Sebarang ritual atau upacara dilakukan raja bomoh atau nama sebenarnya, Ibrahim Mat Zin sudah diharamkan kerajaan Perak sejak 2015 lagi.
Pengharaman itu dijelaskan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang menurutnya dibuat di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.
Menurut beliau, Jawatankuasa Fatwa Negeri yang bersidang pada 17 hingga 19 September 2014 telah memutuskan amalan perbomohan yang dilakukan oleh Ibrahim bertentangan dengan hukum syarak.
Katanya, umat Islam di negeri ini yang mengingkari fatwa berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan di Perak.
“Fatwa yang diwartakan menyebut sebarang upacara dan amalan perbomohan yang dilakukan oleh raja bomoh, Ibrahim Mat Zin ini menggunakan objek tertentu atau tanpa menggunakan apa-apa objek sama ada untuk tujuan perubatan, perbomohan atau selainnya adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram.
“Oleh demikian, umat Islam dilarang menyebar, mempromosikan fahaman dan ajaran, menghadiri apa-apa upacara yang dikaitkan dengan ajaran tersebut atau menyokong apa-apa aktiviti perbomohan sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya menurut laporan Utusan Online.
Zamri berkata, umat Islam di negeri ini juga dilarang menerbit, memuat naik atau memuat turun apa-apa terbitan berbentuk risalah, media sosial, rakaman audio atau filem berkaitan aktiviti raja bomoh.
“Mana-mana orang Islam atau kumpulan yang menjadi ahli atau pengikutnya juga boleh dikenakan tindakan di bawah enakmen tersebut.
“Umat Islam perlu menjauhi sebarang upacara khurafat demi menjaga akidah dan kemuliaan Islam,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial video Ibrahim melakukan ritual menolak musibah banjir di Dataran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Teluk Intan.
Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Ibrahim bersama seorang wanita dikenali sebagai Puteri Zaleha membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan