainya.

"Kami juga berdepan dengan pengundian (pada hari bekerja), menyebabkan pengundi luar dan penyokong kami tidak dapat balik," katanya.

8.30pm: ANALISIS - PAS membuka gelanggang dengan menimbulkan isu besar termasuk isu tanah dan juga strategi untuk mencapai jumlah kerusi sama banyak dengan BN - 16:16.

PAS kemudiannya berubah arah dengan menganjurkan program seperti karnival mesra rakyat, cabutan bertuah dan juga pemberian petrol percuma kepada penunggang motosikal.

Pertambahan jumlah majoriti undi BN yang tidak begitu signifikan itu juga menunujukkan bahawa PAS masih dapat mengekalkan pengaruh dari penyokongnya walau tewas.

8.25pm: Setiausaha agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menulis ucapan tahniah kepada parti atas kemenangan di DUN Kuala Besut.

"Tahniah BN, kita menang dengan majoriti lebih baik walau jumlah keluar mengundi 79 peratus, kita menang kesemua pusat daerah mengundi.

"Terima kasih rakyat Kuala Besut (kerana) undi BN," katanya.

8pm: Sumber PAS menyebut, BN mendahului dengan hampir 2,600 undi.

BN pada awal kempen mensasarkan untuk meraih sehingga 4,000 undi majoriti.

PAS - 5,283 undi
BN - 7,882 undi
Majoriti - 2,599 undi
Rosak - 93 undi

Lelaki kurang siuman disangka 'pengundi hantu'

MALAYSIA KINI


 
Kehadiran seorang lelaki berlegar-legar di sekitar pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu di Kuala Besut pada 2 petang menimbulkan kecurigaan kepada sekumpulan perayu undi yang bertindak menahannya kerana mengesyaki dia 'pengundi hantu'.
  
Mereka kemudian menyerahkan lelaki itu kepada polis dan membuat laporan polis berhubung kecurigaan mereka itu.
  
Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata ia satu-satunya laporan yang diterima pihaknya berhubung dakwaan pengundi hantu sepanjang proses pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang berlangsung hari ini.
  
"Hasil siasatan ke atas lelaki yang berasal dari Jerteh itu kami mendapati lelaki itu kurang siuman dan sesetengah penduduk di kawasan itu mengenalinya dan curiga dengan kehadirannya di kawasan itu.
  
"Lelaki yang bekerja sebagai jurukimpal itu ditahan bukan dalam 500 meter kawasan pengundian, bagaimanapun kita tetap menahannya untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Kuala Besut hari ini.

Sementara itu, Kamaruddin berkata polis tidak menggalakkan para penyokong parti yang bertanding membanjiri Dewan Gong Kemuntong Jerteh sewaktu penjumlahan undi dilakukan malam ini kerana tempat yang terhad.
  
Katanya orang ramai yang ingin mengetahui keputusan rasmi pilihan raya kecil itu boleh menontonnya menerusi siaran langsung di televisyen di rumah masing-masing.
  
Beliau berkata penyokong juga dilarang melakukan perarakan dalam apa juga bentuk untuk meraikan kemenangan calon mereka.
  
Kamaruddin memuji para penyokong parti yang memberikan komitmen terbaik sepanjang proses pilihan raya itu berlangsung.
  
Beliau turut mengesahkan insiden kereta Timbalan Pengerusi Suruhanjaya

Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar dikerumuni para penyokong parti tertentu yang menyangka kereta bercermin gelap tanpa logo SPR yang membawa beliau dan anggota suruhanjaya itu membawa pengundi hantu.
  
Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu, kata Kamaruddin.- Bernama

Rabu, 24 Julai 2013

Beratur ambil duit selepas mengundi?

Harakahdaily,




(Pandangan dari jauh kelihatan orang ramai beratur di perkarangan sebuah rumah.)

KUALA BESUT: Peristiwa berpuluh-puluh orang beratur di sebuah rumah ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di Kampung Tok Saboh dekat sini menimbulkan pelbagai andaian.

Ia berlaku kira-kira jam 10.30 tadi ketika kebanyakan pengundi di Kuala Besut sudah keluar mengundi.

(Orang ramai beratur di depan satu rumah yang menempatkan "Rumah DUN Kota Putera".)

Rumah itu bertulis di depan "Rumah DUN Kota Putera" untuk BN.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Aljundi berkata, salah seorang pengundi muda yang beliau temui berkata, mereka beratur untuk ambil duit.

"Ramai beratur ambil duit RM250," kata pengundi muda itu kepada beliau.

Respons positif, pengundi bercakap soal 16:16

Salmiyah Harun,




BESUT: Sehingga jam 12.00 tengah hari ini, pengundi yang keluar mengundi dilihat memberi respons positif kepada Calon PAS N.01 Kuala Besut Azlan@Endut Yusof atau Che Long.

Menurut Pengurus Kempen PRK Kuala Besut Hanafiah Mat berkata, keseluruhan unit peti undi yang dihadiri beliau bersama Che Long memberi sambutan baik dan masing-masing pengundi bercakap tentang 16:16 Terengganu Baru yang menjadi tema kempen PAS di sini.

"Walaupun pengundi-pengundi hadir mendaftar di pondok BN, namun 16:16 itu meniti di bibir mereka, isyarat dan gerak mulut ternyata mereka undi PAS," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

16:16 adalah kempen yang dibawa oleh PAS merujuk kepada kedudukan Adun di negeri itu yang akan menjadi seimbang jika PAS menang pada PRK Kuala Besut ini.

(Penceramah tersohor Ustaz Azhar Idrus turut turun memberi sokongan kepada Che Long)

Menurutnya, terdapat dua kategori pengundi pada PRK ini iaitu pengundi politik dan pengundi calon.

Adun Chukai itu memberitahu, pengundi politik tegar menyokong PAS manakala pengundi calon dari kalangan penyokong Umno dan atas pagar mengundi Che Long.

Tambahnya, Che Long akan menunggu keputusan penjumlahan undi di Markas Besar PAS PRK Kuala Besut petang ini.

Sementara itu, Hanafiah memaklumkan, Che Long dijangka akan solat Zohor di unit peti undi Bukit Puteri dan berehat seketika sebelum memulakan pusingan kedua di ketujuh-tujuh peti undi.

Tambahnya, Che Long akan menunggu keputusan penjumlahan undi di Markaz Besar PAS PRK Kuala Besut petang ini.

Sehingga 11.00 ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan kira-kira 45 peratus mereka yang telah keluar mengundi, namun SPR mensasarkan lebih 75 peratus yang akan keluar mengundi sehingga jam 5.00 petang nanti.

44.49% sudah keluar mengundi


MALAYSIA KINI


 
[GALERI FOTO]
Selepas 12 hari masa berkempen, hari ini pemilih di Kuala Besut akan menentukan, antara dua 'anak kampung' BN dan PAS, siapakah yang akan menjadi pilihan mereka untuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Nasib calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, seorang jurutera dan calon PAS, ahli perniagaan, hari ini akan ditentukan oleh 17,713 pemilih di kawasan berjiran dengan negeri Kelantan itu.

Jika Tengku Zaihan memang, status quo akan kekal.

Bagaimanapun, jika keadaan sebaliknya, situasi baru yang tidak pernah terjadi akan disaksikan apabila BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai kerusi sama banyak dalam DUN.

Keadaan itu, oleh kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, membolehkan segala kemungkinan.

Peti undi dibuka pada jam 8 pagi. Keputusan paling awal akan diketahui pada jam 10 malam ini, selepas umat Islam selesai menunaikan solat tarawih.

Berikut laporan langsung oleh wartawan Malaysiakini di lapangan:

11.40am Setakat jam 11 pagi, seramai 7,356 orang (44.49 peratus) sudah keluar mengundi.

Jika dicampur undi awal, jumlah keseluruhannya 8,268 (46.76 peratus).

NONESementara itu, di SK Kampung Nangka, sikap peramah Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan melawat dan bersalaman dengan menyokong PAS diusik beberapa pihak.

Mereka berkata beliau kini menyokong parti Islam itu. Bagaimanapun, menurut Ahmad, sebaliknya yang berlaku.

"Penyokong PAS sedikit berubah, mereka jadi lebih selesa dengan saya sekarang," seloroh timbalan menteri kewangan itu.

Sementara itu, walaupun dalam cuaca panas dan ketika berpuasa, situasi di Kampung Nangka masih bingit dengan jeritan kedua-dua penyokong PAS dan BN.

"Nak air?" jerit seorang penyokong PAS.

"Kami puasa, kamu tak!" jawab seorang penyokong BN.

10.45am Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah keluar mengundi setakat jam 10 pagi cukup tinggi.

"Saya harap ia berterusan," katanya dalam sidang media.

Mengulas mengenai tindakan calon BN yang menunjukkan kertas undi kepada media sebelum memasukkan ke dalam tong undi, Abdul Aziz berkata:

"Beliau tidak sepatutnya buat demikian. Setiap undi adalah rahsia... Undi adalah rahsia.

"Sudah tentu dia sebagai calon BN, dia pangkah (BN). Itu bukan rahsia sama sekali... Mustahil dia sebagai calon, dia pangkah orang lain," katanya.

Sementara itu, Aziz juga mencabar Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengulangi tuduhan terhadapnya dan Timbalan Pengerusi Datuk Wan Ahmad Wan Omar di luar dewan Rakyat yang mendakwa mereka mempunyai kaitan rapat dengan pembekal dakwat kekal pada PRU-13.

Pemimpin SPR itu menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah dan dakwaan yang dianggap serius terhadap mereka, keluarga dan suruhanjaya itu sendiri.

"Kami berharap dalam tempoh satu minggu bermula hari ini, kalau dia betul-betul anak jantan, ulang dakwaan itu di luar dewan.

"Apabila kami mendapat kenyataan itu, kami akan berbincang dengan peguam-peguam kami untuk mengambil tindakan selanjutnya," kata Abdul Aziz.

10.30am: SK Nail - 'Kempen sihat' kelihatan di Kampung Nail apabila terdapat penyokong PAS mengambil peluang bergambar dengan calon BN Tengku Zaihan.

"Saya tiada masalah, ini kempen sihat," kata seorang penyokong PAS dari Dungun yang enggan dinamakan.

10am: Peratus keluar mengundi setakat ini sebanyak 31 peratus atau 5,147 orang.

Jika dicampur dengan undi awal sebanyak 911 orang, jumlahnya menjadi 34 peratus (6,059 orang).

NONE9.48am: Jeti Kuala Besut - Ketika suasana di pusat pengundian makin panas, sekitar kawasan jeti masih kekal tenang. Orang ramai kelihatan kurang berbanding hari-hari lain.

Pelancong seperti biasa bersarapan dan bersedian menaiki feri ke Pulau Perhentian.

Sementara itu, laman Facebook rasmi pilihan raya kecil Kuala Besut PAS melaporkan, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat juga turun melawat di unit peti undi Kg Nangka sebentar tadi.

9.15am: SK Kg Nangka - Ahmad Said cuba membantu menyorong seorang warga emas yang berkerusi roda memasuki pusat mengundi tetapi dibantah oleh seorang penyokong parti, menyebabkan perselisihan kecil.

Akhirnya, setelah ditenangkan, Ahmad membatalkan hasratnya itu dan memasuki kawasan sekolah itu. Warga emas kemudian disorong oleh individu lain.
NONESebelum itu, di SK Kg Nangka - Calon PAS Che Long beredar daripada pusat pengundian itu, selepas 20 minit meluangkan masa membuat lawatan di situ dan beramah mesra dengan pengundi.

Tidak berapa lama kemudian, menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut beredar daripada pusat pengundian itu.

Sementara kedua-dua penyokong berbaris di luar kawasan sekolah di tepi jalan sambil memegang dan menunjukkan poster calon masing-masing kepada pengundi yang berjalan ke pusat pengundian dan kenderaan yang lalu lalang di situ.

NONESementara itu, di SM Kuala Besut, Naib Ketua Wanita MCA Heng Seai yang berdiri di depan sekolah itu berkata, perjalanan hari mengundi setakat ini nampak aman dan harmoni.

"Walaupun mereka daripada parti yang berbeza, tetapi mereka saling mengenali antara satu sama lain, ini budaya yang sangat berbeza," katanya.

Terdapat 148 pengundi Cina di Kuala Besut, tidak sampai 1 peratus daripada jumlah pemilih keseluruhan.

Seramai 114 daripada mereka akan mengundi di Sebarang Barat dan selebihnya di Bukit Puteri.

9.08am: SMK Kuala Besut - Beberapa penyokong PAS mula mempamerkan kain rentang dan plakad di kedua-dua tepi jalan di hadapan sekolah bagi merayu undi.

NONE8.50am: SK Kg Baharu - Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said tiba di pusat pengundian itu tetapi disambut dengan laungan takbir oleh majoriti penyokong PAS.

Bagaimanapun beliau hanya mampu tersenyum. Manakala laungan "Hidup BN" oleh penyokong BN tenggelam laungan takbir penyokong PAS.

"Setakat ini saya berpuas hati perjalanan pilihan raya. Semuanya aman dan saya berharap ia berterusan sehingga pusat pengundian ditutup.

"Saya berharap penyokong kedua-dua pihak tidak mencetuskan provokasi.

"Insya-Allah, BN mampu mempertahankan DUN Kuala Besut," katanya ketika ditemui pemberita diluar pusat mengundi.

8.25am SK Kg Baharu - Pengurus kempen kepada calon PAS mengakui hari ini merupakan pertarungan sengit antara Azlan dan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

NONE"Hari ini kita akan mendapat undi PAS dan undi Che Long (daripada pengundi). Dapat dua undi. Kalau ada penipuan, itu yang menyebabkan kita jatuh.

"Rakyat teruja dengan Che Long kerana beliau sangat friendly, kebaikan dan kemurahan hati yang terjalin sebelum itu.

"Sentimen politik itu tak ada dengan rakyat di sini. Semua orang didampingi oleh Che Long mungkin kerana dia seorang kontraktor," kata Hanafiah yang ditemui Malaysiakini di luar sekolah.

NONE8.20am: SMK Kuala Besut - Tengku Zaihan, calon BN tiba untuk membuang undi ditemani isteri berpakaian baju Melayu merah.

Menariknya, beliau menunaikan kertas undi ketika mengundi, yang menunjukkan beliau memangkah diri sendiri.

"Saya nasihatkan pemilih keluar mengundi seawal mungkin untuk terus memangkah BN," katanya.

8:15am: SK Kampung Baharu - Ketika ditemui pemberita, Azlan berkata beliau berpuas hati dengan kempen yang dilaksanakan dan akan menunggu keputusannya pada petang nanti.

"(Kita) yakin akan menang, apa pun nantilah (keputusannya)," katanya ringkas.

Beliau mengakui sedikit berdebar dan bangun awal untuk bersahur dan bersolat subuh sebelum menuju ke pusat pengundian.

8am: SK Kampung Baharu - Calon PAS Azlan Yusof tiba bersama isterinya di pusat mengundi itu sejak 7.45 pagi.

NONEBeliau disambut oleh sekumpulan penyokongnya yang menunggu lebih awal dengan laungan takbir.

Beliau juga ditemani oleh wakil calon, Hanafiah Mat dan Wan Azhar Wan Ahmad.

Azlan atau lebih dikenali Che Long menjadi orang kedua mememasuki pusat mengundi.

Langit cerah pagi ini. Ramalan cuaca bagaimanapun meramalkan hujan ribut petir mungkin melanda di sebelah petang.

Hit N Run Muslimat PAS meriahkan hari terakhir

Hazayani Zakaria,




KUALA BESUT: Hari terakhir kempen PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.01 Kuala Besut dimeriahkan lagi dengan kewujudan 'gelombang hijau' muslimat di seluruh kawasan mengundi.

Jentera kempen muslimat berpakaian serba hijau berdiri di tepi-tepi jalan utama sambil mengedarkan risalah kempen dan poster calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long kepada kenderaan yang lalu-lalang.

Program yang dinamakan 'Hit N Run'anjuran Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) itu bermula jam 8.30 pagi tadi dan dijangka tamat pada jam enam petang selepas selesai melawati kesemua tujuh unit peti undi (UPU) tidak termasuk satu UPU di Pulau Perhentian.

Pelbagai respons dapat dilihat daripada pemandu kenderaan yang melewati mereka.

Ada yang membunyikan hon tanda memberikan sokongan dan mengambil risalah yang diedarkan dan ada juga yang berlalu begitu sahaja.

Sementara beberapa kumpulan berdiri di sepanjang jalan utama mempamerkan poster calon, satu kumpulan lagi mengadakan ceramah bergerak menaiki pacuan empat roda.

Enam orang penceramah bergilir-gilir merayu undi menggunakan pembesar suara antaranya Ketua Penerangan DMPP Aiman Athirah Al Jundi, ahli jawatankuasa kerja DMPP Normala Sudirman dan Kintan Man serta ahli jawatankuasa DMP Johor Anis Afida Mohd Azli.

Mereka mengajak pengundi-pengundi keluar mengundi pada esok hari dan memilih Che Long bagi memenangkan PAS.

Cara ini menarik perhatian penduduk dan pengguna jalan raya.

Di sepanjang jalan, poster-poster calon serta bendera-bendera PAS dan BN semakin bertambah.

Tempoh berkempen yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berakhir sebelum jam 12 tengah malam ini.

SPR: Jumlah pengundi keluar memuaskan


SPR: Jumlah pengundi keluar memuaskan
Orang ramai beratur menunggu giliran untuk mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Besut di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu di Besut hari ini. - Foto Bernama
 
JERTIH - Jumlah pengundi yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut pada sejam pertama sejak pusat-pusat mengundi dibuka adalah memuaskan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusuf berkata, sehingga jam 9 pagi tadi, seramai 2,406 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab dan meningkat sebanyak 15 peratus.

Katanya, jika dicampur pengundi awal menjadikan jumlah kepada 3,318 dan meningkat kepada 19  peratus.

"Ini bermakna dari segi satu jam pertama, ia sangat memuaskan hati SPR apabila ia mencecah 10 peratus.

"Kita menjangkakan jumlah pengundi yang akan keluar mengundi dalam 75 sehingga 80 peratus," katanya pada sidang media di Dewan Majlis Daerah Besut, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut berpuas hati dengan tingkah laku lang ditunjukkan pengundi-pengundi di sini.

"Saya dapati pengundi di sini cintakan keamanan.

"Penyokong dan pengundi yang datang di pusat-pusat mengundi dapat bercampur dengan baik," katanya lagi.

Beliau menambah,  semangat pilihan raya dengan menunjukkan poster calon dan parti masing-masing ada namun tidak ada sebarang provokasi.

"Ada dua kumpulan, setakat ini SPR telah pergi ke dua pusat mengundi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut dan Sekolah Kebangsaan Kuala Besut, Sekolah Kebangsaan Nangka serta Sekolah Kebangsaan Kuala Peroi.

"Dari pemerhatian kita sepanjang perjalanan ke sekolah-sekolah itu, saya dapati pengundi cintakan keamanan, ketenteraman, dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan begitu disipilin dan tertib.

"Penyokong parti yang datang berhampiran, mereka boleh bercampur gaul di antara dua penyokong parti yang blainan, tak berbalah, bertengkar atau mengejek antara satu sama lain," katanya.

Kempen BN, PAS ‘berakhir’ di Zul Ikan Bakar

THE MALAYSIAN INSIDER

Tepat jam 12 tengah malam tanggal 23 Julai, berakhirlah kempen penyokong dan jentera parti politik yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Mereka kemudian 'bersatu' di bawah satu bumbung sambil menikmati juadah di sebuah gerai ikan bakar berhampiran Jeti Kuala Besut.

Zul Ikan Bakar sinonim dengan masyarakat tempatan dan menjadi tumpuan pengunjung Kuala Besut lantaran keunikan ikan bakar yang dibalut daun pisang dan kerajang timah, selain dibakar menggunakan rempah rahsia.

Tinjauan The Malaysian Insider  selepas tempoh kempen berakhir mendapati penyokong dan jentera parti Barisan Nasional (BN) dan PAS berehat dengan menikmati hidangan ikan bakar di gerai berkenaan.

Berbeza situasi ketika tempoh berkempen yang agresif dan penuh mengkritik antara satu sama lain, penyokong dan jentera parti kedua-dua parti, dilihat aman apabila berdepan pelbagai juadah.

Malah, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar juga dilihat berada di lokasi berkenaan baru-baru ini selepas berceramah di pentas Pemuda Kampung Tok Saboh.

Penyokong dan jentera BN memakai baju tertera lambang BN dan 1 Malaysia, dilihat bersama-sama penyokong dan jentera PAS yang berbaju T hijau tertera perkataan 16:16, selain berkopiah putih.

Zul Ikan Bakar beroperasi selepas selesai solat sunat Terawih sehingga jam 2 pagi.

Malah, gerai di pinggir jalan itu juga penuh pengunjung yang menikmati ikan bakar, selain hidangan Maggi Ketam yang juga sinonim dengan Kuala Besut.

Ia menjadi tumpuan bukan sahaja kerana menjadi lokasi ke Pulau Perhentian, pulau ke-12 tercantik dunia, tetapi disebabkan PRK yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13)

Kuala Besut memiliki 17,683 pengundi berdaftar dan bakal membuang undi mulai jam 8 pagi ini.

BN meletakkan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera di Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) manakala PAS mengharapkan kemenangan Che Long, kontraktor ternama yang terkenal gemar membantu penduduk tempatan.

Tepat jam 10 malam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan keputusan rasmi PRK Kuala Besut.

Kerusi itu sebelum ini milik BN apabila penyandang, Dr A Rahman Mokhtar menang majoriti 2,434 undi mengalahkan calon PAS pada PRU13.

Ekoran itu. kerusi berkenaan dianggap kritikal kerana BN kekurangan satu kerusi selepas menang 17 kerusi DUN berbanding 15 milik Pakatan Rakyat, dengan 14 dari PAS manakala satu milik PKR.

Ketika BN cuba mengelak kedudukan 16;16 kerusi, PAS giat berkempen mendapatkan satu kerusi tambahan bagi mewujudkan situasi 'DUN tergantung'.

Kempen berakhir dengan jentera BN, PAS menikmati kemasyhuran ikan bakar Kuala Besut. Gambar The Malaysian Insider oleh Mohd Farhan Darwis
Kempen berakhir dengan jentera BN, PAS menikmati kemasyhuran ikan bakar bakar Kuala Besut. Gambar The Malaysian Insider oleh Mohd Farhan Darwis


Kuala Besut penentu nasib DUN Terengganu, masa depan PAS

Oleh Mohd Farhan Darwis dan Muzliza Mustafa

Pengundi Kuala Besut hari ini akan menentukan sama ada mahu mengekal Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan negeri atau menyokong kempen kerajaan setara 16:16 yang diimpikan PAS.

Ia bermula sebaik sahaja pusat mengundi dibuka jam 8 pagi dan ditutup 5 petang bagi 17,679 pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Kira-kira 3,000 anggota polis bertugas untuk memastikan proses pilihan raya kecil (PRK) berikutan kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dr A Rahman Mokhtar 26 Jun lalu, berlangsung aman.

Kerusi DUN Terengganu yang bersempadan dengan Kelantan itu dianggap kubu kuat BN kecuali pada 1999 apabila PAS menang.

Kini, parti itu mahu mencipta sejarah untuk menyamakan kedudukan menjadi 16 daripada jumlah keseluruhan 32 kerusi.

PAS berkempen dengan agenda 16:16 sejak hari penamaan calon tetapi mendakwa tidak berminat untuk mengambil alih kedudukan menteri besar, sebaliknya mahu memberi tumpuan sebagai pengimbang kuasa kerajaan negeri yang dipimpin BN.

Selama kempen 12 hari PRK pertama Malaysia selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) itu, ia menyaksikan calon PAS Endut @ Azlan Yusof menyaingi calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
Ia juga dilihat sebagai usaha PAS untuk mengubah nasib pada PRU13 yang menyaksikan mereka hanya mendapat 21 kerusi Parlimen berbanding 23 pada PRU12.

Kajian badan kajian tempatan, Ilham Centre pada 18 sehingga 21 Julai lalu mendapati populariti calon PAS jauh mendahului dengan 71 peratus berbanding 14 peratus bagi calon BN, tetapi realiti mungkin tidak menyebelahi PAS.

Penganalisis percaya ia disebabkan calon PAS lebih kerap 'mengunci mulut' sepanjang kempen, sebaliknya Che Long hanya 'mewakilkan' pemimpin tertinggi PAS untuk membantunya.

Sumber dalaman PAS memberitahu The Malaysian Insider,  selepas kenyataan Che Long dimanipulasi media arus perdana pada peringkat awal kempen, parti berkenaan mengarahkannya supaya tidak membuat kenyataan.

Ia berbeza dengan Tengku Zaihan yang dilihat sebagai seorang yang tidak takut menyuarakan pandangan, malah mesra media.

Kedua-dua calon juga membawa pemimpin besar dalam kempen, antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sepanjang kempen, BN menghambur janji pelbagai bantuan kerajaan dan ia dianggar bernilai RM19,000 bagi setiap pengundi.

PAS pula berharap mampu merampas kerusi itu selepas beberapa siri kekalahan selepas 1999 sementara BN yakin kempen agresif mereka bakal mengulangi kemenangan PRU 13.

Pada PRU13, BN menang dengan majoriti 2,434 undi dan penganalisis percaya mereka sukar dikalahkan di Kuala Besut.

Apapun, penentuan dapat disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijangka membuat pengumuman keputusan sekitar jam 10 malam ini.

RM476 juta ditabur di Kuala Besut


KL TODAY

BESUT: Pilihanraya kecil DUN Kuala Besut sudah menghampiri saat saat akhir dan dalam tempoh berkenaan sebanyak 476 juta ringgit telah diperuntukan oleh jentera pilihanraya Barisan Nasional menurut ahli jawatankuasa induk PRK Kuala Besut Dr Dzulkefly Ahmad.

Bekas ahli parlimen Kuala Selangor itu menegaskan bahawa jumlah besar tersebut menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri dan bagaiman rakyat di dun Kuala Besut telah dipinggirkan selama ini.


“Kesemua isu-isu yang kami bangkitkan dalam tempoh berkempen ternyata memberi impak yang besar kepada lawan kami sehingga terpaksa mengeluarkan peruntukan yang sangat besar bagi penduduk Kuala Besut

“Hingga hari ini 476 juta telah diperuntukan dan kita dapati angka ini adalah yang tertinggi dalam sejarah piliharanraya. Daripada pengiraan kami, setiap nilai kertas undi di dun Kuala Besut berharga 27,000 seorang”, tambahnya.

Akhbar akhbar tempatan sebelum ini telah menerbitkan berita peruntukan kerajaan negeri bagi menaiktaraf pembangunan di Kuala Besut. Antara peruntukan yang tertinggi adalah pembinaan empangan berharga 35 juta ringgit bagi para petani di Pengkalan Nangka serta klinik kesihatan bernilai 39 juta ringgit di Besut.


Dalam pada itu, Dr Dzulkefly percaya bahawa PAS bakal merapatkan jurang defisit undi sebanyak 2,343 yang dicatat pada pilihanraya umum yang lepas. Beliau menambah faktor calon yang dikenali oleh hampir semua penduduk kampung Kuala Besut bakal memberikan impak yang berbeza.

“Che Long dikenali oleh hampir 70% penduduk kampung dan ini merupakan faktor kukuh bagi kami. Selain daripada itu, jentera kami juga telah berjaya memainkan peranan yang besar sepanjang tempoh pilihanraya,”

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut mengulangi agenda kemenangan 16-16 yang bakal membawa perubahan besar kepada rakyat di Kuala Besut. Menurut beliau kempen 16-16 telah berjaya menambat hati penduduk setempat dan dilihat bakal memberi impak positif kepada parti Pas.

“Kami percaya bahawa kempen 16-16 sudah membawa kesan yang besar kepada rakyat tempatan dan kami berharap bahawa rakyat Kuala Besut akan membuat pilihan yang tepat dengan memilih calon yang bakal membawa perubahan,” kata Dr Dzulkefly.

Catatan Malam PRK Kuala Besut; Bila Menteri Naik Rumah Pengundi Waktu Malam

BULETIN ONLINE

Analisa melalui kajian yang dibuat oleh sebuah badan merumuskan kajian yang dilakukan berakhir 22 Julai, BN masih mendahului PAS untuk menang dalam pilihan raya kecil jika tiada sebarang tindak balas agresif oleh PAS pada pusingan akhir kempen PRK di Kuala Besut.

Che Long malam akhir

Namun, dalam tempoh 24 jam selepas kajian itu, mungkin keadaan sudah jauh berbeza.

Keadaan yang begitu terdesak sehingga dilaporkan, dua orang pemimpin utama Umno termasuk seorang menteri terpaksa naik ke rumah-rumah untuk memujuk dan cuba ‘membeli’ pengundi.

Sehingga malam ini, malam akhir sebelum mengundi, kegiatan ‘tawar menawar’ terus berlaku dan permainan ‘arus bawah’ terus berlangsung walaupun kegiatan kempen secara rasminya dihentikan tepat jam 12.00 malam.

Apa yang menarik pada PRK kali ini adalah, tiada kedengaran sebarang peristiwa berunsur ‘ganas’ yang sering berlaku pada siri-siri piliharaya sebelum ini.

Pihak keselamatan juga tidak pula mendabik dada dan membuat kesimpulan segera, dengan kehadiran ramai anggotanya, merupakan faktor menyebabkan suasana aman dan tenang pada PRK Kuala Besut.

Ada faktor lain pada ‘arus bawah’ yang telah menyumbangkan kepada ketenangan PRK Kuala Besut sehinggakan ramai rakan media yang berkata, inilah PRK yang paling ‘relax’ buat mereka.

Sesetengahnya sudah bersiap dengan tidak membawa kereta dan hanya menunggang motosikal ke Kuala Besut, untuk melicinkan liputan dalam ‘simpang siur’ jalan-jalan yang agak sempit di Kuala Besut ini.

Faktor Che Long

Asakan media pada awal kempen, sebaik selesai penamaan calon, cuba melunturkan kepercayaan orang Kuala Besut kepada ahli perniagaan yang dermawan itu.

Kesilapan penuturan kata-kata Che Long dalam sebuah klip video cuba dimanupulasi oleh ‘wartawan songsang’ yang hanya melaporkannya dari atas meja di Kuala Lumpur.

[Gambar - Che Long muncul dalam video rayuan akhir, pada malam sebelum mengundi PRK Kuala Besut]
Namun, ‘hanya jauhari yang mengenal manikam’ dan ternyata orang Kuala Besut lebih kenal batang tubuh Che Long dari mainan kata-kata media.

Fitnah terhadap Che Long hanya berlalu dan terlarut dalam suasana apabila kegigihan beliau bergerak menemui para pengundi secara bersemuka.

Tindakan Che Long yag sering berjalan sendirian tanpa gerombolan pasukan kempen menghairankan pihak media dan orang ramai sehingga ada yang bertanya sinis dan memandang ‘lekeh’.

Sebaliknya, bergerak secara ‘solo’ itu memberikan kesempatan kepada Che Long menemui pelbagai kumpulan masyarakat tanpa disedari oleh pihak musuhnya.

Ia diakui oleh kajian oleh badan terbabit yang merumuskan Che Long lebih dikenali oleh pengundi dan penduduk Kuala Besut berbanding calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman – yang cuba dipopularkan sebagai Abe Ku.

Peratusan responden yang memihak Che Long sebanyak 71.6 peratus jauh meninggalkan Abe Ku yang hanya mendapat 14.2 peratus.

Luar Dugaan

Sebaik naik dari jeti, sekembalinya dari Pulau Perhentian petang Selasa, sekumpulan kaum Tionghua sedang berkumpul di pekan Kuala Besut mengunggu ketibaan Che Long.

Walaupun diantara mereka memakai baju ‘dacing’, mereka menuding ke atas apabila ditanya mereka akan mengundi apa.

Rupa-rupanya mereka menunjukkan ‘bulan purnama’ 15 Ramadhan yang sedang mengambang di langit!
Sambutan luar biasa, merentasi pelbagai lapisan masyarakat Kuala Besut terhadap Che Long membenarkan dapatan kajian yang menyatakan 51.2 penratus responden misalnya bersetuju bahawa Che Long adalah seorang peniaga yang cukup dermawan manakala 65.1 peratus menerima Che Long sebagai seorang yang ramah dan mudah mesra.

Bukan sahaja komuniti dipermukaan yang menyokong Che Long, malahan kumpulan yang dianggap ‘gelap’ memberikan sokongan padu kepada calon PAS, yang ramai tidak mengetahui nama sebenarnya adalah Endut @ Azlan Yusof

Selasa, 23 Julai 2013

'Underdog' tetap yakin kecewakan BN esok

 


 
Walaupun bermula sebagai underdog, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkefli Ahmad berkata parti itu yakin berada dalam "posisi untuk mengecewakan BN" dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut esok.

Dr Dzulkefli berkata berdasarkan kajian mereka, calon PAS Azlan Yusof mempunyai kelebihan kerana dikenali hampir 70 peratus daripada pengundi di Kuala Besut.

Data tersebut selari dengan dengan kajian yang dilakukan sebuah firma penyelidikan bebas Ilham Centre - yang menumpukan pengkhususan dalam bidang kajian lapangan.

NONEZulkefly (kiri) yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS juga berkata, agenda 16:16 yang menjadi tema kempen mereka berjaya "menekan, menggigit dan menggugat" BN pada minggu kedua berkempen.

"Dalam kajian yang kami lakukan dan maklumat rahsia daripada sebelah sana (BN), bahawa mereka takut, kalau-kalau kami dapat mampu mengurangkan majoriti mereka.

"Dengan berkat Ramadan dan kesungguhan calon dan jentera, tidak mustahil kemenangan mampu berpihak kepada kami.

"Jadi pada kami takrif menang itu adalah (bermaksud) mengurangkan majoriti 2,434 mereka.

"Tetapi sepertimana saya sebutkan, dengan keberkatan Ramadan, usaha, gigih, cekal dan sebagainya, kita berada dalam kedudukan untuk mengecewakan mereka dalam pilihan raya kecil ini" katanya.

‘Piagam Kuala Besut’ Akan Beredar 23 Julai

BULETIN ONLINE

KUALA BESUT – Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya keputusan PRK itu berpihak kepada PAS, peranan PR dalam Dun Terengganu akan menjadi lebih besar dalam menentukan dasar dan hala tuju negeri.

“Jika senario itu berlaku, Pas boleh memastikan segala dasar, perbelanjaan, projek dan pembangunan yang ingin dilaksanakan akan berjalan dengan lebih adil dan telus.

“Senario 16:16 adalah satu anjakan bagi kepentingan rakyat di Terengganu keseluruhannya bagi mengawal pelbagai projek yang membazir, menyekat penyalahgunaan kuasa dan membendung ketidakadilan dalam pentadbiran kerajaan sekarang,” katanya.

dr alias

Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya Kuala Besut, Datuk Husam Musa berkata pembangkang akan mengeluarkan piagam khas yang menyerupai manifesto untuk rakyat Terengganu jika misi 16-16 tercapai.

Menurutnya, misi 16-16 akan memberi faedah kepada rakyat pada jangka masa panjang dan menguntungkan.

Beliau berkata, Pas dan juga wakil perikatan yang “turun padang” akan mengenegahkan isu perumahan, sektor perikanan dan menghapuskan kemiskinan penduduk di Terengganu.

“Kalau kita menang di sini, kita akan suruh wakil-wakil PR buatkan rancangan untuk menghapuskan kemiskinan Terengganu serta-merta, membina rumah kepada rakyat dalam masa sepuluh tahun, membina kompleks perikanan antarabangsana di sini dan Tok Bali sekali.

“Selain itu, kita juga merancang untuk membuka lapangan terbang kepada pelancong untuk ke Pulau Perhentian di Kuala Besut dan mengagihkan tanah-tanah kepada rakyat jelata termasuk Pulau Perhatian,” katanya yang dipetik Sinar Harian Online.

Sebelum ini, Pas mendakwa senario 16:16 yang bakal tercipta pada PRK di kerusi Dun Kuala Besut sebagai peluang untuk membentuk kerajaan negeri yang lebih berimbang.

Mengulas lanjut, Husam yang juga Naib Presiden Pas menegaskan, PR tidak akan menggunakan politik wang untuk meraih undi warga Kuala Besut.

“Kita akan berubah program kepada 16-16. “Kita tak akan menggunakan pendekatan menggunakan wang yang dilakukan segelintir pihak.

“Kita lebih gunakan teknik untuk rakyat berfikir melalui maklumat yang disampaikan,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Operasi PAS PRK Kuala Besut Dr Alias Razak berkata, piagam tersebut akan diedarkan kepada orang ramai pengundi Dun Kuala Besut mulai esok.

“kita sedang menyiapkan deraf akhir piagam itu dan InsyaAllah ia akan diedarkan kepada pengundi Dun Kuala Besut mulai esok sebagai satu pernyataan komitmen dan kesungguhan kami (PAS dan pakatan Rakyat) untuk memenangi pilihanraya kecil ini.

Pilihan Raya Kecil: Jangan jadi hamba semata-mata mahu bantuan BN - Anwar


 
DETIK DAILY
 
KUALA BESUT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut supaya tidak menjadi hamba BN semata-mata kerana mahu bantuan dari mereka.

"Pengundi Kuala Besut jangan jadi hamba dengan bantuan-bantuan BN. Pasal apa Umno curah banyak wang?

"Sebab nak menang, kalau kalah peta politik akan berubah, gugat kuasa politik Umno," katanya depan kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut malam tadi, lapor The Malaysian Insider.

Ketua Umum PKR itu berkata, pengundi boleh mengambil bantuan yang diberi BN tetapi perlu berfikir sebelum mengundi kerana BN didakwanya bakal menindas mereka.

"Kerana miskin, tak salah dapat RM500, RM200 tapi salah kalau dapat RM500, jadi hamba kepada pemerintah.

"Kalau kata perlu undi BN untuk dapatkan bantuan, itu tidak masuk akal. Perlu tanya diri sendiri, kita ada pilihan," katanya pada ceramah menggunakan lori kecil yang dihiasi lampu warna-warni sebagai pentas.

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah PRK Kuala Besut PAS, Datuk Husam Musa.

BN setakat ini sudah mengumumkan 10 projek dan bantuan untuk penduduk Kuala Besut yang dianggarkan bernilai RM387,490,750.

Antara projek terbaru ialah projek RM250 juta pedalaman Kuala Sungai Besut dan pemasangan benteng pemecah ombak yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PAS pula mendakwa semua projek itu hasil perjuangan dan kempen PAS selama ini yang mendedahkan kepincangan tadbir urus kerajaan.

Sebaliknya, Anwar berkata, pengundi Kuala Besut harus mengambil peluang pilihan raya kecil (PRK) untuk mewujudkan kerajaan setara antara BN dan Pakatan Rakyat (PR).

Menyeru pengundi memberi sokongan kepada Endut@Azlan Yusof, calon PAS yang lebih dikenali sebagai Che Long di Kuala Besut, beliau yakin PAS mampu mengulangi kemenangan pada 1999.

"Siapa kata ini kawasan Umno? Tidak. Tahun 1999 dahulu PAS menang. Cuma, kita perlu tanamkan kekuatan itu," katanya merujuk kemenangan ke atas Terengganu hingga membentuk kerajaan negeri pada tahun berkenaan.

Anwar juga tidak menolak kemungkinan BN akan mengadakan pilihan raya semula jika PAS menang kerusi itu yang sebelum ini dimenangi BN melalui calonnya, Dr Abd Rahman Mokhtar.H/Daily