Selasa, 14 September 2021

Syarat ketat: Putrajaya pertimbang beri kelonggaran peserta MM2H

Hamzah Zainudin berkata, bagi semua peserta baharu, mereka perlu memenuhi 
dasar baharu MM2H.

KUALA LUMPUR: Peserta Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) sedia ada boleh dipertimbangkan untuk mendapat kelonggaran daripada memenuhi dasar semasa yang ditetapkan kerajaan untuk program itu, kata Menteri Dalam Negeri (KDN) Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, ia termasuk keperluan seperti pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan pengeluaran maksimum sebanyak 50% dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak; pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta, pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan dan lain-lain keperluan syarat yang ditetapkan.

“Bagaimanapun bagi semua peserta baharu, mereka perlu memenuhi dasar baharu MM2H ini bagi memastikan peserta MM2H yang berada di Malaysia adalah benar-benar sah, berkualiti tinggi dan dapat memberi sumbangan yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang bertanya sama ada kerajaan akan menyemak semula syarat program MM2H berikutan rungutan komuniti MM2H dan industri ekonomi berkaitan syarat baharu yang amat ketat.

Pada Ogos lalu, MM2H yang sebelum ini dibekukan kini beroperasi semula dengan beberapa penambahbaikan dan syarat baharu yang lebih ketat kepada peserta.

Ketua Setiausaha KDN, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ini kerana kerajaan memahami kebimbangan rakyat mengenai kemasukan warga asing yang akan menambah lambakan warga berkenaan di negara ini.

Dahlan berkata, kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan dan menetapkan jumlah bilangan peserta (prinsipal dan tanggungan) pada satu masa tidak melebihi 1% daripada jumlah warganegara Malaysia.

Tiada ulasan: