Khamis, 13 Januari 2022

Dua petugas JKM Raub didakwa pecah amanah RM74,000

KUANTAN: Dua pembantu akaun Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah Raub hari ini, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan dana berjumlah RM74,000 kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Tengku Asraf Shah Tengku Yahya dan Zuraini Abdul Rahim@Abdul Rahman, masing-masing berumur 39 tahun, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan secara bersama terhadap mereka di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu dengan melakukan pecah amanah berjumlah RM74,000 milik akaun pejabat Kebajikan Masyarakat daerah Raub di antara 22 Jun 2020 dan 18 Februari tahun lalu.

Tengku Asraf Shah dan Zuraini didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua tertuduh turut ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Shahidah Muslimah Roslan yang mewakili Tengku Asraf Shah memohon supaya jaminan yang lebih rendah terhadap anak guamnya.

Katanya, ini kerana Tengku Asraf Shah menyara isteri dan dua anaknya serta menjaga ibu bapanya yang sudah uzur.

"Anak guam saya berpendapatan kira-kira RM2,500 sebulan dan selepas ditolak, gaji yang tinggal hanya RM800," katanya sambil menambah anak guamnya bersedia untuk mematuhi syarat tambahan lain termasuk melaporkan kepada pejabat SPRM.

Sementara itu Zuraini yang belum diwakili peguam bela, memberitahu mahkamah bahawa suaminya bekerja sebagai kelindan lori dan dia perlu menyara anak-anaknya yang bersekolah.

"Pada masa sama, saya perlu kerap mendapatkan rawatan perubatan di hospital.

"Oleh itu saya merayu kepada mahkamah menurunkan jumlah jaminan kepada RM1,000 kerana saya hanya mampu membayar sebanyak itu," katanya.

Ahmad Zamzani menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan mengenakan dua syarat tambahan untuk mereka melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan bermula Januari dan menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Beliau menetapkan 7 Mac untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan: