Sabtu, 15 Januari 2022

AADK sedia bantu remaja ‘dimandi jenazah’ curi tabung masjid

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sedia membantu remaja yang didakwa kerana cuba mencuri tabung masjid. GAMBAR: Ihsan AADK

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) sedia menghulurkan bantuan kepada seorang remaja yang tular selepas dimandikan seperti mana prosedur mandi jenazah untuk pulih daripada penagihan dadah.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, agensi itu malah bersedia membantu merawat pulih sesiapa sahaja yang terjebak dengan penagihan dadah atau substan.

Menurut beliau, perkhidmatan rawatan dan pemulihan disediakan menerusi fasiliti AADK sama ada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen); perkhidmatan di daerah; Pusat Khidmat AADK dan Rumah Komuniti AADK.

Sutekno berkata, perkhidmatan itu termasuk rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) yang berdaftar dengan AADK.

“Selain itu, AADK turut menyediakan perkhidmatan secara sukarela menerusi Puspen atau program pemulihan dalam komuniti yang tidak memerlukan klien berada di dalam Puspen.

Sutekno Ahmad Belon (tengah)

“Semua kemudahan tersebut terbuka kepada warganegara yang terjebak dengan masalah penagihan dadah dan ingin mendapatkan rawatan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sutekno turut berpendapat agensi yang berkaitan juga perlu digerakkan bagi memastikan masalah sosial dan ekonomi remaja berkenaan dapat diselesaikan segera supaya masalah sama tidak berulang.

Katanya, perkara itu memerlukan tindakan secara holistik daripada semua pihak berwajib.

“Sehubungan itu, dalam usaha mencapai matlamat Dadah Terkawal 2025, AADK menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan pemprosesan, pembekalan, penyeludupan, penjualan dan penagihan dadah.

“Sekiranya anda atau orang yang dikenali terlibat dalam permasalahan dadah, sila dapatkan bantuan khidmat nasihat daripada pegawai pemulihan AADK, hadir ke pejabat AADK yang berhampiran atau hubungi talian 03 89112233 atau 019 6262233,” jelas beliau.

Media sebelum ini melaporkan, seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap cuba mencuri duit tabung masjid.

Video berdurasi seminit 25 saat tular di media sosial, telah dikongsikan pengguna Twitter, dengan memaparkan pemuda berkenaan sedang terbaring dan dimandikan oleh pihak masjid sambil diperhatikan penduduk kampung.

Semalam, remaja yang tinggal bersama datuknya selepas ibu bapanya bercerai sejak usianya kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang.

Tertuduh, Daniel Iskandar, 19, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan.

Remaja tersebut telah dijatuhkan hukuman penjara 10 hari serta denda RM4,000.

Tiada ulasan: