Memaparkan catatan dengan label NAHAS-SARBAINI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NAHAS-SARBAINI. Papar semua catatan

Khamis, 20 Oktober 2011

'Bagaimana papagomo dapat bahan bukti SPRM?


Salhan K Ahmad

Keluarga allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamad menimbang untuk membuat laporan polis berhubung satu dakwaan yang disiarkan dalam satu blog pro-Umno bahawa allahyarham antara lainnya mempunyai seorang perempuan simpanan.

Blog berkenaan juga mendakwa bahawa allahyarham bukanlah seorang yang bersih, kata seorang anggota keluarga itu, Makhtar Mansor yang menafikan dakwaan tersebut.

Polis perlu menyiasat dakwaan berkenaan, kata Mokhtar, yang turut akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, beliau akan membuat laporan kepada SPRM kerana dakwaan tersebut turut melibatkan bahan bukti yang didakwanya diambil daripada siasatan badan itu ke atas kes melibatkan allahyarham.

NONEBercakap dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, Makhtar mendakwa, tulisan dalam blog tersebut turut menyertakan foto yang didakwa sebagai perempuan simpanan berkenaan.

Keluarga allahyarham pergi ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum menggesa perdana menteri menubuhkan suruhanjaya diraja untuk membolehkan siasatan kes kematian bekas pegawai kanan jabatan kastam itu dibuka semula.

Makhtar mendakwa, apa yang menimbulkan persoalan adalah bagaimana gambar berkenaan dapat terlepas ke blog berkenaan.

"Macam mana gambar dalam telefon bimbit arwah dapat kepada (blog) papagomo?," soalnya yang mendakwa, foto berkenaan tersimpan di dalam telefon bimbit allahyarham.

Menurutnya, telefon bimbit itu telah dirampas SPRM ketika siasatan dijalankan ke atas pegawai kastam itu.

Makhtar mendakwa wanita di dalam foto berkenaan juga bukanlah seorang wanita simpanan, seperti didakwa blog berkenaan.

Sebaliknya, dakwa beliau, wanita itu merupakan rakan kepada seorang anak perempuan allahyarham.

"Anak arwah telah pinjam telefon arwah untuk rakam gambar tersebut," katanya Makhtar lagi yang juga seorang bekas majistret.

Katanya lagi, pihak keluarga allahyarham telah mengetahui mengenai dakwaan dalam blog tersebut sejak dua minggu lalu.

"Ini yang buat keluarga rasa begitu sedih," katanya lagi.

Ahad, 16 Oktober 2011

Keluarga Sarbaini tuntut tubuh s'jaya diraja


Aidila Razak

Keluarga pegawai kastam, Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamad, hari ini menuntut ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematiannya, kerana mendakwa inkues yang dijalankan, telah gagal untuk membongkar kebenarannya.

sarbaini family pc 151011Bercakap dalam sidang akhbar di ibupejabat PKR di Tropicana hari ini, adik ipar allahyarham, Makhtar Mansor (kanan) berkata keputusan koroner tidak mengambil kira-kira testimoni yang mempersoalkan hal keadaan kematian pegawai kastam itu, sebaliknya, telah diterima bukti yang mencabar kredibiliti Sarbaini.

Menurut Makhtar, yang pernah berkhidmat sebagai majistret dan timbalan pendakwa kanan di Kedah, koroner tidak mengambil kira testimoni Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa allahyarham telah membuat pengakuan dalam keadaan tertekan.

Makhtar berkata, pegawai SPRM ada berkata allahyarham bertanya sama ada terdapat implikasi jika dia mengaku dan diberitahu bahawa SPRM akan membandingkannya dengan kekayaannya, jadi dia tidak perlu bimbang.

NONEKatanya lagi, Sarbaini tidak mempunyai apa-apa kekayaan, jadi dia mengaku mendapatkan (sehingga RM200 sebulan daripada syarikat-syarikat logistik) untuk mengelak daripada ditahan di lokap lagi.

Makhtar berkata, Sarbaini berbuat demikian dalam keadaan tertekan.

Menurutnya, dia pada mulanya tidak percaya bahawa SPRM akan berbuat apa-apa kesalahan, tetapi mengubah fikirannya selepas menghadiri prosiding inkues itu setiap hari.

Dalam inkues itu, katanya, seorang pengawal keselamatan, Ismail, memberi keterangan bahawa terdapat orang lain yang cuba untuk
melompat keluar dari tingkap, dan ada yang selamat.

NONEKatanya, beliau tidak tahu sama ada orang itu bercakap benar atau tidak, tetapi ia dibantah oleh peguam yang mewakili SPRM (Muhammad Shafee Abdullah) yang berkata ia adalah tidak relevan.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa Sarbaini, 56, meninggal dunia selepas terjatuh apabila cuba keluar dari bangunan SPRM Jalan Cochrane melalui tingkap tingkat tiga pada 6 April.

Sarbaini telah pergi ke sana untuk meminda satu kenyataan, berikutan siasatan SPRM terhadap dakwaan berlaku rasuah dalam jabatan kastam.

Selasa, 27 September 2011

Kes Ahmad Sarbaini gagal hapus kemarahan rakyat

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan Ahmad Sarbaini Mohamed mati kerana jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal menghapuskan kemarahan umum, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Kita tidak berniat hendak mempertikaikan keputusan mahkamah tetapi apa yang nyata, keputusan itu gagal menghapuskan kemarahan umum yang meluap-luap apabila terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu di premis SPRM.

"Dalam masa yang singkat, dua orang terbunuh di premis SPRM, iaitu Ahmad Sarbaini dan Teoh Beng Hock dan apa jua keputusan mana-mana institusi sekalipun tidak akan mampu meredakan perasaan marah masyarakat terhadap SPRM dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata beliau.

Salahuddin juga tidak menolak bahawa sebahagian besar rakyat semakin tidak sabar menanti tarikh pilihan raya untuk membalas dendam dan menghukum BN berikutan keputusan-keputusan berkaitan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini dan Teoh di premis SPM itu.

"Sebelum ini, rakyat marah apabila media-media yang dilihat pro Umno dan BN memberi gambaran bahawa Ahmad Sarbaini membunuh diri.

"Terbaru, ada pula blog pro Umno dan BN yang dilihat mengaitkan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini di premis SPM itu dengan video seks.

"Rakyat yang marah berikutan tuduhan-tuduhan dan keputusan-keputusan berkaitan kedua-dua kes itu pastinya tidak sabar-sabar lagi menanti pilihan raya untuk menghukum Umno dan BN habis-habisan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga bersetuju dengan peguam keluarga Ahmad Sarbaini, Awtar Singh yang menegaskan SPRM seharusnya dipertanggungjawabkan kerana tragedi terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu berlaku di premis SPRM.

"Sama seperti terbunuhnya Teoh Beng Hock, bukan sahaja Ahmad Sarbaini terbunuh di premis SPRM malah beliau terbunuh ketika dalam siasatan SPRM," kata Salahuddin sambil menyarankan keluarga dan sahabat Ahmad Sarbaini terus mengadakan solat hajat memohon Allah membuat penentuan yang muktamad.

Ketika mengulas keputusan mahkamah koroner itu, Awtar juga berkata adalah sukar untuk dipercayai Ahmad Sarbaini memanjat pintu untuk melarikan diri.

"Apa perlunya dia buat begitu? Dia datang dengan kerelaannya sendiri. Lebih dari itu, tidak ada kesan cap jari yang boleh dikesan berdekatan tingkap berkenaan dan mereka tidak mengambil pakaian ketua SPRM Kuala Lumpur, Ahmad Fauzi (Husin), untuk melakuan ujian DNA," kata Awtar yang juga memberitahu pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman.

Dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, koroner Aizatul Akmal Maharani berkata, teori bahawa SPRM terlibat dengan kematian Ahmad Sarbaini tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala," katanya.

Sebelum terbunuh, Ahmad Sarbaini dilaporkan pergi ke pejabat SPRM secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat suruhanjaya tersebut berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya.

Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

PKR: Keputusan inkues Sarbaini sukar dipercayai

MALAYSIA KINI


en PKR, N Surendran menyifatkan keputusan mahkamah koroner semalam yang mendapati kematian penolong pengarah kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamad pada 6 April lalu sebagai nahas kerana terjatuh dari aras tiga bangunan SPRM sebagai sukar dipercayai.

NONE“Keputusan ini sangat sukar dipercayai, tidak dapat diterima dan tidak konsisten dengan fakta kes.

“Mahkamah koroner memaksa kita untuk percaya bahawa Sarbaini yang secara sukarela datang ke pejabat SPRM di Cheras, kemudiannya mahu melarikan diri dengan merangkak keluar dari tingkap di aras tiga,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Menurut Surendran, tiada penjelasan diberikan tentang bagaimana dan mengapa rakaman CCTV selama 22 jam dipadam, yang mana ia memaparkan detik-detik di mana Sarbaini menemui ajalnya.

Beliau berkata, paling membimbangkan adalah tindakan SPRM sepanjang kes berkenaan. Ini kerana katanya, sebagai institusi awam yang dibiaya sepenuhnya dengan wang rakyat, keutamaan SPRM seharusnya adalah untuk mendapatkan kebenaran perkara berkenaan, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melaksanakan reformasi untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

NONESebaliknya, kata Surendran, SPRM bertindak seperti individu yang terdesak untuk membersihkan nama institusi itu walau dengan cara apa sekalipun.

“Perlu diperhatikan bahawa SPRM berkelakuan dengan cara yang sama semasa penyiasatan dan siasatan kematian Teoh Beng Hock, yang juga meninggal dunia semasa siasatan SPRM pada 16 Julai 2009,” katanya yang juga seorang peguam.

Dalam kedua-dua contoh, katanya SPRM bertindak menyerang reputasi mangsa-mangsa yang meninggal dunia secara terbuka sepanjang inkues dijalankan.

Surendran berkata, Sarbaini turut didakwa sebagai menerima rasuah meskipun beliau sudah tidak boleh menjawab mahupun mempertahankan dirinya terhadap dakwaan berkenaan.

“Ini adalah memalukan dan tidak penting bagi pihak inkues tentang bagaimana beliau meninggal dunia.

azlan“Asas kepada sistem perundangan kita adalah bahawa perbicaraan di mahkamah tidak seharusnya digunakan untuk memburukkan pihak yang telah tiada,” katanya lagi.

Katanya, keyakinan rakyat terhadap SPRM adalah di tahap paling rendah susulan kematian misteri kedua-dua individu itu.

Tambahnya, kedua-dua mereka merupakan bapa yang meninggalkan keluarga yang selamanya akan menderita atas kehilangan insan yang disayangi yang meninggal dunia dengan tragis.

Kerajaan, ujar beliau seharusnya memikul tanggungjawab terhadap kegagalan dalam memberikan jawapan sebenar kepada pihak keluarga dan rakyat.

NONEKata Surendran, keengganan kerajaan yang terus-menerus tidak mahu melaksanakan reformasi terhadap badan penguatkuasa seperti SPRM dan PDRM adalah punca sebenar terhadap masalah ini.

“Kami menyeru kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat punca sebenar di sebalik kematian Ahmad Sarbaini.

“Skop suruhanjaya ini mestilah termasuk prosedur operasi, pengambilan dan kaedah latihan SPRM serta membuat syor-syor pembaharuan yang amat mendesak dalam memastikan reformasi sistem terlaksana,” katanya.

Keluarga Sarbaini kaji fail keputusan inkues disemak, kata peguam

THE MALAYSIAN INISDER

KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mempertimbangkan kemungkinan memfailkan permohonan semakan keputusan inkues yang diumumkan hari ini.

Peguam keluarga Sarbaini (gambar), Awtar Singh berkata, pihaknya sedang menerokai opsyen-opsyen yang ada sebelum membuat keputusan muktamad.

“SPRM harus cukup berani untuk tampil dan memikul tanggungjawab, bukannya berselindung di sebalik sistem,” kata beliau ketika ditemui pemberita hari ini.

“Tidak mungkin, tidak mungkin dia (Sarbaini) memanjat tingkap,” kata Awtar yang tidak bersetuju dengan keputusan koroner Aizatul Akmal Maharani bahawa penolong pengarah Kastam itu mati selepas terjatuh dari paras setinggi sembilan meter.

Balu Sarbaini, Maziah Manap menyerahkan kepada iparnya Mohd Shah Jaafar untuk mengulas keputusan inkues hari ini.

“Kami minta maaf, kami tidak bersedia untuk bercakap kepada media sekarang,” kata beliau.

Katanya, “kami akan memanggil sidang media apabila kami bersedia. Bukan hari ini.”

Terdahulu, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Sarbaini tiada unsur bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga.

Aizatul dalam penghakimannya berkata pihaknya bersetuju dengan pandangan pakar terutama mengenai kecederaan yang dialami Sarbaini.

Kecederaan itu lebih membuktikan Sarbaini terjatuh dari tingkat tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan tanpa disengajakan dan kematian disebabkan nahas, kata koroner. Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane di sini 6 April lalu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Mengenai teori bahawa Sarbaini mengambil nyawanya sendiri atau membunuh diri, Aizatul Akmal berkata beliau tidak percaya dengan teori bahawa arwah akan berbuat demikian kerana ketiadaan bukti berlakunya perkara itu.

“Keterangan pakar patologi forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Prof Madya Dr Faridah Mohd Noor menunjukkan arwah tidak membunuh diri berdasarkan ketiadaan tanda-tanda yang biasanya wujud dalam kes sedemikian iaitu kelar di mana-mana bahagian anggota badan atau kandungan dadah atau racun di dalam badannya,” katanya.

Aizatul Akmal yang membaca keputusan setebal 25 halaman berkata pakar perunding kanan patologi di Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Shahrom Abdul Wahid juga menolak kemungkinan bahawa arwah akan membunuh diri kerana tiada kesan luka akibat cubaan membunuh diri yang dijumpai pada tubuh Sarbaini.

“Tiada nota bunuh diri dijumpai di tempat kejadian dan tiada kesan dadah atau alkohol pada sampel darah si mati mahupun pada air kencing atau kandungan perut si mati, dan kedua-dua pakar itu menolak kemungkinan arwah mati disebabkan apa-apa penyakit (natural disease),” katanya dipetik Bernama Online.

Aizatul Akmal mendapati teori bahawa arwah telah dibunuh (homisid) disangkal Dr Faridah dan Dr Shahrom dalam keterangan mereka.

“Dr Faridah berpandangan arwah tidak dibunuh berdasarkan ketiadaan sebarang kesan luka tangkis pada anggota badan si mati dan tiada kesan pergelutan berlaku di tempat kejadian.

“Dr Faridah berpendapat arwah berada dalam keadaan sedar diri kerana kecederaan yang dialami menunjukkan arwah cuba melawan kejatuhannya sebelum terhempas ke lantai di tingkat satu bangunan itu,” katanya.

Aizatul Akmal berkata Dr Shahrom juga menolak kemungkinan kematian arwah disebabkan homisid kerana hasil pemeriksaannya di tempat kejadian dan tubuh badan si mati menunjukkan tiada kesan pergelutan atau pergaduhan yang tidak berkaitan dengan kecederaan akibat jatuh.

“Dr Shahrom berpendapat sekiranya arwah dipaksa keluar dari tingkap pantri yang berada di tingkat tiga, bangunan SPRM, sudah pasti akan terdapat kecederaan akibat pergelutan atau pergaduhan dan ujian toksikologi juga adalah negatif untuk mencadangkan si mati telah diracun atau mengambil dadah,” katanya.

Aizatul Akmal berpendapat sekiranya arwah dipukul, pengsan dan kemudiannya dibuang ke luar tingkap, pastinya tiada kesan beliau cuba melawan kejatuhannya.

Isnin, 26 September 2011

Inkues: Tiada unsur jenayah dalam kematian Sarbaini

Hafiz Yatim


Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed, 56 jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur selepas berada pada belebas tingkap bangunan itu.

NONEKoroner Aizatul Akmal Maharani, dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, berkata teori bahawa SPRM terlibat dengan kematiannya tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala."

Peawai Pejabat Peguam Negara Mohd Abazafree Mohd Abbas membantu dalam inkues itu manakala SPRM diwakili oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Keluarga Ahmad Sarbaini pula diwakili oleh peguam Awtar Singh mewakili manakala peguam Rosli Dahlan dan Nadia Marni Mat Zin bertindak sebagai pemerhati bagi syarikat multinasional DB Schenker Logistics (M) Bhd.

NONEAntara penemuan penting inkues itu adalah bahawa sistem litar tertutup CCTV SPRM didapati diganggu dengan 22 jam rakaman termasuk tempoh apabila Ahmad Sarbaini datang ke premis agensi itu telah dipadamkan.

Seramai 34 saksi memberi keterangan pada inkues yang mengambil masa 14 hari untuk selesai.

Saksi-saksi yang tampil, termasuk dua ahli patologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Faridah Md Nor dan Dr Shahrum Abd Wahid.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane 6 April lalu.

NONEBeliau sebelum itu ditangkap sebagai sebahagian daripada program 3B tetapi kemudiannya dibebaskan sebelum kembali kepada SPRM pada hari kejadian itu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya. Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

Balu allahyarham Masiah @ Maziah Manap dan pengerusi Sosial Care Tan Sri Robert Phang turut hadir di mahkamah.

Khamis, 4 Ogos 2011

Pendarahan di kepala punca kematian Sarbaini

BERNAMA

"Mangsa tidak dapat bernafas dengan baik disebabkan pengaliran darah yang menutup saluran pernafasannya," kata Dr Faridah.



KUALA LUMPUR: Kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed adalah disebabkan pendarahan teruk di kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi selain kesukaran untuk bernafas, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Ahli patologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Profesor Madya Dr Faridah Mohd Noor berkata pemeriksaan ke atas mangsa mendapati kecederaan yang dialaminya konsisten dengan kesan jatuhan dari aras tiga, bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata darah yang banyak keluar daripada mulut, hidung dan telinga kiri juga menyebabkan mangsa sukar bernafas.

“Mangsa tidak dapat bernafas dengan baik disebabkan pengaliran darah yang menutup saluran pernafasannya,” kata Dr Faridah yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid pada prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April.

Dia dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai kastam.

Dr Faridah, yang menjalankan bedah siasat ke atas Ahmad Sarbaini pada 6 April lepas berkata terdapat 42 kesan kecederaan pada badan mangsa.

“Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam dan luka pada mata, dagu, dahi, pergelangan tangan, dada, dan juga beberapa kepatahan pada tulang tangan dan lutut, serta retak di bahagian tengkorak yang ditemui pada badan mangsa,” katanya.

Kesan jatuhan dari tempat tinggi

Beliau berkata kecederaan patah pada kaki sebelah kanan hingga menyebabkan tulang pada bahagian lutut mangsa terkeluar adalah konsisten dengan kesan jatuhan dari tempat tinggi.

Selain itu, keadaan sebelah kasut yang tertanggal daripada kaki mangsa dan jam tangan tercabut juga konsisten dengan kesan jatuhan tersebut, katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili SPRM.

Saksi ke-29 itu juga berkata Ahmad Sarbaini dianggarkan meninggal dunia antara jam 7 pagi hingga 11 pagi, dan tubuh mangsa didapati suam selain kekejangan otot masih berlaku, ketika mayatnya ditemui pada 6 April lepas.

Selain itu, Dr Faridah berkata mangsa terjatuh dari tempat yang tinggi dengan tidak disengajakan, dan beliau menolak berlakunya unsur bunuh diri atau dibunuh.

Beliau juga berpendapat Ahmad Sarbaini tidak membunuh diri kerana tidak ada sebarang nota bunuh diri dijumpai di tempat kejadian, selain tidak terdapat kesan kecederaan pada pergelangan tangan akibat dikelar.

“Sekiranya Ahmad Sarbaini telah dibunuh dan dicampak keluar melalui tingkap di pantri itu, akan dijumpai kesan pergelutan di kawasan berkenaan, namun hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan ditemui,” katanya.

Dr Faridah berkata jika mangsa cuba mempertahankan diri atau melawan kembali jika diserang, sudah pasti terdapat kesan kecederaan atau luka pada badan Ahmad Sarbaini.

Prosiding di depan Koroner Aizatul Akmal Maharani disambung esok.


Kes Sarbaini: Keputusan inkues 26 Sept

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Mahkamah Koroner akan mengumumkan keputusan inkues berhubung kematian bekas Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbaini Mohamed pada 26 September ini.

Koroner Aizatul Akmal Maharani juga menetapkan 25 Ogos ini sebagai tarikh mengemukakan penghujahan dan penjelasan ke atas hujah pula pada 12 September.

Prosiding inkues berlangsung selama 13 hari dengan mendapatkan keterangan daripada 34 saksi.

Inkues bermula awal bulan lalu.

Kematian Sarbaini merupakan kedua terjadi di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Allahyarham Sarbaini ditemui mati pada 6 April lalu di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan.

Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane di sini pada 6 April lepas.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Pelakon lagak ngeri: Sukar untuk keluar tingkap

BERNAMA


Pelakon lagak ngeri, Mohd Haslin Azriff Ramley memberitahu inkues kematian pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamad bahawa agak sukar untuk keluar dari tingkap - tempat mangsa didakwa jatuh - dan beliau mengambil masa tiga hingga empat minit untuk berbuat demikian.

NONESaksi ke-31 inkues itu menjelaskan walaupun mempunyai pengalaman dalam melakonkan adegan lagak ngeri, namun perasaan gementar dan takut tetap ada ketika cuba keluar dari tingkap berkenaan.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang,
ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April.

Sementara itu, pakar patologi Prof Dr Shahrom Abd Wahid dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berkata, Ahmad Sarbaini terjatuh dari aras tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan
itu dengan tidak disengajakan.

Dr Shahrom, 54, yang juga saksi ke-32 inkues berkata daripada hasil penemuan yang dibuat selepas melawat tempat kejadian, didapati Ahmad Sarbaini (mangsa) keluar dari tingkap di bilik pantri di aras tiga bangunan itu untuk menuju ke bumbung berhampiran yang mengelilingi gelanggang badminton.

"Ini adalah kerana jika berdiri berhampiran tingkap, kelihatan bumbung yang terletak di sebelah kiri tingkap itu nampak dekat tetapi apabila mangsa berjaya keluar dari tingkap, didapati bumbung berada dalam kedudukan yang jauh," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Dr Shahrom berkata Ahmad Sarbaini kemudiannya cuba meniti di atas tebing tingkap ke arah kanan untuk mencapai bumbung berhampiran sambil tangannya berpaut pada bingkai tingkap, namun tidak berjaya.

Saksi itu berkata mangsa kemudiannya cuba memanjat semula tingkap untuk masuk ke bilik pantri tetapi beliau tidak dapat mengimbangi badannya lalu tergelincir dan jatuh ke aras satu bangunan itu.

Katanya perlakuan itu dibuat dengan berhati-hati dan tidak terburu-buru kerana jika seseorang cuba melarikan diri dengan cara terburu-buru akan terdapat kecederaan dan tanda lebam pada badan disebabkan keadaan tingkap yang agak menyukarkan seseorang untuk keluar dengan cara sedemikian.

Beliau berkata kesimpulan yang dibuat juga berdasarkan kepada lakonan lagak ngeri yang dilakonkan semula oleh pelakon lagak ngeri, Mohd Haslin Azriff Ramley.

Saksi itu menjelaskan lakonan dibuat berdasarkan penemuan kesan calar pada cat dinding di bilik pantri, tapak kasut, kepala tali pinggang, kedudukan mayat yang berada selaras dengan tingkap di aras tiga berkenaan dan juga kesan pada tapak tangan mangsa.

"Terdapat kesan putih pada tapak kasut di sebelah kiri mangsa tetapi kesan itu tidak berapa jelas kerana terkena pada belakang seluar kanan mangsa semasa dia terjatuh dan juga terdapat kesan geseran pada kepala tali pinggang ketika mangsa dipercayai cuba masuk kembali ke dalam bilik pantri melalui tingkap," katanya.

Dr Shahrom berkata lakonan semula oleh pelakon lagak ngeri itu menunjukkan kemungkinan mangsa telah jatuh ke belakang apabila kaki kanannya tergelincir dari tebing tingkap dan jatuhan itu menyebabkan kecederaan teruk pada kepala dan keretakan pada tengkorak dan patah tulang di bahagian lutut.

Selain itu tiada tanda lain yang mencurigakan selain daripada disebabkan oleh kejatuhan dan tiada tanda-tanda mangsa dipaksa keluar dari tingkap itu.

"Jika mangsa dipaksa keluar dari tingkap, pasti akan terdapat kecederaan pada tubuh mangsa kerana dia akan melawan kembali serangan daripada seseorang dan akan ditemui kesan pergelutan di tempat kejadian," katanya.


Rabu, 3 Ogos 2011

Pakar patologi: Sarbaini terjatuh dengan tak sengaja

BERNAMA



Ahli patologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Profesor Madya Dr Faridah Mohd Noor berkata Ahmad Sarbaini Mohamed terjatuh dari tempat yang tinggi dengan tidak disengajakan, dan beliau menolak berlakunya unsur bunuh diri atau dibunuh.

Beliau juga berpendapat penolong pengarah kastam Selangor itu tidak membunuh diri kerana tidak ada sebarang nota bunuh diri dijumpai di tempat kejadian, selain tidak terdapat kesan kecederaan pada pergelangan tangan akibat dikelar.

"Sekiranya Ahmad Sarbaini telah dibunuh dan dicampak keluar melalui tingkap di pantri itu, akan dijumpai kesan pergelutan di kawasan berkenaan, namun hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan pergelutan ditemui," katanya.

Dr Faridah berkata jika mangsa cuba mempertahankan diri atau melawan kembali jika diserang, sudah pasti terdapat kesan kecederaan atau luka pada badan Ahmad Sarbaini.

Beliau memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa kematian Penolong Ahmad Sarbaini adalah disebabkan pendarahan teruk di kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi selain kesukaran untuk bernafas.

Katanya, pemeriksaan ke atas mangsa mendapati kecederaan yang dialaminya konsisten dengan kesan jatuhan dari aras tiga, bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata darah yang banyak keluar daripada mulut, hidung dan telinga kiri juga menyebabkan mangsa sukar bernafas.

"Mangsa tidak dapat bernafas dengan baik disebabkan pengaliran darah yang menutup saluran pernafasannya," kata Dr Faridah yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid pada prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April.

Dia dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai kastam.

Dr Faridah, yang menjalankan bedah siasat ke atas Ahmad Sarbaini pada 6 April lepas berkata terdapat 42 kesan kecederaan pada badan mangsa.

"Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam dan luka pada mata, dagu, dahi, pergelangan tangan, dada, dan juga beberapa kepatahan pada tulang tangan dan lutut, serta retak di bahagian tengkorak yang ditemui pada badan mangsa," katanya.

Beliau berkata kecederaan patah pada kaki sebelah kanan hingga menyebabkan tulang pada bahagian lutut mangsa terkeluar adalah konsisten dengan kesan jatuhan dari tempat tinggi.

Selain itu, keadaan sebelah kasut yang tertanggal daripada kaki mangsa dan jam tangan tercabut juga konsisten dengan kesan jatuhan tersebut, katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili SPRM.

Saksi ke-29 itu juga berkata Ahmad Sarbaini dianggarkan meninggal dunia antara jam 7 pagi hingga 11 pagi, dan tubuh mangsa didapati suam selain kekejangan otot masih berlaku, ketika mayatnya ditemui pada 6 April lepas.

Prosiding di depan Koroner Aizatul Akmal Maharani disambung esok.


Rabu, 27 Julai 2011

Elak Pesalah Terlepas, PKR Gesa RCI Kes Sarbani

Ditulis oleh Salmiah Drahsin


PETALING JAYA : Bagi mengelakkan hal sama berulang dalam kes kematian mendiang Teoh Beng Hock, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed.

Terdahulu keluarga mangsa juga turut menyatakan pendirian sama mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan.

Bagaimanapun kerajaan hanya bersetuju menubuhkan inkues bagi menyiasat misteri kematian Allahyarham.

Lantaran tidak mahu mereka yang bersalah terlepas dari tanggungjawab, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau menyokong sepenuhnya usaha keluarga Allahyarham yang mahukan keadilan di atas kematian bekas penolong pengarah Kastam Selangor itu.

"Polis Diraja Malaysia telah menolak sebarang tindakan terhadap tiga orang pegawai SPRM yang dinamakan di dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Teoh Beng Hock, Hishamuddin Hashim, Mohamad Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus memandangkan polis menganggap mereka tidak menyalahi sebarang undang-undang dan bergantung kepada siasatan dalaman SPRM. Pun begitu SPRM hanya menggantung ketiga-tiga individu tersebut,"kata Nik Nazmi.

"Sebenarnya mereka boleh disiasat di bawah Seksyen 304 dan 304A Kanun Keseksaan iaitu homisid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh (culpable homicide not amounting to murder) dan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.

"Harus diingat permintaan untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Teoh Beng Hock juga memakan masa yang lama dan hanya selepas keputusan koroner yang tidak muktamad dan tekanan politik barulah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan penubuhannya,"tambahnya lagi.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia berkata, laporan Suruhanjaya Diraja dalam kes Teoh Beng Hock mendedahkan kepada awam bagaimana teknik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan prosedur siasatan sehingga menyebabkan Beng Hock tertekan lalu bertindak membunuh diri.

Rumusan yang dibuat Oleh Suruhanjaya Diraja itu sebulat suara memutuskan bahawa ketiga-tiga pegawai SPRM bertanggungjawab di atas kematian mendiang.

"Bagaimanakah pengumuman penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Transformasi SPRM dapat mengembalikan imej dan kewibawaan SPRM apabila jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri?

"Memandangkan isu ini isu serius yang sudah timbul berkali-kali, nyata sekali siasatan dalaman bukanlah penyelesaiannya. Seperti kata pepatah Inggeris, who will guard the guards? Jadi kalau SPRM yang buat salah, kalau panel itu dipengerusikan oleh ketua pesuruhanjaya SPRM. Sejauh mana kewibawaan siasatnya,"kata beliau lagi.

Minggu lalu, isteri kepada Allahyarham Sarbani, Maziah Manap membuat laporan polis menggesa pendedahan blogger terkenal, Raja Petra Raja Kamaruddin disiasat.

Dalam lapan entrinya, Raja Petra antara lain berkata, Penolong Penguasa SPRM, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbani ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur, Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.

“Di sana, Sarbaini telah ‘didera’ secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

“Mohd Fauzi juga mengatakan ‘orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain’, terkejut dengan itu Sarbani memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

“Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbani tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia,” dakwa beliau.

Dakwaan ini dikatakan dalam tulisannya ketika inkues masih berjalan. Inkues yang sedang berehat dua minggu akan disambung awal bulan depan.

Kematian Sarbani, Penolong Pengarah Pejabat Kastam Selangor telah mengejutkan banyak pihak.

Allahyarham ditemui meninggal dunia di Pejabat SPRM di Jalan Cochrane pada 6 April yang lalu.

Sabtu, 23 Julai 2011

Keluarga Sarbaini mahu suruhanjaya diraja, siasatan baru



Maziah Manap menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Kelana Jaya pagi tadi. — Foto oleh Choo Choy May
KELANA JAYA — Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed menuntut agar Putrajaya mengadakan suruhanjaya diraja siasatan ekoran rasa tidak puas hati berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.

Maziah Manap, 50, bercakap kepada pemberita di pekarangan balai polis Kelana Jaya di sini selepas membuat laporan polis meminta agar pihak berkuasa menyiasat ke atas laporan yang telah dibuat sebelum ini.

“Sehingga kini polis tidak mengambil keterangan daripada saya berkenaan dengan kenyataan Encik Ghani. Ia bukan daripada saya,” kata beliau merujuk kepada laporan yang dibuat Mei lalu.

Pegawai penyiasat SPRM Abdul Ghani Ali, saksi ke-18, telah mempertahankan kenyataannya dan memberitahu mahkamah koroner baru-baru ini bahawa Sarbaini telah pergi berjumpa dengan pegawai-pegawainya, bukannya beliau, pada hari dia ditemui mati.

MENYUSUL LAGI

Khamis, 21 Julai 2011

Shafee: Raja Petra merapu, dakwaan tak jejas inkues Sarbaini




KUALA LUMPUR — Peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan editor portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, sebagai seorang yang “bercakap merapu” sambil menegaskan dakwaan-dakwaan mengenai kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed tidak benar.

Ini kerana menurut Datuk Seri Shafee Abdullah (gambar), sepanjang inkues setakat minggu lalu ramai saksi telah dipanggil memberi keterangan dan pakar forensik juga mengatakan Sarbaini, penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia tidak membunuh diri atau dibunuh.

“Raja Petra cakap merapu, dalam inkues kita sudah panggil saksi dan pakar (forensik) juga tidak kata Sarbaini bunuh diri atau dibunuh.

“Saya percaya dakwaan ini tidak akan menjejaskan inkues, Raja Petra sudah jadi (bahan) sejarah dan selalu cakap merapu.

“Raja Petra sudah tidak ada modal (untuk bercakap), dia tiada kredibiliti, suka merepek dan sudah tidak diterima pembangkang,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegas beliau, adalah mustahil untuk Sarbaini keluar dan berdiri di atas tingkap bilik pantri seperti mana yang didakwa Raja Petra.

“Tiada sesiapa boleh bertenggek atas tingkap atau berdiri, yang boleh hanya berdiri di luar tingkap dan ia kita dah tunjukkan (dalam lakon semula kejadian).

“Kalau Raja Petra boleh, saya minta dia buat (berdiri atas tingkap),” katanya.

Sehingga semalam, Raja Petra telah menulis tujuh entri dan yang terbaru dalam blognya mendakwa Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbaini ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

“Di sana, Sarbaini telah ‘didera’ secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

“Mohd Fauzi juga mengatakan ‘orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain’, terkejut dengan itu Sarbaini memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

“Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbini tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia,” dakwa beliau.

Ekoran pendedahan itu peguam keluarga Sarbaini, Awtar Singh memberitahu The Malaysian Insider semalam bahawa pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ekoran pendedahan terbaru itu.

Selain itu, jelas Awtar, pada inkues yang akan bersambung 2 Ogos ini, beliau akan meminta agar mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian.

Mahkamah koroner yang diketuai Aizatul Akmal Maharani ada melawat tempat kejadian pada 5 Julai lalu.

Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela untuk menukar pengakuannya.

Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu.

Pada 15 Julai lalu, DSP Sharul Othman Mansur berkata, Sarbaini tidak membunuh diri ataupun dibunuh.

Sharul Othman, yang merupakan pegawai forensik berkata penelitiannya di kawasan kejadian menunjukkan Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya.

Rabu, 20 Julai 2011

Kes Sarbaini: Peguam mahu buat laporan polis, dakwa tulisan Raja Petra ada asas


KUALA LUMPUR– Peguam keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed menegaskan pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ekoran pendedahan baru dibuat editor portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu 6 April lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Awtar Singh berkata, pendedahan yang dibuat Raja Petra itu ada asasnya kerana mustahil untuk Sarbaini (gambar) membunuh diri seperti yang didakwa.

Selain itu, jelas Awtar, pada inkues yang akan bersambung 2 Ogos ini, beliau akan meminta agar mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian di kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

Mahkamah koroner yang diketuai Aizatul Akmal Maharani ada melawat tempat kejadian pada 5 Julai lalu.

“Kita akan buat satu laporan polis yang baru berhubung pendedahan dalam blog Raja Petra Kamaruddin, mana mungkin Ahmad Sarbaini bunuh diri... mungkin dia ditolak dari tingkap.

“Mungkin pada inkues nanti kita akan minta untuk sekali lagi ke bangunan (SPRM) untuk kaji dan lakukan semula tentang apa yang berlaku... kita memang sudah jangka Ahmad Sarbaini tidak mungkin bunuh diri.

“Kita akan buat laporan polis dengan segera, kita mahu polis siasat semula perkara ini sebab mustahil Ahmad Sarbaini boleh jatuh sendiri, saya tidak kata dia dibunuh tapi mungkin berlaku kecuaian,” kata Awtar.

Inkues Sarbaini telah bermula pada 4 Julai lalu dan ramai saksi termasuk ahli keluarga Sarbaini telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela bagi menukar pengakuannya.

Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu.

Tegas Awtar, pihaknya telah mengesyaki dua individu yang didakwa beliau terlibat dalam kematian Sarbaini..

“Kita juga sejak dari awal sudah mengesyaki dua suspek yang terlibat dalam perkara ini (kematian Sarbaini).

“Sebab, kalau dari segi kecederaan yang dialami (Sarbaini) seperti ada sesuatu yang berlaku, apa sahaja boleh berlaku,” tambah Awtar.

Raja Petra dalam entri terbaru dalam blognya berkata Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbaini ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.

“Di sana, Sarbaini telah ‘didera’ secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

“Mohd Fauzi juga mengatakan ‘orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain’, terkejut dengan itu Sarbaini memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

“Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbini tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia,” dakwa beliau.

Sarbaini sebelum ini dilaporkan membuat pengakuan menerima rasuah, namun bertindak mengubah keterangan yang diberikan itu.

Pada 15 Julai lalu, DSP Sharul Othman Mansur berkata, Sarbaini tidak membunuh diri ataupun dibunuh.

Sharul Othman, yang merupakan pegawai forensik berkata penelitiannya di kawasan kejadian, Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya.

Jumaat, 15 Julai 2011

Inkues Sarbaini: Pegawai forensik tolak elemen bunuh diri dan dibunuh

TERKINI

KUALA LUMPUR— Pegawai Kastam Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed yang ditemui mati di presmis SPRM Kuala Lumpur April lalu tidak membunuh diri dengan terjun ataupun dibunuh, demikian menurut pegawai forensik hari ini.

DSP Sharul Othman Mansor berkata berdasarkan penelitiannya di kawasan kejadian, Allahyarham Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya.

Sharul, saksi kedua memberitahu mahkamah bahawa keadaan Sarbaini di tempat kejadian iaitu dengan mukanya menghala ke arah tingkap menunjukkan tiada kemungkinan dia ditolak.

Para hari kejadian, Sarbaini bertemu dengan pegawai SPRM di tingkat tiga dan ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu.

Malah Sharul berkata, pasukannya menemui beberapa kesan retakan dan kesan tapak kasut pada dinding pantri di tingkat tiga dan bilik di sekitar serta di luar pantri.

Selain itu, Sharul juga memberitahu mahkamah koroner baahwa tiada tanda adanya pergelutan.

“Jika ada pergelutan, maka akan ada tanda-tanda kotor di pantri, kesan kasut dan cap jari,” kata beliau sambil menambah sudah pasti ada tanda-tanda kotor pada badan mangsa dan juga kesan koyakan pada bajunya.

Sharul juga memberitahu bahawa Allahyarham Sarbaini telah menggunakan masa sepenuhnya untuk keluar dari tingkap sebab dia pernah berada di bilik pertemuan dengan pegawai SPRM sebelum ini dan kemungkinan sudah biasa dengan keadaan sekitar.

Menurut beliau, pemeriksaan pihaknya juga menunjukkan bumbung gelanggang badminton kelihatan selari dengan tingkap.

“Ia kelihatan dekat tetapi sebenarnya sembilan kaki (tiga meter) jauh dari hujung tingkap,” katanya lagi.

Sharul juga berkata beliau ada menemui kesan cat pada tali pinggang dan seluar Allahyarham Sarbaini.

Sehubungan itu, Sharul bersetuju dengan tafsiran peguam SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bahawa keterangannya menunjukkan kematian Sarbaini bukan kerana membunuh diri ataupun dibunuh.

“Pada pendapat saya dia keluar dengan perlahan dan senyap kerana dia ditinggalkan berseorangan serta biasa dengan bilik-bilik di aras tiga.

“Saya percaya dia bukan keluar dalam keadaan tergesa-gesa. Saya setuju bahawa tingkap disebelah kiri di pilih kerana ia paling dekat dengan bumbung dan sinki diperlukan sebagai tempat bertenggek,” katanya.

Terdahulu ketika memberi keterangan pada hari pertama Inkues, Sharul menyatakan pendapatkan kepada Mahkamah Koroner bahawa hasil pemeriksaannya mendapati Allahyarham Sarbaini cuba keluar dari tingkap pantri di aras tiga kemudian cuba melompat ke bumbung di sebelah kiri dan terjatuh.

Saksi bersetuju bahawa berdasarkan saiz badan, arwah boleh keluar dari tingkap tersebut dan tingkap sebah kiri dipilih kerana ia paling hampir dengan bumbung dan kedudukan tingkap yang tinggi memerlukan sinki sebagai tempat bertenggek.

Sharul juga bersetuju bahawa jam yang dipakai arwah tercabut adalah perkara biasa bagi orang yang mati akibat jatuh dari tempat tinggi.

Katanya dia percaya bahawa arwah jatuh dengan kaki dahulu kemudian terhempap ke depan.

“Sarung telefon bimbit tidak terkesan kerana ia terletak di bahagian tepi pinggang (menunjukkan sisi kiri) dan tidak dihempap oleh tubuh simati.

“Saya juga percaya ketika jatuh si mati menghadap ke pantri bukan membelakangi pantri,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya Hanim Rashid.

Saksi ke 26, Ketua Unit Alkohol dan Toksikologi, Jabatan Kimia Malaysia, Dr Mohd Sukri Hassan maklumkan hasil ujian ke atas semua spesimen urin, darah, kandungan isi perut arwah yang diterimanya tiada kandungan dadah, racun atau racun perosak ditemui.

Katanya bagi spesimen tiub darah yang dianalisa kandungan alkohol dikesan tetapi bukan pada paras ketara.

Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela bagi menukar pengakuannya.

Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani sehingga hari ini.

Inkues akan disambung pada 2 Ogos ini.

Khamis, 14 Julai 2011

Saya dipukul ketika ditahan bersama Sarbaini- saksi

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kastam yang disiasat bersama Allahyarham Mohd Sarbaini Mohamad memberitahu, beliau dipukul ketika dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pada hari sebelum saya dibebaskan, saya sakit dan terpaksa dibawa ke klinik.

“Sebelum saya dihantar ke lokap, sepatutnya kenyataan saya dicetak. Dalam perjalanan, saya dipukul dari belakang. Ada seseorang yang memukul kepala saya. Saya tidak dapat melihat siapa atau tidak tahu mengapa saya dipukul,” kata Abdul Rahim Abdul Kadir seperti dilapor Malaysiakini.

Manakala portal malaysianinsider pula melaporkan, ketika dalam tahanan, Rahim turut mendakwa dipaksa membuat pengakuan menerima rasuah dan dilarang bersolat ketika disiasat.

“Pegawai-pegawai (SPRM) bercakap dengan suara yang tinggi dan menengking ke arah saya, malah mengugut saya agar saya boleh membuat pengakuan,” katanya pada inkues kematian Allahyarham Sarbaini.

Ketika disiasat, Abdul Rahim juga mendakwa mendengar jeritan ketika beliau disoal siasat di dalam sebuah bilik.

“Saya tidak boleh ingat bila, tetapi ada (kedengaran) jeritan dan bunyi kuat di bilik sebelah ketika mereka merakamkan kenyataan saya sehingga saya tidak boleh dengar (apa-apa),” katanya lagi.

Rahim, adalah saksi ke-24 yang dipanggil oleh inkues yang diketuai majistret Aizatul Akmal Maharani yang bertindak sebagai koroner.

Inkues yang masuk hari kesembilan ini adalah untuk menentukan punca kematian Sarbaini yang dijumpai tidak bernyawa di gelanggang badminton tingkat lima di bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 6 April lalu.

Sarbaini ditahan bersama Rahim, 41, pada 1 April ketika operasi membanteras gejala rasuah di kalangan pegawai kastam dan kargo yang dinamakan Operasi 3B.

Pegawai kastam kanan itu dilaporkan ke pejabat SPRM pada 6 April lalu bagi menukar pengakuan yang dibuatnya pada 4 April.

Rabu, 13 Julai 2011

Saksi: Sarbaini buat pengakuan kerana takut tidur di lokap

TERKINI

KUALA LUMPUR– Seorang penolong kanan Kastam memberitahu mahkamah koroner bahawa Allahayrham Ahmad Sarbaini Mohamed pernah mengaku ada menerima sogokan sebab takut akan “tidur di lokap.”

Ahmad Maher Abdul Jalil, 51, memberitahu bahawa Sarbaini berkhidmat di bawah penyeliaan beliau sejak Ogos lalu.

“Saya ada bertemu dengan dia (Sarbaini) pada 4 April dan telah diberitahu mengenai pengakuan menerima rasuah dan keadaan di dalam lokap,” katanya lagi.

“Apabila saya bertanya mengenai dia membuat pengakuan, dia berkata dia mengaku kerana takut tikur di lokap,” kata beliau hari ini.

Menurut Maher, Sarbaini ada memberitahu bahawa lokap terlalu sesak dan bilik air pula tidak begitu selesa.

“Saya memberitahu dia bahawa satu kesilapan apabila membuat pengakuan bagi perkara yang dia tidak dilakukan.

“Tetapi, pada 5 April dia berkata ‘berani buat berani tanggung’ dalam konteks pengakuan, dan bukannya rasuah,” kata beliau.

Maher juga berkata Sarbaini pernah mengatakan ada mengambil rasuah RM30 tetapi jumlahnya tidak sepadan dengan jawatan yang disandang.

Sarbaini ada membuat pengakuan menerima antara RM50 dan RM100 sebulan daripada pegawai Schenker Logistics (Malaysia) Sdn Bhd, Wan Zainal Abidin Wan Zaki dan juga antara RM30 dan RM200 sebulan daripada pegawai Top Mark Freight & Shipping Sdn Bhd yang dikenali sebagai Ah Seng.

Dalam pada itu saksi ke-20, Azman Jusoh, 45, penolong pengarah Kastam yang merupakan rakan sepermainan tenis Sarbaini juga menyokong keterangan Maher.

“Apabila saya pergi ke pejabat dia untuk bermain tenis pada 1 April, saya diberitahu oleh kawan-kawannya bahawa dia telah dibawa ke SPRM untuk disoal siasat.

“Pada keesokan hari, dia memanggil saya untuk bermain tenis pada Ahad, 3 Apri,” katanya.

Pada masa itu, Sarbaini memberitahunya pengalaman berada di lokap.

“Dia memberitahu saya bahawa dia telah dihina oleh pegawai-pegawai SPRM dan dia tidak layan untuk mengenakan pakaian Kastam,” kata Azman lagi.

Kemudian Sarbaini dibawa ke balai polis Bukit Jalil.

Azman berkata Sarbaini ada menghubunginya pada 4 April dan memaklumkan bahawa dia berada di pejabat SPRM tetapi tidak bertanya mengapa.

“Dia kelihatan letih ketika itu,” katanya.

Azman bertemu dengan Sarbaini pada 5 April di gelanggang tenis pada pukul 6.15 petang dan mendapati Allahyarham kelihatan normal.

Pada pukul 5.30 pagi 6 April, Azman berkata Sarbaini ada menghubunginya dan mahu pergi ke pejabatnya.

Katanya panggilan itu kali pertama Sarbaini menghubunginya awal pagi.

“Dia ada memberitahu saya bahawa dia mahu pergi semula ke SPRM untuk mengubah pengakuan tetapi tidak memberitahu saya butiran. Dia kelihatan risau apabila dia berkata dia mahu mengubah pengakuannya kerana bimbang akan ditahan semula,” kata Azman lagi.

Dalam pada itu, pegawai siasatan SPRM Penguasa Abdul Ghani Ali pula mengakui ada menelefon anak Allahyarham bernama Syahril untuk memberi maklum balas mengenai dua buku simpanan milik anak Allahyarham.

Katanya, ketika perjumpaan bersama isteri Allahyarham, Maziah Manap pada 28 April lalu di Pejabat Kastam Lapangan Terbang Subang, isteri arwah ada memaklumkan beliau mengenai dua buku akaun anaknya yang tidak dipulangkan semula.

“Saya telefon untuk beritahu bahawa setelah dicari dan berdasarkan akuan sita dua buku akaun Nuri anak arwah yang dimaklumkan isterinya pada 28 April, tiada (tidak disita).

“Pada 29 April, saya tidak ada nombor isterinya, tetapi berdasarkan rakaman percakapan ada nombor telefon dan saya hubungi untuk beritahu perkara tersebut.

“Bila dihubungi nombor itu, pemilik talian maklumkan dia anak arwah dan berada di Pulau Pinang. Saya kata OKlah dan letak,” katanya saksi ke-18 inkues kematian Sarbaini.

Maziah dalam keterangannya pada hari pertama inkues memaklumkan bahawa Ghani ada mengatakan “bukan saya, orang saya” dan mendakwa ia menunjukkan Ghani tahu sesuatu.

Bagaimanapun Ghani menafikan kenyataan itu dan nyatakan pada mahkamah bahawa Maziah bertanya padanya sama ada Allahyarham ada berjumpa Ghani pada hari kejadian.

“Saya kata bukan saya, pegawai saya, kerana arwah berjumpa Sheikh Niza pada hari tersebut.

“Saya tidak pernah sebut ‘orang saya’ tetapi saya sebut ‘pegawai saya’ kerana saya sendiri pegawai biasa,” katanya ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Mohamad Abazafree Abbas.

Selasa, 12 Julai 2011

Saksi lihat darah di kepala Ahmad Sarbaini

BERNAMA


Seorang saksi yang dipanggil semula memberi keterangan dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini Mohamed hari ini memberitahu Mahkamah Koroner, beliau melihat darah berukuran kira-kira sejengkal di bahagian kepala Allahyarham ketika melihat tubuh mangsa yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan itu.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Henrita Serai Anak Endrew Lenggie berkata beliau melihat darah itu sedang mengalir dari kepala Allahyarham ketika beliau menjenguk di tingkap yang terbuka luas yang berada di bilik pantri, aras tiga bangunan berkenaan.

"Saya rasa takut dan kejadian itu menjadi igauan kepada saya sehingga sekarang," kata saksi ke-10 itu ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM.

Henrita, 24, juga kelihatan takut dan tangannya menggeletar ketika diminta oleh Muhammad Shafee untuk menunjukkan kedudukan darah pada gambar Allahyarham, yang berada dalam keadaan tertiarap dengan kepalanya yang berlumuran darah, yang dipaparkan pada skrin putih di dalam mahkamah dengan menggunakan penunjuk laser.

Gambar Allahyarham Ahmad Sarbaini, yang juga penolong pengarah Kastam Selangor, sebanyak enam keping itu diambil oleh Penolong Pegawai Perubatan, Nur Mohd Azami Mansor dari Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketika gambar itu dipaparkan di dalam mahkamah, kelihatan isteri Allahyarham, Masiah@Maziah Manap menangis teresak-esak dan menutup mukanya sambil ditenangkan oleh anggota keluarga.

Muhammad Shafee berkata beliau meminta Henrita yang sebelum ini memberi keterangan pada Jumaat (8 Julai) lepas dipanggil semula untuk menunjukkan kedudukan darah itu bagi menentukan masa sebenar kematian mangsa dan sama ada mangsa masih bernafas atau tidak.

"Kedudukan darah ini tidak disoal oleh semua pihak kerana mungkin mereka terlepas pandang dan perkara ini penting sebelum pakar patalogi dipanggil untuk memberi keterangan selepas ini," katanya.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Terdahulu, Nur Mohd Azami dalam keterangannya berkata pada hari kejadian, pada 10.35 pagi, beliau menerima arahan daripada pusat panggilan kecemasan, HKL yang memaklumkan ada orang cedera di pejabat SPRM, di Jalan Cochrane.

"Saya bersama dua kakitangan bergegas ke pejabat itu dan apabila sampai di pejabat SPRM pada 10.48 pagi, saya melihat mangsa terbaring dengan pendarahan di kepala," katanya.

Setelah memeriksa nadi di bahagian leher, beliau mendapati mangsa telah meninggal dunia dan terus menghubungi pusat kawalan kecemasan di HKL bagi memaklumkan perkara itu, kata saksi ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail.

Nur Mohd Azami, yang juga saksi ke-15 inkues berkata beliau mengambil enam keping gambar menggunakan telefon bimbit untuk urusan kerja seandainya terdapat perkara berbangkit.

"Gambar itu diambil selepas saya membuat pemeriksaan ke atas mangsa (Ahmad Sarbaini) dan gambar itu menunjukkan tangan di sebelah kiri mangsa bengkak, dan juga sebelah kaki kanan mangsa juga patah," katanya.

Turut memberi keterangan hari ini ialah Koperal Nee Itam Ahmad dari Pusat Kawalan Polis, Cheras, Penolong Penguasa SPRM, Wilayah Persekutuan Mohd Rosly Mohd Saupi, Penolong Penguasa SPRM, Wilayah Persekutuan Khalid Amir Meruphy Abdullah dan Penolong Penguasa SPRM, Wilayah Persekutuan Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad.

Prosiding di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani bersambung esok.


Isnin, 11 Julai 2011

Pegawai SPRM nafi cuba sembunyi kematian Sarbaini


KUALA LUMPUR — Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan mahu menyembunyikan misteri kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed walaupun memberitahu kepada polis pegawai Kastam itu membunuh diri, kata inkues hari ini.

“Itu hanya tanggapan saya... saya sangka dia membunuh diri kerana kami melayan saksi dan suspek dengan baik,” kata Penolong Penguasa SPRM Khalid Amir Meruphy Abdullah kepada mahkamah koroner.

Khalid, 38, berkata dia telah menghubungi ambulans dan polis sebaik sahaja menemui mayat Sarbaini pada 6 April di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane, sambil memberitahu “seseorang telah terjatuh.”

Tetapi perbualan rakaman Khalid kepada polis yang dimainkan semula di mahkamah hari ini mendedahkan dia berkata, “saya ingin melaporkan kes bunuh diri di pejabat kami di Jalan Cochrane.”

Pegawai itu menegaskan dia tidak memberi apa-apa arahan tentang apa yang dikatakan kepada ambulans dan polis.

“Saya panik bila menghubungi ambulans... saya tidak ingat apa yang saya katakan,” kata Khalid.

Khalid yang bekerja dengan SPRM sejak 2007, mengaku tiada bukti mengatakan Sarbaini membunuh diri.

Sarbaini ditemui mati di gelanggang badminton tingkat satu pejabat SPRM beberapa jam selepas dia ke sana untuk menarik balik pengakuan rasuh dan dipercayai telah terjatuh dari tingkap bilik pantri di tingkat tiga.

Peguam keluarga Sarbaini, Awtar Singh, mengatakan Khalid kelihatan tenang selepas menghubungi polis.

“Itu andaian anda... saya tidak pernah melihat bagaimana saya panik,” jawab Khalid.

“Sekarang saya serius,” tambahnya, menyebabkan orang ramai yang berada dalam mahkamah ketawa.

Pembantu pegawai perubatan Nor Mohd Azami Mansor yang bergegas ke lokasi Sarbaini ditemui mati berkata, tiada tanda mangsa masih bernafas ketika diperiksa dan mendapati kakinya patah dengan lebam di pergelangan tangan.

Apabila ditunjukkan gambar Sarbaini yang berlumuran darah, balunya Maziah Manap menangis teresak-esak di bahu seorang wanita lain.

Penolong Penguasa SPRM Henrita Anak Andrew Lenggie dalam keterangannya berkata, darah masih mengalir dari tubuh Sarbaini ketika dia melihat bapa lima anak itu terbaring di gelanggang badminton pada pukuk 10.20 pagi, 6 April lalu.

“Ini bermaksud ketika itu jantung masih berdegub,” kata peguam SPRM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah sambil menambah, ia mungkin boleh menentukan masa kematian.

Sabtu, 9 Julai 2011

Staf Schenker nafi beri Sarbaini rasuah


KUALA LUMPUR — Seorang ejen khidmat penghantaran menafikan pernah memberi rasuah kepada Ahmad Sarbaini Mohamed meskipun bekas penolong pengarah Kastam itu dikatakan menerima suapan, demikian inkues diberitahu hari ini.

Wan Zainal Abidin Wan Zaki, eksekutif kanan Schenker Logistics (Malaysia) memberitahu mahkamah koroner bahawa Sarbaini ada memberitahunya pada 4 April lalu yang dia telah memaklumkan SPRM ada menerima duti daripadanya.

“Dia menghubungi saya pada pukul 8.55 malam, mengatakan bahawa dia baru keluar dari SPRM dan telah memberitahu mereka yang saya memberikannya RM50 hingga RM100,” kata Wan Zainal Abidin, 44.

“Saya bertanya ‘mengapa kamu memberikan nama saya kepada SPRM?’ Dia berkata ‘saya hanya ingat nama Schenker-Zainal, Zainal-Schenker. Saya tersentak,” katanya.

Semalam, ketua unit siasatan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin memberi keterangan bahawa Sarbaini ada membuat perakuan menerima rasuah ketika disoal siasat pada 4 April.

Menurut Fauzi, Sarbaini mengaku ada menerima antara RM50 dan RM100 sebulan daripada Wan Zainal Abidin dan juga RM30 hingga RM200 sebulan daripada staf bernama Ah Seng dari Top Mark Freight & Shipping Sdn Bhd.

Fauzi juga berkata, dia diberitahu oleh Sarbaini bahawa dia datang ke pejabat SPRM pada 6 April lalu untuk menukar pengakuannya.

Sarbaini ditemui mati di premis SPRM di sini pada 6 April.