Khamis, 6 Januari 2022

Johor kurangkan jarak fizikal solat berjemaah

GAMBAR HIASAN: Abd Razak Aid

KERAJAAN Negeri Johor mengurangkan jarak fizikal pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah kepada setengah meter daripada satu meter sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, ketetapan jarak fizikal solat berjemaah itu yang akan mula berkuat kuasa Jumaat ini telah pun mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut beliau, solat hajat juga akan dilaksanakan selepas solat Maghrib setiap hari dan selepas solat Jumaat di seluruh masjid serta surau negeri itu.

Katanya, ia bertujuan memohon kesejahteraan kepada Johor dan seluruh negara daripada segala musibah serta wabak penyakit.

“Program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah serta ceramah agama pula ditambah daripada satu jam kepada tempoh tidak melebihi dua jam.

“Qunut Nazilah juga hendaklah dibaca dalam solat Jumaat pada setiap minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tosrin mengingatkan kepada ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di negeri itu supaya memastikan kesemua jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tosrin memaklumkan, SOP berkenaan termasuk jemaah telah menerima suntikan lengkap dua dos vaksin; memakai pelitup muka; membawa sejadah berukuran besar dan memastikan tidak bergejala.

Pada masa sama, Tosrin turut mengajak masyarakat bersatu hati berdoa semoga wabak COVID-19 segera berakhir.

“Semoga kita beroleh perlindungan Allah SWT daripada segala wabak dan bencana,” kata beliau.

Tiada ulasan: