BERNAMA
Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming disebut sebagai calon bagi jawatan itu.
Pemilihan timbalan yang di-pertua Dewan Rakyat baru adalah antara tumpuan persidangan Parlimen hari ini.
Pemilihan jawatan yang dikosongkan Azalina Othman Said itu mendahului senarai usul Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul pada persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang berlangsung selama 17 hari mulai semalam.
Usul itu dibuat susulan Azalina yang merupakan ahli Parlimen Pengerang, meletak jawatan pada 23 Ogos.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon pada Ahad memaklumkan kepada Bernama, nama calon daripada blok pembangkang dan kerajaan telah diterima dan sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon, undi belah bahagian akan dijalankan.
Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan iaitu Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang merupakan calon blok kerajaan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming calon Pakatan Harapan (PH).
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat yang bermula 10 pagi itu, akan dimulakan dengan sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri disusuli sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan sebelum diteruskan dengan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja.
Persoalan sama ada kerajaan akan menyemak semula dasar program “Malaysia My Second Home” (MM2H) dan industri ekonomi berkaitan terhadap syarat-syarat baharu program itu, merupakan antara tumpuan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.
Turut dibangkitkan adalah soalan berkaitan sasaran kerajaan bagi mencapai tahap penyediaan katil hospital yang lebih tinggi untuk kemudahan kesihatan lebih selesa dan mengenai kadar pengangguran rakyat sehingga Ogos tahun ini.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Selasa adalah mesyuarat pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Istiadat pembukaan Parlimen yang berlangsung semalam disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan