Ahad, 19 September 2021

Terminal Feri Kuala Kedah dibuka 23 September ini

 Oleh NUR ANATI JUHARI

PERKHIDMATAN feri dari Terminal Feri Kuala Kedah ke Pulau Langkawi  beroperasi bermula 23 September ini. - UTUSAN/SHAHIR NORDIN

ALOR SETAR: Terminal Feri Kuala Kedah yang menyediakan perkhidmatan feri ke  Pulau Langkawi, dekat sini kembali beroperasi bermula 23 September ini.

Terminal feri itu dibuka apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah sejak 6 September lalu tamat esok.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, terminal feri tersebut hanya dibuka pada Khamis ini bagi memberi laluan kepada agensi kerajaan dan swasta membuat persiapan tempat bagi tujuan ujian saringan Covid-19.

“Buat permulaan, kami hanya membuka dua perjalanan sehari dan memantau trend pembelian tiket.

“Pengalaman di Kuala Perlis baru-baru ini, ramai penumpang tidak jadi masuk ke Langkawi atau memohon pindaan tarikh disebabkan mendengar cerita tidak benar di laman sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baharin memohon agar isu kesesakan di Terminal Feri Kuala Perlis yang lama dan ditularkan semula tidak dijadikan modal untuk menakutkan pelancong ke Langkawi.

“Kami juga menyambut baik ujian saringan Covid-19 di pintu-pintu masuk terminal feri ke Langkawi kerana dapat memberi sedikit keyakinan kepada penumpang di dalam feri dan penduduk tetap Langkawi.

“Diingatkan juga agar penumpang dapat merancang perjalanan dan datang ke terminal sekurang-kurangnya dua jam awal bagi mengelak kesesakan di pusat ujian saringan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: