Rabu, 1 September 2021

SPRM siasat isu ‘beli’ sijil vaksinasi, ini perbuatan rasuah

Datuk Seri Azam Baki/ Gambar media sosial

BARU-baru ini tular mengenai cubaan individu menyogok klinik swasta bagi ‘membeli’ sijil vaksinasi COVID-19 tanpa menerima suntikan vaksin.

Namun awas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengingatkan yang ini adalah perbuatan rasuah dan siasatan lanjut bakal dilakukan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, beliau memandang serius terhadap dakwaan orang ramai berkaitan kegiatan merasuah doktor atau mana-mana pihak bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin.

Katanya, perbuatan ini bukan saja melibatkan isu rasuah, tetapi ia menjejaskan reputasi profession pengamal perubatan sekali gus mencalarkan imej mereka sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

Baca artikel berkaitan: Awas! Tindakan tegas jika tipu sijil vaksinasi – KKM

“Setakat ini, SPRM belum menerima sebarang aduan berkaitan isu berkenaan namun akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan tersebut.

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku itu boleh menghubungi SPRM di talian hotline 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tiada ulasan: