Khamis, 23 September 2021

Sultan Selangor dukacita, teliti nama enggan divaksin

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan dukacita dan kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan jurunikah di negeri itu yang hadir program vaksinasi khas COVID-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office hari ini, lebih mendukacitakan baginda apabila 96 daripada 203 yang hadir menolak untuk divaksin.

Justeru, baginda bertitah, nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin akan diteliti dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

"Apa yang berlaku amat mengecewakan baginda kerana kedegilan individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA," tulis kenyataan itu.

Baginda bertitah, pelbagai inisiatif dan cara sudah dilakukan khususnya daripada gesaan baginda sendiri dengan kerjasama pihak JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), demi memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam di Selangor.

"Ini termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas-petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa," jelas kenyataan itu lagi.

Terdahulu, media melaporkan JAIS akan mempersembahkan senarai individu yang enggan menerima vaksin di bawah kelolaan pihaknya kepada Sultan Selangor, Jumaat ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia susulan terdapat kalangan guru KAFA, pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah JAIS yang masih enggan menerima vaksin walaupun program khas vaksinasi diwujudkan untuk mereka.

"Saya dititahkan oleh Tuanku semalam untuk melaporkan segala fakta mengenai program hari ini khususnya mengenai sesiapa yang tidak dan enggan hadir, untuk baginda meneliti dan membincangkan apa tindakan lanjut yang harus diambil," katanya.

Tiada ulasan: