Jumaat, 3 September 2021

Sabar sekejap! Ada harapan untuk rentas negeri, kata Khairy

AGENDA DAILY

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Kerajaan mempertimbangkan lebih banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP), termasuk pergerakan rentas negeri, akan diberikan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau menjelaskan perbincangan berhubung kelonggaran SOP sedang giat dijalankan bersandarkan fakta sains dan petunjuk situasi Covid-19 semasa.

Beliau berkata, kerajaan bertekad untuk meningkatkan lagi kadar pemberian vaksin di negeri-negeri tertentu yang masih merekodkan liputan di bawah paras 60 peratus seperti Sabah, Kelantan, Kedah, Perak, Johor, Terengganu, Pahang dan Pulau Pinang.

“Saya sudah bincang perkara ini (pergerakan rentas negeri dan kelonggaran SOP) dengan DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan kita sudah putuskan beberapa siri cadangan.

“Ia akan dibentangkan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat. Ada harapan untuk rentas negeri, cuma saya minta sabar sekejap lagi, sikit saja masa lagi,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata ini kerana pembukaan sempadan negeri untuk pergerakan, bakal mengundang risiko.

“Ada beberapa negeri yang nilai ambang vaksinasi masih rendah, justeru, menjelang September semua negeri akan capai liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa sebanyak 60 peratus,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pada masa sama beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan berbincang dengan Kementerian Pendidkkan berkaitan dasar mewajibkan guru mengambil vaksin Covid-19.

Katanya, langkah itu perlu diperhalusi secara terperinci kerana membabitkan beberapa implikasi perundangan.

Buat masa ini pendekatan pengambilan suntikan imunisasi Covid-19 masih berkonsepkan sukarela termasuk kepada warga pendidik sebagaimana dilaksanakan di bawah Program Imunisasi COvid-19 Kebangsaan (PICK), katanya.

Tiada ulasan: