Khamis, 13 Januari 2022

Pesawah rugi selepas banjir rosakkan tanaman padi

Setiausaha Persatuan Pesawah Berkelompok Pantai Belimbing, Mohd Pauzi Tawil, menunjukkan keadaan sawah yang baharu pulih selepas banjir melanda. - FOTO/NSTP NAZRI ABU BAKAR
Setiausaha Persatuan Pesawah Berkelompok Pantai Belimbing, Mohd Pauzi Tawil, menunjukkan keadaan sawah yang baharu pulih selepas banjir melanda. - FOTO/NSTP NAZRI ABU BAKAR

ALOR GAJAH: Seramai 23 pesawah di sekitar Durian Tunggal mengalami kerugian hampir RM40,000 selepas tanaman padi mereka musnah akibat banjir yang melanda baru-baru ini.

Setiausaha Persatuan Pesawah Berkelompok Pantai Belimbing, Mohd Pauzi Tawil, berkata kawasan tanaman padi terjejas teruk akibat dilanda banjir pada November dan Disember tahun lalu, serta awal Januari lalu.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan petak sawah yang baharu disemai benih dipenuhi air sehingga pokok padi berusia antara 25 hingga 30 hari musnah.

"Air banjir yang memenuhi sawah hanya surut selepas enam hari, namun ia menyebabkan semua pokok padi rosak kerana terendam dalam jangka masa panjang.

"Selepas ini, pesawah terpaksa tanggung kos menanam semula serta kos lain seperti membajak dan baja. Kami harap kerajaan dapat bantu pesawah yang terkesan," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, pesawah, Zulhelmi Abd Rashid, 52, berkata sawahnya seluas hampir dua hektar rosak sepenuhnya dalam kejadian banjir berkenaan.

"Saya rugi hampir RM3,000 kerana sudah mula menanam pada Disember lalu, dan membuat bayaran bagi kerja lain, tetapi banjir menyebabkan sawah dipenuhi air sehingga paras dada.

"Selain itu, jalan batas masuk ke sawah di Kampung Beringin dan Kampung Belimbing Dalam turut mengalami kerosakan menyebabkan pesawah sukar ke ladang," katanya.

Tiada ulasan: