Khamis, 16 September 2021

Tiada lagi kuarantin ketika masuk Sarawak buat individu lengkap vaksin

MALAYSIA NOW

Kanak-kanak dan remaja di bawah 18 tahun ditemani ibu bapa mereka yang lengkap vaksinasi turut dikecualikan daripada kuarantin.

Individu yang telah menerima vaksinasi lengkap tidak lagi diwajibkan kuarantin ketika tiba di Sarawak, kata jabatan pengurusan bencana hari ini. 

Dalam sebuah kenyataan, ia berkata bermula 16 September, individu yang telah menerima vaksin lengkap hanya perlu memohon melalui aplikasi EnterSarawak dengan menyediakan beberapa butiran termasuk bukti lengkap vaksinasi dan keputusan negatif ujian RT-PCR yang sah dalam tempoh tiga hari. 

Kanak-kanak remaja di bawah 18 tahun yang masuk ke negeri itu dengan ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi juga turut dikecualikan daripada kuarantin namun perlu dipantau sekiranya wujud simptom dalam tempoh 10 hari. 

Jawatankuasa itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas vaksinasi di Sarawak mencatat kadar yang tinggi. 

Tempoh kuarantin selama 10 hari akan kekal berkuat kuasa bagi mereka yang hanya menerima satu dos suntikan vaksin atau belum menerima vaksin.

Tiada ulasan: