Sabtu, 1 Januari 2022

Syarikat kenderaan tawar diskaun, khidmat tunda percuma - PM

Kenderaan milik penduduk, Addnan Shahabudin turut dihanyutkan kepala air di Kampung Tanjung, Bentong. NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Kenderaan milik penduduk, Addnan Shahabudin turut dihanyutkan kepala air di Kampung Tanjung, Bentong. NSTP/MOHD RAFI MAMAT

KUALA LUMPUR: Syarikat kenderaan menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan diskaun upah baik pulih, katanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu antara usaha membantu mangsa banjir selain penyediaan baucar tunai sebanyak RM1,000 oleh kerajaan bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata syarikat kenderaan turut bersetuju menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan diskaun upah baik pulih.

"Bagi pemilik kenderaan PERODUA dan PROTON yang terkesan, syarikat berkenaan menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih selain diskaun 50 peratus ke atas alat ganti.

"Syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Tahun Baharu 2022 secara langsung malam ini.

Ismail Sabri berkata, pemberian baucar tunai dan diskaun terbabit akan dimulakan pada Januari 2022.

"Saya faham dan sedar bahawa banyak kenderaan rosak teruk akibat musibah banjir yang menjejaskan bukan hanya pergerakan tetapi juga punca pendapatan," katanya.

Perdana Menteri berkata, bantuan baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik turut diberikan kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan peralatan yang rosak.

Jelasnya, pembelian boleh dibuat di premis atau platform e-dagang yang diiktiraf oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bermula 7 Januari 2022.

Mengenai Bantuan Wang Ihsan (BWI), beliau berkata bantuan sebanyak RM1,000 berbanding RM500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) sudah diberikan sejak 27 Disember lalu iaitu 10 hari selepas kejadian banjir berbanding sebelum ini yang memakan masa antara tiga hingga enam bulan.

"Ini akan memanfaatkan lebih 45,000 KIR. Angka yang akan menerima bantuan ini boleh bertambah apabila kita selesai mengenal pasti mereka yang terkesan tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Setakat hari ini, seramai 20,000 KIR sudah menerima bantuan ini," katanya.

Tiada ulasan: