Isnin, 13 September 2021

Tawaran PM dari UMNO perlu diterima demi masa depan: Guan Eng

 

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan tawaran kerjasama yang dibuat Perdana Menteri dari UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diterima blok pembangkang demi masa depan negara.

Beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk menerima tawaran yang dibuat Ismail Sabri bagi memastikan masa depan negara tidak terjejas ekoran krisis kesihatan Covid-19 yang masih melarat ketika ini.

“Di bawah krisis nasional yang begitu parah, ada keperluan mendesak untuk mencari landasan bersama bagi kebaikan semua untuk menang dalam pertempuran melawan Covid-19 dan kemelesetan ekonomi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata rakyat menjadi keutamaan ketika ini walaupun terdapat segelintir pihak yang curiga dengan tawaran kerjasama yang dibuat oleh Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu.

“Penderitaan rakyat perlu diutamakan. Meskipun adanya ketidakpercayaan sama ada janji-janji reformasi tersebut akan ditunaikan, tawaran reformasi oleh Ismail perlu dipertimbangkan dengan syarat ia memiliki garis masa pelaksanaan yang ditetapkan dan disertai dengan pembaharuan dalam ekonomi dan penjagaan kesihatan awam,” katanya lagi.

Pakatan Harapan hari ini juga menyatakan persetujuan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Ismail Sabri yang akan berlangsung esok di Parlimen.

Langkah bersetuju untuk menandatangani MOU tersebut juga memperlihatkan kesediaan blok pembangkang bersetuju ketiadaan undi percaya yang sepatutnya dibawa pada sidang kali ini.

Malah berkemungkinan blok pembangkang juga akan menyokong Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Speaker yang baharu nanti.

Perjanjian itu akan disempurnakan Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti Pakatan Harapan, iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Tiada ulasan: