Jumaat, 3 September 2021

Usul RUU pecat MP lompat parti diterima Dewan Rakyat


Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 dan juga RUU Pemecatan Ahli-ahli Parlimen 2021 yang didapati melompat parti sudah diterima Dewan Rakyat, ia disahkan Yang di-Pertua Dewan, Datuk Azhar Harun.

Azhar berkata usul tersebut dihantar Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said namun keputusan belum dibuat untuk sama ada menyenaraikan usul itu dalam aturan urusan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September hingga 12 Oktober depan.

“Keputusan akan dibuat sama ada untuk membenarkan usul itu disenaraikan dalam aturan urusan majlis setelah aspek perundangan dan keteraturan usul diperhalusi dan diteliti,” katanya.

Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam menghantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021′ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Menurut Azalina, usul itu adalah selari dengan inisiatif anti lompat parti yang sedang diusahakan kerajaan dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.

Notis itu, kata Azalina dihantar mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli Yang Bukan Ahli Kerajaan, untuk dibentangkan pada persidangan Parlimen yang akan bermula 13 September ini.

Melalui akta baharu itu nanti, pengundi boleh menarik semula mandat diberikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka dan hak untuk memilih wakil rakyat baharu atau mengekalkan penyandang dikembalikan kepada pengundi.

Tiada ulasan: