Rabu, 22 September 2021

Penjawat awam perlu akur syarat wajib vaksin, kata CUEPACS

 
CUEPACS berpandangan kerajaan perlu mengambil langkah lebih ke hadapan 
berdasarkan peraturan semasa yang sedia ada bagi memastikan penjawat awam 
keseluruhannya mengambil vaksin.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta semua penjawat awam akur arahan kerajaan untuk mewajibkan pengambilan vaksin kepada kumpulan berkenaan.

Menyokong penuh usaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membawa perkara berkenaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diputuskan, Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, ia selari dengan gesaan kesatuan sebelum ini yang mahu kerajaan mengeluarkan pekeliling khusus untuk penjawat awam yang enggan divaksin.

“CUEPACS berharap penjawat awam akur dengan arahan semasa yang dilaksanakan oleh kerajaan sesuai dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Bagaimanapun tanpa pekeliling khusus mengenai pengambilan vaksin oleh penjawat awam boleh mengakibatkan usaha untuk memastikan keseluruhan penjawat awam mengambil vaksin mengalami sedikit kesukaran,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, JPA dalam kenyataan berkata, pihaknya bercadang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam bagi memberi jaminan dan meningkatkan keyakinan dalam kalangan orang awam yang berurusan di bangunan kerajaan.

Bagaimanapun, JPA memaklumkan kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.

Ia selepas pendedahan jabatan itu baru-baru ini bahawa sebanyak 2.2% daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam dikesan tidak mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Mengulas lanjut Adnan berkata, walaupun angka itu tidak begitu besar, tetapi ia seharusnya tidak berlaku.

“… kerana penjawat awam adalah pelaksana kepada dasar dan polisi kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan kerajaan ketika ini bukanlah untuk menghukum kerana pelbagai usaha bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin dilakukan dalam usaha memastikan negara berjaya keluar daripada pandemik Covid-19.

“Dalam hal pengambilan vaksin, CUEPACS berpandangan kerajaan perlu mengambil langkah lebih ke hadapan berdasarkan peraturan semasa yang sedia ada bagi memastikan penjawat awam keseluruhannya mengambil vaksin.

“Segala usaha dan kempen kesedaran pengambilan vaksin Covid-19 telah dilakukan oleh kerajaan dan ia sepatutnya sudah boleh difahami dengan jelas oleh masyarakat mengenai kepentingan dan kebaikan vaksin Covid-19,” katanya.

Tiada ulasan: