Selasa, 21 September 2021

Sasaran 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin dicapai, tahniah!

Herman Hamid
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) menyampaikan replika suntikan yang ke 1 juta kepada Zamratulazmi Sarmadi, 38, (tiga dari kanan) di Pusat Pemberian Vaksin WTCKL 29 Ogos lalu GAMBAR: Abd Razak Aid

JAM 1 tengah hari tadi, satu detik bersejarah buat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula 24 Februari lalu.

Ini apabila sasaran memberi vaksin lengkap kepada 80 peratus populasi dewasa negara secara rasminya berjaya dicapai pada detik tersebut.

Momen penting lagi bersejarah itu turut dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi.

“Tahniah! Malaysia mencapai 80 peratus populasi dewasa negara telah lengkap divaksinasi.

“Teruskan usaha kita perangi COVID-19,” kata Perdana Menteri menerusi Twitter beliau.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan Malaysia telah mencapai sasaran 80 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi.

“Pada jam 1300hrs (1 tengah hari) hari ini, Malaysia telah mencapai sasaran 80% penduduk dewasa lengkap divaksinasi,” kata Khairy dalam Twitter beliau.

Khairy merupakan Menteri Penyelaras PICK bersama Datuk Seri Dr Adham Baba.

Selepas disuntik vaksin
Khairy Jamaluddin antara penerima terawal vaksin Sinoivac 
di Malaysia. Gambar Twitter Khairy

PICK merupakan program pemberian vaksin besar-besaran yang terbesar dalam sejarah negara susulan penularan COVID-19.

Bermula 24 Februari lalu, program tersebut dilaksanakan dalam beberapa fasa dan kemudiannya diakui kadar vaksinasi yang dicatatkan pertengahan tahun ini sebagai antara terpantas di dunia.

Ini membolehkan sasaran awal untuk memberi vaksin lengkap kepada 80 peratus dewasa pada suku pertama tahun 2022 dipercepatkan.

Sementara itu, Khairy berkata, walaupun sasaran awal 80 peratus populasi dewasa, pihaknya akan menjejaki baki 20 peratus dewasa yang belum divaksinasi.

“Walaupun sasaran awal adalah 80% populasi dewasa, sekarang JKJAVMY akan berusaha untuk menjejaki 20% lagi yang belum atau enggan divaksinasi,” katanya.

Data pemberian vaksin COVID-19 setakat 11.59 malam tadi./ Infografik JKJAV.

Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sebanyak 18.64 juta atau 79.6 peratus populasi dewasa sudah lengkap divaksinasi setakat 11.59 malam tadi.

Jumlah penerima sekurang-kurangnya satu dos pula setakat semalam seramai 22.09 juta individu dewasa atau bersamaan 93.1 peratus.

Ini bermakna, jumlah populasi dewasa yang belum divaksin walaupun satu dos adalah 6.9 peratus.

Tiada ulasan: